Friday, August 7, 2009

Unsur semula jadi gaya hidup sekeluarga

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my




Perabot anyaman batang pisang, tiang sempadan kayu tidak berketam naikkan seri gaya tropika kediaman Maizatul

ALAM mencetuskan inspirasi kepada Maizatul Arzia Omar untuk tampil dengan gaya penataan tropika kontemporari seterusnya menghulurkan tuah apabila dinobatkan juara kategori teres sebelum diumum pemenang utama pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008.

Konsep mesra alam ini kata Maizatul mewakili gaya hidup dan peribadi beliau sekeluarga yang mencintai unsur semula jadi dan gaya penataan sejagat.


“Saya ingin kediaman tampil seragam baik dari segi warna, perabot, kemasan mahupun perhiasannya. Bagi memastikan matlamat ini dipatuhi, saya pastikan coklat redup dijadikan warna utama,” kata pendidik yang baru setahun menduduki kediaman teres dua tingkat di Putrajaya ini.

Gaya tropika diberi penekanan di ruang tamu dan ruang makan berhampiran, diperlihatkan melalui perabot anyaman batang pisang, tiang sempadan kayu tidak berketam yang berfungsi memisahkan dua ruang selain hiasan dinding motif bunga eksotik bird of paradise yang dibeli di Vietnam.

“Dulu di ruang menempatkan lukisan itu menyediakan tingkap. Saya mengambil keputusan menutupnya kerana berasa kediaman ini menerima cukup pencahayaan melalui dua pintu kaca sorong, dibina di ruang hadapan dan sisi rumah.



“Lukisan bersaiz besar ini dijadikan titik tumpu ruang tamu. Secara kebetulan latar coklat daun serasi warna perabot manakala palitan jingga menawarkan kehangatan suasana di ruang dikuasai tona redup,” katanya.

Bagi meredakan bahang dan menapis kemasukan cahaya daripada pintu gelungsur, Maizatul menempatkan pintu lipat gergasi kaca telus pandang di belakang kerusi anyaman rotan dua tempat duduk.

“Pintu lipat ini berfungsi dua cara iaitu meminimumkan kemasukan cahaya selain berperanan sebagai penghadang yang memisahkan ruang tamu dengan ruang makan,” katanya yang gemar meninjau dari satu ruang pameran perabot ke ruang pameran lainnya demi mendapatkan kelengkapan sama tema dan rekaan.

Kesinambungan konsep tropika diteruskan melalui pencahayaan lampu gantung dan berdiri mengambil citra alam. Di penjuru ruang makan misalnya, ditempatkan lampu berdiri terendak bubu ikan manakala di ruang tamu serta ruang makan dipasang lampu dengan penambahan aksesori tali jut.

Wakaf kayu halaman depan menyediakan kemudahan beristirahat.

Ruang berborak yang berkongsi pelan lantai dengan ruang tamu pula dihidupkan dengan hiasan gantung gugusan tempurung kelapa ole-ole bali yang digandingkan bersama kabinet hiasan ukiran timbul disertai ukiran kayu yang dibingkaikan.

Sementara, bertentangan laluan masuk ditempatkan bangku kayu berkaki konkrit yang disusun rapat ke dinding.

Maizatul berkata, bangku berkenaan dijadikan tempat duduk tambahan ketika menerima ramai tetamu. Supaya ruang duduk tidak nampak kosong, beliau menyelitkan beberapa lilin dalam bekas kayu bersama sepasu pokok pakis di situ.

Ruang dapur menyimpan pengertian tersendiri kepada Maizatul kerana selain tempat memasak dan mencuba resipi baru, ia antara ruang mereka sekeluarga mengeratkan silaturahim dengan tetamu. Justeru, Maizatul berpendapat ruang berkenaan perlu dipastikan sentiasa kemas, selesa dan praktikal.

“Kerana menyanjung keselesaan, saya dan suami putuskan membina kabinet unit gantung dan dasar di situ. Namun, saya tidak mahukan rekaan kabinet yang biasa sebaliknya dilengkapi kaunter bar dengan kemasan kayu lamina bertekstur. Dinding antara unit dasar dengan gantung dipasang jubin kecil warna tanah liat yang menjadi perantara gaya tropika kontemporari,” katanya yang turut menggantung cermin besar di ruang dapur dan ruang makan untuk kesan luas.

“Walaupun seni bina kediaman ini menawarkan banyak binaan pintu dan tingkap bagi menggalakkan kemasukan pencahayaan luar, cermin tetap diperlukan bagi menampakkan kesan luas apatah lagi kedudukan ruang makan dan ruang dapur berdekatan,” katanya.

Keselesaan dan ciri praktikal sekali lagi dijadikan panduan ketika mengadun susun atur kamar tidur utama. Memandangkan keluasan bilik terhad, Maizatul memastikan perabot pilihan sesuai ukuran ruang seperti katil ukiran raja, almari pakaian dua pintu serta sebuah almari solek dan kabinet hiasan.

“Walaupun bilik sempit dan perabot kayu gelap digunakan mujur suasana tidak suram kerana diterangi cahaya luar yang menerobos masuk melalui tingkap serta pintu kaca sorong. Sekali lagi lukisan bunga dijadikan titik tumpu dinding,” katanya.

Selain hiasan dalaman, pengaruh tropika cuba diterjemahkan Maizatul dan suami, Mohamad Sobri Mat Daud di landskap berkolam halaman rumah. Kepelbagaian spesies tumbuhan eksotik teratai, kiambang, keladi, lidah jin, buluh cina, halia bara, periuk kera, puding dan sebagainya mengimbangi landskap kejur wakaf, laluan batu sungai serta pemijak kaki kayu serta konkrit bercetak motif daun.

Melengkapi gaya, hiasan tambahan berupa sangkar burung, tempayan besar, loceng angin, lampu taman bentuk rumah pagoda dan air pancut yang mencurah keluar dari kayu hanyut disediakan. Landskap tropika ini kata Maizatul selain mewujudkan pertalian erat dengan alam juga menyuntik kedamaian melalui gemersik bunyi air terjun.

INFO: Kediaman Maizatul

  • Sahabat terdekat menggelarkan kediamannya sebagai Rumah Contoh Putrajaya.

  • Selain juara kategori teres dan pemenang hadiah utama pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008, Maizatul pernah memenangi Anugerah Kediaman Cantik Putrajaya 2003 (kategori teres kuarters), anugerah utama, Anugerah Kediaman Cantik Putrajaya 2004/05, anugerah khas, Anugerah Laman Cantik Putrajaya 2006/07 (kategori teres kuarters).

  • Pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008 adalah percubaan pertamanya bagi pertandingan anjuran media. Dia mengambil keputusan menyertai setelah didesak rakan-rakan.

  • Cermin besar ditempah khas dibuat mengikut ukuran dan kesesuaian ruang.

  • Bagi Maizatul, aksesori Asia menitipkan gaya ekslusif kerana meminjamkan karektor tersendiri kepada konsep pilihan.
  • 0 comments: