Friday, August 7, 2009

Bilik air bukan sekadar tempat mandi

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my


Pastikan susun atur serta perancangan ruang dibuat merujuk kepada fungsi dan keperluan.

Jangan jadikan bilik air kelas kedua sebaliknya hiasnya seperti ruang lain di kediaman anda

BILIK air tidak seharusnya hanya bergantung kepada kelengkapan dan perkakasan asas tetapi elok menonjolkan aksesori tambahan. Ini kerana fungsinya bukan sekadar tempat membersihkan diri tetapi mula dianggap ruang berehat serta menenangkan fikiran terutama yang memiliki tab mandi di ruang itu.

Lumrah masyarakat kini sanggup berhabis wang, masa dan tenaga demi menyediakan sebuah ruang kediaman selesa, aman dan tenteram. Bilik air tidak harus dikecualikan sebaliknya kelengkapan dan perhiasan tambahan berupaya membantu meningkatkan kualiti hidup.


Laman web http://www.opentips.com menyatakan secara amnya, pelan asas bilik air mengandungi tandas dan sinki. Perancangan ruang sebegini dibuat merujuk fungsi dan keperluan. Namun, persepsi kebanyakan orang yang melabelkan tandas tetap tandas sedikit sebanyak menyekat keanggunan dan keceriaan penataan bakal ditonjolkan.

Selain itu, kepelbagaian produk ditawarkan sepatutnya dimanfaatkan bagi mencari rekaan sesuai keperluan di samping membentuk perasaan senang ketika menggunakannya, bukan kesempurnaan diburu tetapi akhirnya, kelengkapan dipilih tidak praktikal dan menyusahkan.

Dalam usaha mendapatkan reka bentuk dan suasana bilik air idaman, selain tandas dan sinki, kelengkapan tambahan berupa pencahayaan patut difikirkan.

Rekaan kabinet bilik mandi perlu selaras konsep dan berada di kedudukan sepatutnya.

Di pasaran ditawarkan pelbagai jenis pencahayaan namun anda dinasihatkan memilih sesuai cita rasa. Misalnya, sesetengah orang menyenangi lampu rekaan ringkas namun bercahaya terang manakala ada juga memilih lampu gaya ranggi untuk suasana ceria.

Mereka yang mahukan ketenangan dan ingin diselubungi ragam romantik, diusulkan mengganti lampu cerah, kalimantang misalnya, kepada lampu lekap bercahaya samar. Pilih jenis, bentuk dan warna mentol yang mampu memberi sentuhan anggun di ruang yang diakui terbatas keluasannya itu.

Selain itu, suasana bilik air juga mampu dihidupkan dengan cara mengganti sinki dan kepala paip merujuk bayangan minda. Untuk mencapai matlamat ini, anda disyor keluar dari kepompong memilih sinki dan paip biasa dengan memberanikan diri meneroka rekaan, bentuk serta warna jarang dipilih orang.

Pilih sinki bentuk bibir berbanding bujur dan pasang pili air rekaan zaman kolonial menggantikan krom yang dimiliki sekarang. Pilihan aksesori unik berbaloi kerana menghulurkan gaya tersendiri selain sesuai dipraktikkan mereka yang gemar menampilkan hiasan bertema, merujuk gaya penataan tertentu dan sebagainya.

Pemasangan kabinet di kamar mandi digalakkan supaya ruang kelihatan kemas dan teratur.

Pemasangan kabinet digalakkan jika ada tempat untuknya. Kabinet membentuk perancangan ruang kemas dan teratur. Terdapat tiga gaya kabinet iaitu ruang penyimpanan terbuka, separa siap dipasang dan ditempah khas.

Ruang penyimpanan terbuka dianggap paling popular dan murah kerana menawarkan pilihan bentuk, ukuran, gaya dan warna yang tidak terbatas.

Kabinet separa siap dipasang dibikin mengikut permintaan individu. Ia menyediakan beragam kemasan, ukuran, warna dan rekaan. Kos pemasangannya mahal sedikit berbanding rak penyimpanan terbuka.

Manakala kabinet tempahan khas membabitkan kos pemasangan mahal kerana dibuat khusus kesesuaian pelan lantai selain khusus untuk keperluan ruang. Bagaimanapun pilihan rekaan, ukuran, warna dan gayanya masih meluas.

Kabinet dilihat lebih menarik jika dilengkapi kemasan pintu kaca telus pandang, dihiasi lampu di dalamnya dan sama ada dibina berbingkai atau tanpa bingkai. Namun, apapun rekaan dipilih, pastikan gaya kabinet sesuai dengan konsep ditonjolkan manakala operasi laci juga pintunya berjalan lancar.

Bagi bilik air dilengkapi ruang mandi pancur, kawasan itu dan tandas boleh dipisahkan dengan tabir. Ada pelbagai jenis tabir termasuk fabrik, vinil dan plastik bersifat kalis air.

Sungguhpun kalis air, anda tidak harus lepas tangan kerana keadaan basah kering menggalakkan pertumbuhan lumut, kulat, bakteria dan beberapa kuman berbahaya. Disebabkan itu, anda dinasihatkan membersih kemudian mengeringkannya bagi tempoh tertentu selain memastikan ia disembur dengan cecair anti kuman dan bakteria.

Justeru, hindari ‘melayan’ bilik air sebagai ruang kelas kedua sebaliknya tanamkan azam menghiasnya setaraf dengan ruang lain kediaman. Semuanya disebabkan bilik air bukan sekadar tempat mandi dan berdandan ringkas tetapi berfungsi sebagai ruang beristirahat dan menenangkan minda.

0 comments: