Friday, August 7, 2009

Garapan tropika, praktikal

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


PINTU lipat yang menghubungkan dalam rumah dengan landskap berkolam.

Kediaman dibina berciri mudah diselenggara, ruang dapat dimanfaat sepenuhnya dan tema dihasilkan penuhi selera

MENGGARAP gaya penataan seperti menyiapkan sebuah karya lukisan. Selain mematuhi beberapa peraturan asas seperti seni bina, aliran gaya dan warna, unsur lain yang perlu diutamakan ialah cita rasa, keselesaan di samping tidak meminggirkan ciri praktikal.

Memandangkan keselesaan menjadi tonggak dan penetapan tema dipengaruhi selera, pasangan pramugara dan pramugari, Samsuddin Sulaiman dan isteri, Faizah Mohd Taib bersepakat memanfaatkan kepakaran menghias yang dimiliki Mohd Nurulhusni Mahmud.


“Husni arif cita rasa dan keperluan kami menyebabkan semua usul perabot serta kemasannya diterima tanpa banyak bicara,” kata Samsuddin yang baru empat tahun menetap di rumah teres dua tingkat di Sepang itu.

Husni yang hadir sama dalam pertemuan petang itu, berkata, konsep tropika dijadikan tunjang penataan kerana meminjam imej ranggi, selamba dan berudara.

Gaya penataan berkenaan disifatkan Husni serasi dengan tuntutan kerja pasangan itu yang sentiasa sibuk, selain menepati personaliti mereka yang begitu meminati dan menghargai karya seni.

SAMSUDIN (kanan) dan Nurulhusni berbincang sesuatu di ruang tamu.

“Memahami kesibukan pasangan ini, saya menggantikan kemasan dinding jubin di bilik air dengan konkrit tanpa cat. Penjagaan konkrit tidak serumit jubin yang perlu dibersih dan digilap selalu,” katanya yang turut merobohkan dinding kanan ruang mandi berpancur bagi membina panel konkrit.

Selain unik dipandang, lohong di antara panel konkrit itu menggamit masuk udara luar yang menjanjikan kesegaran ketika mandi. Namun, bagi mengelakkan pandangan umum, bahagian bawah lohong berkenaan dilindungi dengan kain batik yang digantung pada pengikat.

Ditanya mengenai tanda pengenalan di kediaman itu yang menggambarkan gaya tropika, Husni berkata, ia bergantung kepada keupayaan penghuni rumah menyesuaikan diri dengan kawasan persekitarannya.

“Pengertian konsep tropika amat luas. Kayu sebagai kemasan bukan pengukur tetapi kediaman dibina sepatutnya berciri mudah diselenggarakan, ruang dimanfaat sepenuhnya dan seeloknya, diselitkan sedikit unsur kewanitaan seperti menyeri sudut tertentu dengan jambangan bunga,” katanya.

HALAMAN belakang rumah tampil berbeza dengan tembok cermin, laluan konkrit berselang batu refleksologi dan pokok hiasan dalam pasu besar.

Selain hiasan bunga, candeliar bercawang di tengah ruang makan turut memaparkan imej berlawanan dengan meja panjang diperbuat daripada konkrit.

Kata Husni, candeliar itu, selain meredakan gaya maskulin juga menyuntik aura mewah, serasi konsep tropika di samping menjadi kebanggaan tuan rumah.

Unsur praktikal juga ditunjukkan menerusi binaan memanjang kabinet pasang siap berpintu cermin di ruang tamu.

“Kabinet ini dwifungsi iaitu menyediakan ruang penyimpanan bertutup, manakala cerminnya membuatkan kediaman nampak sekali ganda luas. Bahkan, bagi memastikan suasana kekal lapang dan kemas, saya menyembunyikan litar elektrik di belakang kabinet serta bawah permaidani di meja kopi,” katanya yang turut bertanggung jawab mengilhamkan landskap dengan kolam berhadapan pintu lipat hadapan rumah.

Melengkapi gaya tropika, Samsuddin dan isteri disyorkan mengabadikan koleksi lukisan, potret lama dan aksesori etnik di dinding tumpu ruang tamu. Suasana menjelma bagai galeri lukisan apabila ruang berkenaan dilengkapi meja kopi diperbuat daripada kayu tidak berketam, lampu berdiri terendak kertas dan kerusi tab era retro.

Hakikatnya, Samsuddin dan Husni berkongsi prinsip yang menganggap proses menata kediaman sama seperti kanvas lukisan menunggu masa untuk dicorakkan.

Samsuddin berkata, menghias rumah tidak boleh selesai setahun dua tetapi ia adalah proses berterusan serta memerlukan komitmen penuh.

“Macam saya, meskipun sudah empat tahun menetap di sini, masih banyak yang ingin dilakukan termasuk membesarkan bilik di tingkat atas, membina tangga melingkar menghubungkan bilik tidur dengan laman mini belakang rumah,” katanya yang mengaku berpuas hati dengan hasil kerja Husni kerana mewakili cita rasa serta personalitinya.

Info kediaman Shamsuddin

  • Cermin di kabinet rendah di ruang tamu dan tembok laman belakang rumah berjaya mewujudkan kesan luas ruang. Ini sebahagian gaya penataan tropika yang cuba ditonjolkan.

  • Meja makan daripada konkrit diilhamkan daripada filem dan siri televisyen yang menggambarkan kehidupan zaman pertengahan Inggeris. Hujung meja dibina sinki bagi memudah kerja membersih pinggan mangkuk.

  • Kawasan pintu lipat asalnya menempatkan binaan tingkap mengunjur.

  • Bagi yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai gaya penataan, boleh menghubungi Husni di laman web nurulhusni@yahoo.com.
  • 0 comments: