Thursday, December 31, 2009

Damai di Laman Sendiri

Damai di laman sendiri

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my




Binaan air, spesies pokok pilihan serta rajin selenggara antara syarat keindahan taman milik Jimmy Chiam

LAMAN yang cantik boleh dihasilkan dan kekal lama jika pemilik kediaman faham dan sentiasa menitik berat soal penyelenggaraan ruang berkenaan tidak kira sama ada kawasan berkenaan besar atau kecil.

Berpegang kepada kenyataan itu, Perunding Jualan, Jimmy Chiam membina laman di kediaman lot tepinya dan kini berjaya mengekalkannya walaupun sudah lima tahun usia kawasan berkenaan.


Katanya, beliau percaya sesiapa saja akan memiliki laman yang cantik jika faham bagaimana mahu mengurus dan menyelenggara kawasan berkenaan selain mempunyai minat mendalam terhadap seni hias laman.

“Tidak kira apa pun pilihan landskap yang mahu diketengahkan, cara mengurus dan menyelenggara laman sangat penting supaya ia kekal cantik dan berfungsi untuk kediaman,” katanya.

Laman cantik berkonsepkan nusantara kontemporari di Kota Kemuning, Shah Alam itu dihiasi dua unsur air iaitu satu kolam ikan koi dan pancuran air terjun yang menjadi titik tumpu lamannya.

Bebayang kemboja cantik di laman hijau.

“Kolam koi adalah mercu tanda selamat datang kepada pengunjung yang datang menziarah manakala pancuran air terjun itu menjadi titik tumpu laman dari ruang dalam kediaman. Pancuran air itu nampak berbeza jika dilihat dari dalam rumah.

“Kedua-duanya ada fungsi masing-masing dan bunyi deruan serta jatuhan air menghasilkan bunyi yang sangat unik dan mendamaikan,” katanya.

Sekali pandang ada yang menyatakan lamannya berkonsepkan Bali, tetapi bagi Jimmy lamannya mengetengahkan konsep nusantara kontemporari kerana menggunakan warna-warna ceria dalam menata hias tidak terhad kepada warna gelap dan lapuk yang banyak digunakan dalam konsep laman Bali.

Tempayan besar dari Thailand di dalam kolam koi berwarna hijau membuktikan lamannya memenuhi ciri kontemporari dan cuba lari daripada konsep Bali.

Pasu besar dari China cantik dihiasi teratai.

Satu kelainan yang diketengahkan dalam laman Jimmy, kolam dan pancuran air terjun tidak dihiasi tumbuhan air, sebaliknya tempayan dan pasu besar diletakkan di sudut lain dihiasi kiambang dan teratai.

Sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang perunding, katanya beliau menggabungkan konsep lama dan baru sesuai dengan kediamannya teres dua tingkat kos sederhana mewah dengan ciri moden.

“Gabungan nusantara dan kontemporari sangat sesuai kediaman ini menampilkan seni bina moden tetapi dalam masa yang sama saya menghargai dan mengekalkan budaya asal seperti penggunaan kerusi dan meja kopi yang di bilik di Melaka begitu juga terompah dan beberapa pasu bunga sederhana dalam laman,” katanya.

Mengenai pemilihan pokok, katanya beliau memilih tumbuhan yang senang dijaga kerana tidak ada masa yang banyak untuk menjaga pokok.

“Saya sukakan pokok hijau dengan daun pelbagai tekstur, skim warna dan spesies tetapi masih menepati ciri nusantara kontemporari. Kebanyakan pokok dengan daun hijau tetapi masih ada tumbuhan berbunga bagi membangkitkan seri laman seperti iris, kemboja, teratai dan ixora.

“Saya sukakan kemboja kerana ia penuh estetika dengan bauan dan bunga pelbagai warna selain mudah dijaga dan lebih tahan lasak. Kemboja akan mengeluarkan bunga yang banyak pada musim kering.

Menjelaskan mengenai lamannya, beliau sentiasa memastikan rumput hijau di ruang hadapan laman sentiasa pendek iaitu memotong rumput setiap 10 hari selain memangkas pokok serta membaja seminggu atau sebulan sekali mengikut spesies pokok.

“Memandangkan kesibukan bekerja, biasanya saya mendapatkan khidmat penjagaan laman daripada kontraktor landskap. Saya bertuah kerana berjiran dengan pereka laman yang banyak membantu dan memberi idea untuk laman ini,” katanya.

Bagi memberikan kelainan, laman Jimmy membuat pintu masuk khusus ke lamannya dan meletakkan pintu kayu serta pemijak batu pasir menjadi laluan masuk ke kawasan berkenaan.

Pintu kayu berkenaan dihiasi replika stupa kecil yang dibeli dari Bali menyerlahkan lagi ciri nusantara dalam taman berkenaan. Ruang pintu masuk itu lebih menyerlah kerana dihiasi pokok kemboja matang yang berfungsi meredupkan kawasan.

Jimmy turut menitipkan beberapa tip yang boleh dipraktikkan mereka yang berminat membina laman di kediaman seperti menetapkan konsep dan mengambil berat soal penyelenggaraan laman supaya laman kekal dan sentiasa cantik sesuai tujuan menjadi kawasan istirahat seisi keluarga.

“Sesiapa saja boleh membina laman sama ada menggunakan khidmat kontraktor laman atau dibuat sendiri, tetapi mengekalkan laman supaya cantik adalah satu perkara yang berbeza dan sering dilupakan pemilik kediaman. Untuk itu, sesiapa yang mahu laman yang cantik, perlu mengambil berat perkara itu,” katanya.

Tips Jimmy Chiam menjaga laman

  • Pastikan kolam tidak dihuni terlalu banyak ikan. Sejak dibina, Jimmy memastikan hanya sembilan ekor ikan koi menghuni kolam berkenaan. Kesihatan dipantau dan makanan tambahan diberikan sebulan sekali.

  • Rumput dipotong setiap 10 hari supaya kekal cantik.

  • Membaja dan memangkas pokok seminggu atau sebulan sekali mengikut spesies pokok.

  • Jimmy memilih pokok yang mudah dijaga dan diselenggara serta mengekalkan pokok yang daunnya tidak mudah gugur serta mengotorkan laman.

  • Laman perlu dibersihkan supaya ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa.
  • Racun serangga organik

    Racun serangga organik





    PENGGUNAAN racun serangga berasaskan bahan kimia dalam tempoh panjang memberi kesan kepada manusia, termasuk masalah kulit dan kemusnahan alam sekitar. Justeru, kini ramai yang beralih menggunakan bahan organik. Pakar Hortikultur, Abdul Rahim Rashid menunjukkan cara mudah, murah dan selamat menghasilkan racun serangga organik yang boleh dihasilkan sendiri di rumah.

    Racun serangga selamat: Pestisid botanik mesra alam dan murah menggunakan ramuan di dapur seperti bawang putih, halia, serbuk cili dan minyak masak

    PADA keluaran 8 November lalu, saya menjanjikan sesuatu yang mudah, menarik, murah dan selamat untuk menghasilkan bahan membunuh serangga perosak dan mengawal penyakit menggunakan bahan organik.


    Setiap kali mengadakan program seminar atau bengkel berkenaan landskap, saya sering kali diajukan persoalan mengenai pencegahan penyakit, racun yang biasa di gunakan dan cara menggunakan.

    Selain itu, kerap juga mendengar mengenai cara penggunaan racun perosak berasaskan bahan kimia yang tidak betul serta boleh mengundang bahaya jikalau salah menggunakan serta cara penyimpanannya.

    Konsep yang biasanya saya terangkan adalah konsep mengawal lebih baik dari mengubat terutama pada prinsip penyelenggaraan. Adakah anda terfikir bahawa bahan di dapur di sekeliling kita amat sesuai sebagai pencegah dan perawat serangan perosak dan penyakit pokok.

    Kerengga perosak buah.

    Tidak perlu memikirkan jenis racun kimia yang dibeli, bagaimana untuk menyimpan di tempat selamat, serta cara yang betul menggunakannya. Cuba anda fikirkan kesan dan akibat salah penggunaan bahan kimia ini.

    Sebelum bercerita lanjut berkenaan cara untuk penyediaan bahan berkenaan, berikutan senarai jenis serangga perosak ini.

    Serangga jenis mengunyah

    • Kumbang
    • Belalang
    • Kupu-kupu
    • Ulat Bulu
    • Siput
    • Lintah Bulan


    Serangga jenis menghisap (Pembawa virus dan penyakit)
    • Aphis @ Aphid @ kutu Daun
    • Koya
    • Pianggang
    • Teritip (Scaler)
    • Kulat Putih

    Penyediaan bahan Larutan stok

    • 1 liter Air
    • 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
    • 1 Sudu besar sabun basuh
    • 4 - 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )


    Langkah
    • Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
    • Tumbuk 4 - 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
    • Setelah dikacau , tapiskan
    • Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.


    Bagi serangan serangga jenis mengunyah, campurkan beberapa 2-3 biji cili api/masak (hancurkan ) atau lada hitam (ditumbuk) manakala serangan serangga jenis menghisap, anda perlu campurkan beberapa titis minyak listari (essential oil) atau halia (ditumbuk) atau serbuk kunyit. Bahan ini adalah campuran yang biasa saya nasihatkan kepada kepada suri rumah atau penggemar landskap dalam kuantiti yang sedikit. Selain daripada itu, ekstrak tumbuhan lain bagi tujuan kawalan serangga perosak dalam kuantiti yang besar adalah:

    Ekstrak bawang

    Kawal penyakit reput antraknos pokok cili serta hawar cili. Hancurkan 50 gm bawang dalam 1 liter air. Tapis dan semburkan pada pokok.

    Campuran minyak kayu putih (Tea Tree Mixture)

    Untuk mengawal penyakit lecuh. Campur 5 ml minyak kayu putih ke dalam 10-20 liter air. Gunakan dengan cara basahkan tanah di sekeliling pokok (Soil Drenching).

    Ekstrak halia

    Kawalan penyakit kulapuk. Kisar 20 gm halia dalam 1 liter air. Tapis dan sembur 3 kali seminggu.

    Ekstrak daun Neem (semambu)

    Untuk kawalan vektor seperti kutu daun, teritip dan lalat putih. Campurkan 2 kg daun Neem yang sudah di tumbuk lumat bersama dengan 30g sabun basuh. Tinggalkan semalaman dan tapis. Setiap 5 liter bahagian dicampurkan dengan 15 liter air dan semburkan ke pokok.

    Ekstrak bawang putih

    Juga untuk kawalan vektor seperti kutu daun dan teritip serta lalat putih. Campurkan 100 gm bawang putih dicincang dalam 0.5 liter air.

    Tambahkan 10 ml minyak masak dan 10 gm sabun. Tinggalkan semalaman dan tapiskan. Untuk semburan, campurkan larutan campuran bersama air dengan nisbah 1:200.

    Hakikatnya, bahan yang ada di sekeliling kita amat mudah ditemui dan dengan kos yang rendah, saya percaya penggunaan racun serangga kimia dapat dielakkan. Hasil yang didapati akan lebih baik malah boleh tidak perlu risau akan kesan sampingannya. Paling penting, ia murah, mudah dan senang.

    Selamat Mencuba.

    Pembiakan daun

    Pembiakan Daun

    Disediakan oleh Abdul Rahim Rashid


    Pokok duit-duit dibiak dengan ruas daun.

    Membiakkan pokok menggunakan keratan daun adalah cara mudah dan ringkas. Ikuti kaedah ini

    SAYA berharap keluaran lalu dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran serta pengetahuan mengenai keratan batang. Pada pengalaman yang ingin saya kongsi, ia mudah untuk dipraktikkan.

    Pada minggu ini saya akan menyambungkan topik berkenaan pembiakan vegetatif juga tetapi menggunakan keratan daun yang lebih mudah, ringkas dan senang di lakukan. Kumpulan pokok ini mempunyai banyak tisu lembut.


    Keratan daun boleh dilakukan untuk pokok berjenis

    • Herba (herbaceous) seperti pokok ati-ati, sanchzia, misai kucing dan selasih.
    • Pokok-pokok jenis lendair (succulents) seperti asam batu, gul bakawali, lidah mak mentua, paperomia dan gloxinia.


    Ada enam jenis keratan daun yang boleh dilakukan.
    • Helai daun/leaf blade
    • Tangkai daun/leaf petiole
    • Kepingan daun /leaf sectioned
    • Mengerat urat/veins severed
    • Ruas daun/leaf node
    • Tunas daun/leaf bud


    Alat dan Bahan
    • Pisau cantuman
    • Gunting pemangkas/hand pruner
    • Media perakaran/rooting media - Peatgro
    • Penggalak akar/rooting hormone


    Perhatian

    • Bahan-bahan tanaman yang dipilih mestilah segar , matang sihat dan tidak berpenyakit. Gunakan Peatgro sebagai media perakaran dan percambahan yang lebih efektif.


    Kepingan Daun/Leaf Sectioned

    • Helai daun di kerat 10 sentimeter lebar berbentuk tiga segi dan mempunyai beberapa urat-urat utama.
    • Celupkan di dalam penggalak akar. Kepingan daun ditanam secara menegak.
    • Anak dan akar keluar dari pangkal kepingan daun dan daun asal akan musnah. Anak-anak pokok yang baru boleh ditanam.


    Contoh:

    Gul bakawali (Epiphyllum), Asam batu (Begonia), Rumput payong (Cyperus) Gloxinia

    Ruas Daun

    • Dahan dikerat (panjang 5 hingga 6sm) berserta dua helai daun dan tunas ketiak (petile buds).
    • Pangkal dahan disapukan dengan penggalak akar dan ditanam di dalam media.
    • Akar akan keluar dari pangkal dahan dan pucuk baru akan keluar dari tunas ketiak.


    Contoh: Ati-ati, Sanchezia specioasa, Pseudoranthemum, Money plant,
    Berita Harian Jumaat 1.1.2010

    Friday, October 16, 2009

    Gerbang laman

    Oleh Rohaniza Idris
    roha@bharian.com.my




    Binaan junjung mudahkan pokok melilit, bangkit seri taman

    JUNJUNG taman adalah cara yang mudah menaikkan seri laman di samping menutup dinding yang kotor atau memberikan wajah baru di kediaman.

    Selain itu, junjung juga menampakkan laman kediaman lebih tinggi kerana ia menjadi tempat pokok berpaut. Junjung juga sesuai menjadi pemisah atau sempadan ruang laman dapur dengan laman hadapan.

    Tida kiralah sama ada menggunakan keluli, kayu atau plastik, junjung taman dapat menjadi titik tumpu laman tambahan pula jika ia dibina seperti pintu gerbang.


    Junjung sudah pastinya sesuai untuk tanaman memanjat seperti sirih, timun, tomato, labu, peria, petola, kembang pagi, kesidang (kerak nasi), pokok duit-duit, bunga kertas, bunga ros, bunga ketup-ketup dan akar dani.

    Namun sejak kebelakangan ini, ramai peminat seni hias laman memilih pokok anggur kerana ia tampak unik dan menarik bila menjalar di atas junjung.



    Berikut adalah beberapa langkah sesuai membina junjung di laman kediaman:

    • Langkah 1 - Pilih lokasi yang sesuai untuk meletakkan junjung, pastikan kawasan berkenaan terdedah kepada cahaya matahari yang diperlukan pokok memanjat. Pacak junjung di atas tanah atau dalam pasu atau bekas tanaman bergantung kepada kesesuaian.

    • Langkah 2 - Pastikan junjung yang dibina kukuh. Jika junjung berdiri dengan sendiri pastikan ia boleh tegak tanpa sokongan dengan menanamkannya 60 sentimeter di bawah tanah supaya ia stabil. Jika junjung diletakkan di sebelah dinding, tiang kayu atau binaan yang kukuh, junjung lebih selamat jika diletakkan kurungan.

    • Langkah 3 - Ketuk junjung menggunakan penukul dan jika tanah keras tanam junjungan di dalam lubang dan pastikan timbus betul-betul tanah supaya ia kekal tegak dan stabil.

    • Langkah 4 - Pastikan junjung yang dibina mengambil kira vertikal dan horizontal laman. Jika boleh selaraskan betul supaya ia sesuai dengan laman.
    • Langkah 5 - Jika boleh letakkan tiang junjung dekat dengan dinding atau tembok kerana ia akan dapat memastikan junjung tidak beralih atau terjatuh apabila tidak dapat menampung berat pokok apabila tumbuhan semakin matang.

    • Langkah 6 - Bagi memastikan tumbuhan memanjat junjung yang disediakan, asuh pokok atau aturkan tumbuhan mengikut ruang junjung yang disediakan.


    TIP: Memilih tanaman memanjat
    • Pilih pokok memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.

    • Pastikan struktur sokongan yang betul untuk disesuaikan dengan tanaman yang dipilih supaya tidak mengganggu

      tumbesarannya.

    • Membeli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu antara pilihan bijak kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.

    • Tanaman dalam pasu yang dibeli perlu dipastikan juga permukaan tanah tidak diliputi lumut atau akar yang terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.

    • Beli tanaman memanjat yang berkualiti dan bebas serangan serangga perosak.

    Taman Ramuan: Tuai hasil sendiri

    Oleh Rohaniza Idris
    roha@bharian.com.my




    Pokok cili, terung dan serai antara pokok wajib Taman Ramuan

    USAHA memperkenalkan konsep 'Edible Garden' atau Taman Ramuan ilham Tun Jeanne Abdullah, kira-kira dua tahun lalu kini terbukti semakin digemari ramai.

    Selain memanfaatkan masa yang terluang, aktiviti berkebun ini juga menyumbang kepada ekonomi rumah tangga apabila pasangan suami isteri dapat berjimat cermat dengan menuai hasil titik peluh. Lebih menarik, minyak kereta atau motor juga dapat dijimatkan apabila tidak lagi perlu ke kedai semata-mata untuk mencari dua tiga helai daun kari yang boleh dipetik di Taman Ramuan.

    Tidak hairanlah, ramai yang berusaha membina kebun dapur di kediaman masing-masing walaupun laman hanya 'sekangkang kera' atau ruangnya terhad.

    Pengurus Acacia Landscape Consultants Sdn Bhd, Norzwin Mohd Noor, berkata sudah ada pelanggan yang menanyakan mengenai Taman Ramuan itu sejak kebelakangan ini, termasuk mereka yang menginap di kediaman yang mempunyai laman terhad seperti rumah teres.

    "Namun, secara umumnya mereka masih kurang jelas mengenai konsep taman ramuan yang sebenarnya dan menganggap ia hanya sesuai untuk laman di bahagian belakang atau dapur saja.



    "Ini tidak tepat kerana hakikatnya, taman ramuan juga boleh di bangunkan di laman hadapan kediaman," katanya.

    Norzwin berkata, antara pokok yang mendapat sambutan bagi penggemar Taman Ramuan ini adalah cili, terung, daun kari, serai, kunyit serta daun pandan.

    "Selagi boleh, kami mahu menerapkan konsep taman ramuan dalam setiap rekaan landskap yang bakal dibina kerana ia lebih berbaloi ditanam. Kami akan menerangkan kepada pelanggan mengenai konsep kebun dapur ini serta fungsi tumbuhan yang diperkenalkan supaya mereka lebih faham dan menghargainya," katanya.

    Norzwin berkata, kebiasaannya, kebun dapur yang dibina tidak terhad menggunakan tumbuhan boleh dimakan saja tetapi turut membabitkan tumbuhan hiasan untuk kegunaan aromaterapi dan herba yang menyembuhkan penyakit atau tumbuhan yang boleh dimanfaatkan pemilik kediaman seperti pokok halau nyamuk dan tongkat ali.


    "Kami juga terapkan konsep kebun dapur bukan hanya dibina di kawasan sekitar belakang rumah sebaliknya menjadi penghias laman hadapan. Ini bermakna ia boleh diselang selikan dengan pokok bunga seperti mawar, bunga kembang pagi serta periuk kera," katanya.

    Malah, katanya, jika diamati, tumbuhan herba yang boleh dimakan juga cantik sebagai penghias laman depan seperti pokok hati-hati, cili dan tongkat ali manakala periuk kera spesies pokok memanjat cantik menjadi penghias tepian pagar atau buaian kayu.

    Beliau menjelaskan Taman Ramuan atau Kebun Dapur juga menerapkan elemen bau-bauan iaitu adanya pokok yang berfungsi mengharumkan laman seperti melur, tanjung dan bunga ros Jepun.

    "Laman yang cantik bukan hanya menarik dipandang tetapi mempunyai fungsi tertentu untuk penghuni kediaman. Elemen deria perlu di ambil kira untuk membangunkan landskap kediaman kerana ia dapat meningkatkan lagi gaya hidup penghuni," katanya.

    Tip : Idea Taman Ramuan

  • Gabungkan deria untuk membangunkan Taman Ramuan seperti sentuhan, rasa, mendengar, melihat dan bau.

  • Pastikan gabungan yang sesuai - seelok-eloknya pokok ulaman tanpa perisa dengan pokok yang mudah diserang penyakit seperti pokok bunga tahi ayam dengan tomato.

  • Gunakan pasu dan petak kayu atau plastik serta hiaskan dengan batu sungai dan batu pasir untuk mencantikkan lagi taman.

  • Buatkan busut dan susun pokok secara bertingkat atau gunakan pegola dan sangkutkan pasu kecil di para-para untuk memberikan kesan eksotik. Boleh juga gunakan buaian.

  • Gunakan sabut kelapa kering untuk menutup ruang dan menaikkan seri taman.
  • Tanaman pasu gantung

    Bersama Abdul Rahim Rashid, Pakar Hartikultur.
    bminggu@bharian.com.my




    Kaedah popular dan mudah bagi hiasi laman di kawasan terhad

    MEMILIKI kediaman dengan kawasan yang terhad sebenarnya tidak menyekat usaha menghias laman rumah. Sebaliknya, ada banyak cara untuk menghias laman walaupun ruang laman kecil atau sekadar balkoni kecil untuk kediaman tinggi seperti apartmen dan kondominium.

    Pasu gantung adalah cara yang terbaik untuk menghias laman terhad atau ruang balkoni kediaman dan pakar landskap pastinya mencadangkan cara berkenaan untuk menceriakan persekitaran kawasan terhad. Namun, teknik ini memerlukan pengetahuan mengenai spesies yang sesuai, pemilihan bekas tanaman dan kreativiti mencipta dekorasi sampingan hingga membolehkan setiap pasu digantung kelihatan indah menawan.

    Bagaimanapun, diketahui tidak semua pokok hiasan boleh ditanam dalam pasu gantung kerana sesetengahnya mungkin alah kepada tiupan angin atau hayunan pasu. Selain itu tekstur daun dan bentuk asal batang pokok juga penting kerana jika tidak memiliki sifat berjuntai atau menjalar mungkin tidak cantik untuk laman.

    Berikut langkah mudah penyediaan pasu gantung:

    A Penyediaan peralatan dan kelengkapan:

    Kaedah tanam terus pokok matang - 1. Penuhkan pasu gantung dengan campuran tanah. 2. Tanam secara mengiring. 3. Padatkan pasu dengan tanah campuran. 4. Buatkan sungkupan menggunakan sabut kelapa.

    1. Pokok yang sesuai - contoh : Begonia tuberos, Clorophytum, Petunia, Hemigraphis, Impatiens, Pepromia, Clerodendron.

    2. Bekas pasu gantung

    3. Media : Peatgro ( Bahan Organik ), Cocoa Peat @ Sekam Padi, Baja Asas ( TSP, NPK, Ca/Mg@Kapur pertanian )

    4. Gunting, sudip pertanian


    B Penyediaan media tanaman

    1. Campuran tanah terbaik untuk pasu tanaman pokok gantung:

    1 : 1 : 1

    Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith : Sekam Padi, atau

    1 : 1

    Peatgro (Bahan Organik) : Cocoa Pith atau Sekam Padi. Perlu diingat, pokok yang baik bermula dengan tanah (media) yang bagus.

    2. Baja asas

    Baja Organik - 150 gram

    Baja Phosphate ( TSP ) - 150 g

    Kapur Pertanian ( Ca ) - 60 g

    (Sila rujuk keluaran Berita minggu ruangan laman topik : campuran tanah)

    C. Cara penanaman

    Dilakukan dengan tiga cara:

    1. Semaian biji benih ( seedling )

    2. Semaian terus - menggunakan keratan atau pokok matang

    3. Pot-in-Pot

    Ruangan kali ini akan menerangkan kaedah tanaman terus dan Pot-In-Pot saja yang lebih mudah diikuti.

    D. Langkah penyediaan pasu gantung:

    1. Campurkan campuran media penanaman dengan sekata. Penggunaan Peatgro sebagai media penanaman utama sangat penting kerana memberikan kualiti media yang baik, pH yang sesuai serta memastikan kelembapan yang sekata. (Rujuk keluaran Berita Minggu pada isu penyediaan media penanaman)

    2. Pastikan pasu gantung sesuai dari segi saiz.

    3. Bahagian lapisan bawah - gunakan sabut kelapa sebagai lapisan pengairan.

    4. Masukkan media tanaman yang sudah dicampurkan

    E. Memulakan penanaman

    Semaian terus - keratan

    1. Pilih keratan pokok yang sesuai

    2. Sapukan hormon penggalak akar

    3. Tanam mengikut susunan yang dikehendaki. Boleh juga gabungan menjalar (di hujung pasu) dan pokok menonjol di bahagian tengah.

    Atau

    Tanaman terus - pokok matang

    1. Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan campuran tanah

    2. Keluarkan pokok dari pasu

    3. Tanam secara mengiring

    4. Penuhkan dengan tanah campuran semula ataupun Peatgro

    5. Buatkan sungkupan menggunakan sabut kelapa ( cocoa fiber )

    Atau

    Pot-In-Pot

    1. Penuhkan sebahagian pasu gantung dengan tanah campuran

    2. Tanam terus pokok bersama pasu . Susun keliling dan secara mengiring ( slanting )

    3. Tambahkan campuran media tanaman ataupun Peatgro

    4. Buat Sungkupan menggunakan sabut kelapa ( Cocoa fiber )

    F. Penjagaan dan penyelenggaraan

    1. Pembajaan - Gunakan Side Dressing ( tabur tepi) 4 - 6 minggu, 30 - 40 g baja NPK 15-15-15-TE atau baja cecair

    2. Pengurusan air - Pastikan tidak menggunakan air yang berlebihan. Hanya pastikan media tanaman dalam keadaan lembap

    3. Pemangkasan - Penting menjalankan pemangkasan untuk memastikan lebih banyak tunas bunga baru. Pemangkasan pada cabang yang tua serta tidak memberikan bentuk yang menarik. Pemangkasan juga untuk membuang daun atau cabang yang berpenyakit

    4. Kawalan Penyakit - Sembur menggunakan Racun Serangga dan perosak ( Kelas 4 ) atau menggunakan pencegah serangga organik - campuran bahan Dapur (Rujuk kolum yang lalu mengenai usaha tanam bendi). Guna bila perlu saja.

    G. Lokasi
    Bergantung kepada jenis tanaman. Rujuk nurseri mengenai pemilihan pokok serta keperluan pencahayaan. Kebanyakan memerlukan cahaya terus dan ada yang memerlukan pencahayaan tidak lebih 40 peratus pencahayaan. Selamat Mencuba.

    Info
    Pembaca yang mempunyai sebarang pertanyaan kepada pakar landskap dan perkebunan, Abdul Rahim Rashid, boleh menghantar soalan di e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

    Saturday, August 8, 2009

    my beautiful garden-you tube

    Friday, August 7, 2009

    Bilik air bukan sekadar tempat mandi

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my


    Pastikan susun atur serta perancangan ruang dibuat merujuk kepada fungsi dan keperluan.

    Jangan jadikan bilik air kelas kedua sebaliknya hiasnya seperti ruang lain di kediaman anda

    BILIK air tidak seharusnya hanya bergantung kepada kelengkapan dan perkakasan asas tetapi elok menonjolkan aksesori tambahan. Ini kerana fungsinya bukan sekadar tempat membersihkan diri tetapi mula dianggap ruang berehat serta menenangkan fikiran terutama yang memiliki tab mandi di ruang itu.

    Lumrah masyarakat kini sanggup berhabis wang, masa dan tenaga demi menyediakan sebuah ruang kediaman selesa, aman dan tenteram. Bilik air tidak harus dikecualikan sebaliknya kelengkapan dan perhiasan tambahan berupaya membantu meningkatkan kualiti hidup.


    Laman web http://www.opentips.com menyatakan secara amnya, pelan asas bilik air mengandungi tandas dan sinki. Perancangan ruang sebegini dibuat merujuk fungsi dan keperluan. Namun, persepsi kebanyakan orang yang melabelkan tandas tetap tandas sedikit sebanyak menyekat keanggunan dan keceriaan penataan bakal ditonjolkan.

    Selain itu, kepelbagaian produk ditawarkan sepatutnya dimanfaatkan bagi mencari rekaan sesuai keperluan di samping membentuk perasaan senang ketika menggunakannya, bukan kesempurnaan diburu tetapi akhirnya, kelengkapan dipilih tidak praktikal dan menyusahkan.

    Dalam usaha mendapatkan reka bentuk dan suasana bilik air idaman, selain tandas dan sinki, kelengkapan tambahan berupa pencahayaan patut difikirkan.

    Rekaan kabinet bilik mandi perlu selaras konsep dan berada di kedudukan sepatutnya.

    Di pasaran ditawarkan pelbagai jenis pencahayaan namun anda dinasihatkan memilih sesuai cita rasa. Misalnya, sesetengah orang menyenangi lampu rekaan ringkas namun bercahaya terang manakala ada juga memilih lampu gaya ranggi untuk suasana ceria.

    Mereka yang mahukan ketenangan dan ingin diselubungi ragam romantik, diusulkan mengganti lampu cerah, kalimantang misalnya, kepada lampu lekap bercahaya samar. Pilih jenis, bentuk dan warna mentol yang mampu memberi sentuhan anggun di ruang yang diakui terbatas keluasannya itu.

    Selain itu, suasana bilik air juga mampu dihidupkan dengan cara mengganti sinki dan kepala paip merujuk bayangan minda. Untuk mencapai matlamat ini, anda disyor keluar dari kepompong memilih sinki dan paip biasa dengan memberanikan diri meneroka rekaan, bentuk serta warna jarang dipilih orang.

    Pilih sinki bentuk bibir berbanding bujur dan pasang pili air rekaan zaman kolonial menggantikan krom yang dimiliki sekarang. Pilihan aksesori unik berbaloi kerana menghulurkan gaya tersendiri selain sesuai dipraktikkan mereka yang gemar menampilkan hiasan bertema, merujuk gaya penataan tertentu dan sebagainya.

    Pemasangan kabinet di kamar mandi digalakkan supaya ruang kelihatan kemas dan teratur.

    Pemasangan kabinet digalakkan jika ada tempat untuknya. Kabinet membentuk perancangan ruang kemas dan teratur. Terdapat tiga gaya kabinet iaitu ruang penyimpanan terbuka, separa siap dipasang dan ditempah khas.

    Ruang penyimpanan terbuka dianggap paling popular dan murah kerana menawarkan pilihan bentuk, ukuran, gaya dan warna yang tidak terbatas.

    Kabinet separa siap dipasang dibikin mengikut permintaan individu. Ia menyediakan beragam kemasan, ukuran, warna dan rekaan. Kos pemasangannya mahal sedikit berbanding rak penyimpanan terbuka.

    Manakala kabinet tempahan khas membabitkan kos pemasangan mahal kerana dibuat khusus kesesuaian pelan lantai selain khusus untuk keperluan ruang. Bagaimanapun pilihan rekaan, ukuran, warna dan gayanya masih meluas.

    Kabinet dilihat lebih menarik jika dilengkapi kemasan pintu kaca telus pandang, dihiasi lampu di dalamnya dan sama ada dibina berbingkai atau tanpa bingkai. Namun, apapun rekaan dipilih, pastikan gaya kabinet sesuai dengan konsep ditonjolkan manakala operasi laci juga pintunya berjalan lancar.

    Bagi bilik air dilengkapi ruang mandi pancur, kawasan itu dan tandas boleh dipisahkan dengan tabir. Ada pelbagai jenis tabir termasuk fabrik, vinil dan plastik bersifat kalis air.

    Sungguhpun kalis air, anda tidak harus lepas tangan kerana keadaan basah kering menggalakkan pertumbuhan lumut, kulat, bakteria dan beberapa kuman berbahaya. Disebabkan itu, anda dinasihatkan membersih kemudian mengeringkannya bagi tempoh tertentu selain memastikan ia disembur dengan cecair anti kuman dan bakteria.

    Justeru, hindari ‘melayan’ bilik air sebagai ruang kelas kedua sebaliknya tanamkan azam menghiasnya setaraf dengan ruang lain kediaman. Semuanya disebabkan bilik air bukan sekadar tempat mandi dan berdandan ringkas tetapi berfungsi sebagai ruang beristirahat dan menenangkan minda.

    Unsur semula jadi gaya hidup sekeluarga

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my




    Perabot anyaman batang pisang, tiang sempadan kayu tidak berketam naikkan seri gaya tropika kediaman Maizatul

    ALAM mencetuskan inspirasi kepada Maizatul Arzia Omar untuk tampil dengan gaya penataan tropika kontemporari seterusnya menghulurkan tuah apabila dinobatkan juara kategori teres sebelum diumum pemenang utama pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008.

    Konsep mesra alam ini kata Maizatul mewakili gaya hidup dan peribadi beliau sekeluarga yang mencintai unsur semula jadi dan gaya penataan sejagat.


    “Saya ingin kediaman tampil seragam baik dari segi warna, perabot, kemasan mahupun perhiasannya. Bagi memastikan matlamat ini dipatuhi, saya pastikan coklat redup dijadikan warna utama,” kata pendidik yang baru setahun menduduki kediaman teres dua tingkat di Putrajaya ini.

    Gaya tropika diberi penekanan di ruang tamu dan ruang makan berhampiran, diperlihatkan melalui perabot anyaman batang pisang, tiang sempadan kayu tidak berketam yang berfungsi memisahkan dua ruang selain hiasan dinding motif bunga eksotik bird of paradise yang dibeli di Vietnam.

    “Dulu di ruang menempatkan lukisan itu menyediakan tingkap. Saya mengambil keputusan menutupnya kerana berasa kediaman ini menerima cukup pencahayaan melalui dua pintu kaca sorong, dibina di ruang hadapan dan sisi rumah.



    “Lukisan bersaiz besar ini dijadikan titik tumpu ruang tamu. Secara kebetulan latar coklat daun serasi warna perabot manakala palitan jingga menawarkan kehangatan suasana di ruang dikuasai tona redup,” katanya.

    Bagi meredakan bahang dan menapis kemasukan cahaya daripada pintu gelungsur, Maizatul menempatkan pintu lipat gergasi kaca telus pandang di belakang kerusi anyaman rotan dua tempat duduk.

    “Pintu lipat ini berfungsi dua cara iaitu meminimumkan kemasukan cahaya selain berperanan sebagai penghadang yang memisahkan ruang tamu dengan ruang makan,” katanya yang gemar meninjau dari satu ruang pameran perabot ke ruang pameran lainnya demi mendapatkan kelengkapan sama tema dan rekaan.

    Kesinambungan konsep tropika diteruskan melalui pencahayaan lampu gantung dan berdiri mengambil citra alam. Di penjuru ruang makan misalnya, ditempatkan lampu berdiri terendak bubu ikan manakala di ruang tamu serta ruang makan dipasang lampu dengan penambahan aksesori tali jut.

    Wakaf kayu halaman depan menyediakan kemudahan beristirahat.

    Ruang berborak yang berkongsi pelan lantai dengan ruang tamu pula dihidupkan dengan hiasan gantung gugusan tempurung kelapa ole-ole bali yang digandingkan bersama kabinet hiasan ukiran timbul disertai ukiran kayu yang dibingkaikan.

    Sementara, bertentangan laluan masuk ditempatkan bangku kayu berkaki konkrit yang disusun rapat ke dinding.

    Maizatul berkata, bangku berkenaan dijadikan tempat duduk tambahan ketika menerima ramai tetamu. Supaya ruang duduk tidak nampak kosong, beliau menyelitkan beberapa lilin dalam bekas kayu bersama sepasu pokok pakis di situ.

    Ruang dapur menyimpan pengertian tersendiri kepada Maizatul kerana selain tempat memasak dan mencuba resipi baru, ia antara ruang mereka sekeluarga mengeratkan silaturahim dengan tetamu. Justeru, Maizatul berpendapat ruang berkenaan perlu dipastikan sentiasa kemas, selesa dan praktikal.

    “Kerana menyanjung keselesaan, saya dan suami putuskan membina kabinet unit gantung dan dasar di situ. Namun, saya tidak mahukan rekaan kabinet yang biasa sebaliknya dilengkapi kaunter bar dengan kemasan kayu lamina bertekstur. Dinding antara unit dasar dengan gantung dipasang jubin kecil warna tanah liat yang menjadi perantara gaya tropika kontemporari,” katanya yang turut menggantung cermin besar di ruang dapur dan ruang makan untuk kesan luas.

    “Walaupun seni bina kediaman ini menawarkan banyak binaan pintu dan tingkap bagi menggalakkan kemasukan pencahayaan luar, cermin tetap diperlukan bagi menampakkan kesan luas apatah lagi kedudukan ruang makan dan ruang dapur berdekatan,” katanya.

    Keselesaan dan ciri praktikal sekali lagi dijadikan panduan ketika mengadun susun atur kamar tidur utama. Memandangkan keluasan bilik terhad, Maizatul memastikan perabot pilihan sesuai ukuran ruang seperti katil ukiran raja, almari pakaian dua pintu serta sebuah almari solek dan kabinet hiasan.

    “Walaupun bilik sempit dan perabot kayu gelap digunakan mujur suasana tidak suram kerana diterangi cahaya luar yang menerobos masuk melalui tingkap serta pintu kaca sorong. Sekali lagi lukisan bunga dijadikan titik tumpu dinding,” katanya.

    Selain hiasan dalaman, pengaruh tropika cuba diterjemahkan Maizatul dan suami, Mohamad Sobri Mat Daud di landskap berkolam halaman rumah. Kepelbagaian spesies tumbuhan eksotik teratai, kiambang, keladi, lidah jin, buluh cina, halia bara, periuk kera, puding dan sebagainya mengimbangi landskap kejur wakaf, laluan batu sungai serta pemijak kaki kayu serta konkrit bercetak motif daun.

    Melengkapi gaya, hiasan tambahan berupa sangkar burung, tempayan besar, loceng angin, lampu taman bentuk rumah pagoda dan air pancut yang mencurah keluar dari kayu hanyut disediakan. Landskap tropika ini kata Maizatul selain mewujudkan pertalian erat dengan alam juga menyuntik kedamaian melalui gemersik bunyi air terjun.

    INFO: Kediaman Maizatul

  • Sahabat terdekat menggelarkan kediamannya sebagai Rumah Contoh Putrajaya.

  • Selain juara kategori teres dan pemenang hadiah utama pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008, Maizatul pernah memenangi Anugerah Kediaman Cantik Putrajaya 2003 (kategori teres kuarters), anugerah utama, Anugerah Kediaman Cantik Putrajaya 2004/05, anugerah khas, Anugerah Laman Cantik Putrajaya 2006/07 (kategori teres kuarters).

  • Pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008 adalah percubaan pertamanya bagi pertandingan anjuran media. Dia mengambil keputusan menyertai setelah didesak rakan-rakan.

  • Cermin besar ditempah khas dibuat mengikut ukuran dan kesesuaian ruang.

  • Bagi Maizatul, aksesori Asia menitipkan gaya ekslusif kerana meminjamkan karektor tersendiri kepada konsep pilihan.
  • Gaya menyusun ruang tamu

    Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM, Shah Alam)


    Pastikan meja kopi ditempatkan di tengah ruang untuk memudahkan tetamu mengambil hidangan ringan.

    Perlu bijak menilai set kerusi tamu untuk penuhi keperluan peranan ruang bagi menyuntik suasana damai

    RUANG tamu adalah ruang yang dikhususkan menerima tetamu dan berfungsi tempat pertemuan keluarga. Apapun aktiviti dilakukan, kerusi dianggap keperluan dan nadi ruang berkenaan.

    Suatu ketika dulu, ruang tamu tetap berfungsi tanpa kerusi kerana masyarakat waktu itu hanya duduk bersila di lantai. Namun, ketika status dan keupayaan memiliki set tempat duduk diperoleh dengan mudah, memiliki set perabot lengkap di ruang tamu bukan masalah besar.


    Apapun, anda perlu bijak menilai set kerusi tamu paling sesuai untuk memenuhi keperluan fungsi ruang itu. Oleh kerana kehadiran tempat duduk berupaya menyuntik suasana tertentu, maka sebelum sofa dan kerusi dibeli, perkara berikut perlu dipertimbangkan;

    Kategori Pengguna

    Kenal pasti kategori pengguna ruang tamu iaitu adakah membabitkan golongan dewasa, orang tua atau kanak-kanak?

    Kerusi dan meja tambahan melengkapi susun atur ruang tamu.

    Jika golongan tua pengguna utamanya, pastikan kerusi dipilih sesuai keperluan mereka.

    Jika ia kerap dikunjungi kanak-kanak dan haiwan peliharaan, pastikan anda membeli sofa fabrik jenis sarung boleh tanggal dan cuci.

    Bilangan Pengguna

    Perlu pastikan jumlah pengguna untuk mengetahui jumlah tempat duduk yang patut disediakan.

    Sediakan juga tempat duduk tambahan bagi menampung tetamu hujung minggu dan sesekali, jika menganjurkan majlis keraian.

  • Aktiviti Pengguna

    Adakah kegiatan ruang tamu terhad kepada merai tetamu? Bagaimana dengan aktiviti lain seperti menonton televisyen, mengulang kaji pelajaran, membaca, membuat kerja tangan, bermain, makan atau mendengar muzik?

    Setelah mengenal pasti jenis aktiviti yang dilakukan di ruang ini, sediakan keperluan ruang itu seperti kelengkapan tambahan yang boleh dipelbagaikan kegunaannya.

    Gaya susun atur tempat duduk

    Gaya dan susun atur tempat duduk ruang tamu memerlukan sentuhan kreatif dan beberapa kehendak praktikal perlu dipatuhi. Tiga gaya asas mengatur tempat duduk di ruang tamu ialah:

    1. Susunan segi tiga

    Gaya susunan segi tiga membabitkan kedudukan tiga penjuru iaitu sofa tiga tempat duduk disusun mengadap meja kopi, diiringi sofa satu tempat duduk ditempatkan di kedua-dua penjurunya.

    Gaya ini pilihan popular di ruang tamu kerana kedudukannya mesra selain memudahkan tetamu serta tuan rumah berbual juga mengatur kedudukan apabila hendak duduk.

    2. Susunan bulat

    Gaya susunan bulat mengutarakan sofa berbentuk L dengan sofa satu tempat duduk tambahan ditempatkan di sisi manakala meja kopi diletak di tengah ruang.

    Gaya ini popular untuk ruang tamu moden kerana nampak santai dan sesuai bagi memupuk kemesraan keluarga.

    3. Susunan separuh bulat.

    Gaya susunan separuh bulat disusun dengan sofa dua atau tiga tempat duduk dijadikan fokal dan dikelilingi sofa satu tempat duduk serta meja kopi di tengah.

    Gaya ini agak formal iaitu tuan rumah duduk di sofa tengah dan dikelilingi tetamu. Gaya ini amat sesuai untuk tuan rumah memberi tumpuan kepada kesemua tetamunya.

    Berikut beberapa tip menyusun atur sofa di ruang tamu; Kehendak praktikaliti dan peraturan yang perlu diikut;

  • Jika ruang tamu ingin dimanfaatkan tempat merai tetamu sepenuhnya, temoar duduk elok disusun berdekatan supaya tetamu merasai kemesraan tuan rumah. Pastikan jarak di antara tempat duduk tidak terlalu jauh hingga mewujudkan ruang di tengah yang boleh menjadi kawasan lalu-lalang. Ini akan mengganggu perbualan dan sebaiknya, aliran lalu-lalang disediakan di belakang sofa.

  • Ambil kira keluasan ruang tamu, kedudukan tingkap dan pintu sebelum memilih tempat duduk kerana sofa memerlukan ruang. Pastikan kehadirannya tidak menghalang kawasan lalu-lalang di muka pintu atau sekitar ruang tamu.

  • Jika ruang tamu anda memanjang dan sempit, bahagikan tempat duduk kepada dua kumpulan iaitu sama ada tempat duduk gaya susunan 2 + 1 + 1 atau gaya susunan 1 + 1 dan di sudut lain ditempatkan kerusi kayu serta rotan yang ringkas. Meja kopi diletak di bahagian tengah.

  • Sofa dua atau tiga tempat duduk tidak bukan bermakna sepanjang masa diduduki.

    Biasanya ia tidak digunakan sepenuhnya pada satu masa kerana menyukarkan perbualan. Di sini, perlunya tambahan sofa satu tempat duduk yang dapat memberi keselesaan.

  • Ruang tamu yang digunakan untuk berbual dan menikmati hidangan ringan memerlukan meja kopi besar diletakkan di tengah ruang dilengkapi meja sisi serta sepasang sofa dua atau tiga tempat duduk diatur bertentangan.

  • Untuk mengelakkan kebosanan selain mewujudkan tata hias menarik, pastikan fabrik pelbagai warna dan corak dipilih. Gabungan sofa dan kerusi pula mampu mewujudkan kelainan.

  • Kerusi beralas tangan jenis rotan dan kayu serta sofa bersayap menampilkan gaya menarik. Selain itu, ia boleh dijadikan tempat duduk tambahan dan sudut membaca.
  • Gaya Inggeris serlah imej kewanitaan

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my




    Konsep diketengahkan Zuraida mencuri tumpuan menerusi kemasan, warna, perabot dan perhiasan

    KEBELAKANGAN ini, gaya Inggeris dilihat kembali menguasai hiasan dalaman. Kemunculannya bukan sekadar penyeri landskap bahkan mencuri tumpuan menerusi kemasan, warna, perabot dan perhiasan. Juara kategori banglo/semi-D Pertandingan Rumah Idaman Berita Minggu 2008, Zuraida Jais tidak ketinggalan mencuba gaya Inggeris di kediamannya, namun diadun bersama sentuhan klasik moden disulami pengaruh Eropah.

    “Saya mudah tertawan dengan gaya Inggeris yang menyerlahkan imej kewanitaan. Rambang mata dihidangkan dengan pilihan produk yang cantik belaka. Begitupun, saya sering mendidik diri supaya berhati-hati sewaktu membelinya. Bukan sayangkan duit tetapi tidak mahu ruang sarat dan bercelaru,” katanya.


    Zuraida yang juga seorang guru gemar mencari ilham melalui buku hiasan dalaman. Bagaimanapun, semua yang dibaca tidak 100 peratus dituruti sebaliknya diadun bersama gerak hati dan selera peribadi.

    “Saya suka memerhati gambar yang terpampang di buku dan majalah. Namun, tidak semua boleh ditiru tetapi mencuba mana yang sesuai dengan pelan lantai dan suasana kediaman saja,” katanya sebelum menunjukkan dinding tambahan berbingkai dan bercat putih yang dipasang di tengah ruang tamu dengan ruang makan.

    “Selain berfungsi sebagai pembahagi ruang, dinding ini memberikan ‘privacy’ dari segi menyembunyikan pemandangan ruang dapur dengan sudut tangga. Dengan adanya dinding ini, pandangan tetamu tidak terus menghala ke dua ruang ini,” katanya yang mengaku tuah dianugerahkan rumah dilengkapi siling tinggi.

    Ruang santai bertentangan ruang tamu.

    “Siling tinggi membuatkan ruang nampak sekali ganda luas,” katanya.

    Kelebihan siling tinggi dimanfaatkan melalui pemasangan candeliar bercawang gantung dan lekap dilengkapi perabot ukuran besar.

    “Gaya penataan ruang tamu ini mengambil ilham majalah hiasan dalaman luar negara yang dibaca. Saya dapati ruang yang silingnya tinggi patut dihiasi perabot besar dan lampu gantung. Saya juga mengagumi hiasan dalaman Seri Carcosa menyebabkan gaya penataan bangunan itu mempengaruhi pilihan konsep,” katanya.

    Sementara, warna dijadikan medium utama menunjukkan fungsi dan estetika ruang. Justeru, tidak hairan setiap dinding dicat warna tertentu, misalnya, putih melatari ruang tamu, kuning bagi ruang dapur, hijau menyeri ruang santai manakala dinding bilik tidur utama dilitupi kertas dinding warna coklat lumpur.

    Ruang makan nampak luas dengan cermin besar.

    Zuraida berkata, elemen warna sebahagian strateginya dalam mencipta serta mengubah ragam suasana.

    “Cat kemasan paling murah dalam mempelbagai gaya berbanding mengubahsuai ruang dan membeli perabot baru. Menerusi warna, bermacam gaya boleh diteroka tanpa perlu bimbangkan pembaziran. Andai tidak berkenan dengan hasilnya, gantikan saja dengan warna baru yang lebih menepati selera,” katanya yang menyenangi himpunan warna semula jadi namun memilih kuning dan hijau terang di ruang dapur kerana percaya ia mampu membangkitkan semangat.

    Kerjayanya sebagai pendidik ditambah memiliki lima orang anak dengan bongsu berumur 4 tahun, Zuraida akui kadangkala sulit menguruskan rumah lima bilik tidur ini. Ketiadaan pembantu rumah makin menyukarkan keadaan.

    Pun, sesibuk manapun dia memastikan segenap ruang kediaman dikemas dan dibersihkan tanpa menunggu hujung minggu. Kepada anak-anak, disematkan sikap menjaga kebersihan di samping tidak culas mengurus bilik masing-masing.

    Hasilnya, bukan saja hiasan dalaman tampil menguja bahkan Zuraida sempat meluangkan masa membina landskap Inggeris lengkap binaan kolam buatan dan buaian gantung.

    Terletak bertentangan ruang makan, landskap berkenaan menjadi santapan mata kala menghadapi hidangan bersama keluarga dan tetamu. Lagipun, ini sebahagian usaha Zuraida mewujudkan kediaman damai sekali gus memenuhi prinsip ‘Rumah Idaman’ yang diperjuangkannya.

    INFO: Kediaman Zuraida

  • Pilih gaya Inggeris yang digandingkan dengan klasik moden dan Eropah.

  • Binaan tingkap kecil menyekat kemasukan udara dan cahaya serta dilengkapi dengan dengan cat dinding warna cerah dan semula jadi.

  • Unsur bunga ditonjolkan melalui corak cadar dan langsir, motif perabot, terendak lampu, kelengkapan menghidang hiasan selain sudut tertentu menampilkan jambangan pelbagai jenis bunga tiruan.
  • Kreativiti gantung potret

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my

    Gabungan potret kecil, besar mampu tonjol imej subjek

    MENGGANTUNG gambar dan perhiasan memerlukan ilham serta sentuhan kreatif. Elok susunan serta indah elemen yang ditonjolkan, bukan saja mengundang perhatian tetamu, malah apa yang dipamerkan mampu menambah nilai karya seni itu.

    Bagi yang mencari teknik dan panduan menghias dinding khususnya menggantung gambar, petua pakar hiasan dalaman, Roddie Harris boleh dicuba.


    Harris berkata, perkara pertama yang perlu dibuat sebelum menggantung gambar ialah menetapkan titik tumpu di dinding. Cara ini amat berguna bagi sekelompok gambar, lukisan atau foto.

    “Susun atur paling kreatif ialah menempatkan secara berkelompok gambar berukuran kecil untuk digabungkan dengan gambar lebih besar dan objek beraneka saiz. Pastikan setiap gambar disusun rapat,” katanya.

    Paras ketinggian gambar yang ingin digantung terpulang kepada luas dinding dan selera peribadi namun, untuk impak terbaik, pastikan gambar diletak separas atau bawah sedikit dari paras mata. Sebaiknya, gambar itu disusun dalam kedudukan lurus dan jarak tepat jika mahu ia dilihat seimbang dan harmoni.

    Bagi dinding menempatkan sofa dan laci, pastikan gambar atau objek yang digantung berjarak rapat dengan perabot itu. Selain menjamin kesan visual yang baik, gambar yang digantung jauh dari kelengkapan berkenaan kelihatan seperti tergantung sekali gus janggal dipandang.

    Sewaktu merancang memenuhi dinding dengan gambar dan perhiasan, kenal pasti dulu bahagian tengah dan titik pusat dinding. Seterusnya, mulakan menggantung gambar di penjuru paling kanan dan kiri dinding sehingga mendekati titik tengah yang ditetapkan.

    Michael Houghton, seorang lagi pakar hiasan dalaman turut menyediakan teknik menggantung gambar dengan betul menerusi artikelnya di laman web http://www.bhg.com.

    Houghton berkata, ketinggian tepat gambar dan objek yang ingin digantung mampu diagak dengan meminta bantuan individu lain memegangnya. Cara ini membolehkan anda menilai sama ada kedudukan gambar digantung senget atau terlalu tinggi.

    Selain itu, paku perekat dicadangkan Houghton bagi menstabilkan kedudukan gambar. Namun, ini tidak digalakkan bagi dinding berhias kertas kerana membuatkan kertas itu tercarik.

    Bagi yang ingin menggantung himpunan gambar, sediakan dulu lakaran susun atur atau rangka gaya susunan di lantai. Selain mendapatkan gambaran keseluruhan susunan gambar, anda juga boleh menukar perancangan susun atur tanpa perlu mencabut kembali paku dan skru yang boleh merosakkan dinding.

    Rantai kunci topi

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my




    Hiasan comel, murah dan mudah dihasilkan guna bahan terpakai

    RANTAI kunci lazimnya dijadikan cenderamata kenang-kenangan. Bersaiz kecil dan boleh didapati dalam beragam bentuk serta motif dan material popular membentuk rantai kunci tentunya logam, kayu, kaca, cermin atau kulit kerang.

    Pendek kata, hampir semua tidak kiralah lelaki atau wanita, kanak-kanak serta golongan tua dapat memanfaatkan rantai kunci ini yang boleh digunakan bagi mengikat kunci rumah atau kunci kereta. Apa lagi ia mudah digantung dan menjadikan usaha mencari kunci juga senang.


    Tidak hairanlah, rantai kunci ini tidak pernah dilupakan dan hanya peredaran masa serta sedikit kreativiti memberi kelainan bagi setiap produk yang dihasilkan.

    Pembuat kraf, Mariani Nordin cuba tampil berbeza melalui rantai kunci kertas motif topi. Bentuknya yang comel dan feminin sesuai dijadikan penghias tas tangan, juga disyorkan sebagai hadiah istimewa sempena hari ibu. Lebih menarik, sudahlah mudah dibuat, ia juga menggunakan bahan terpakai yang mudah diperoleh.

    “Modal membuat rantai kunci tidak mahal kerana menggunakan bahan terpakai seperti kertas dan manik. Saya menganggarkan kos membuatnya tidak lebih daripada RM5,” kata Mariani yang boleh dihubungi menerusi talian 019 6708155.



    Bahan-bahan
    Kertas surat khabar, lidi, gam, gegelung kunci, ragum, manik jurai dan dawai.

    Cara membuat

    1) Bilah kertas dibentuk dengan melilit surat gambar pada lidi. Gam di kedua-dua hujung lidi. Sebaik gulungan terbentuk, lidi ditarik keluar secara perlahan-lahan.

    2) Dasar atau tapak topi dibentuk menggunakan empat bilah kertas yang dianyam secara berselang-seli. Lakukan sehingga satu bulatan terbentuk.


    3) Bilah kertas dipastikan dalam bilangan ganjil misalnya, lima, tujuh dan sebagainya. Ia diperoleh dengan memotong bilah kertas yang masih berbaki selepas selesai sepusingan anyaman. Potong di tempat dua bilah kertas bertemu.

    4) Topi dibentuk dengan menarik semua bilah kertas ke bawah dan sambung menganyam seperti langkah membuat tapak topi.

    5) Topi yang siap berhias rantai pemegang kunci tambah, kelihatan menarik jika turut dilengkapi aksesori tambahan manik serta bunga halus.

    INFO: Kertas

  • Masyarakat Mesir purba mendapat ilham membuat kertas daripada papyrus (spesies rumpai). Tumbuhan ini hidup subur di kawasan bertanah lembap dan berair.

  • Ketika itu, proses membuat kertas dilakukan dengan menanggalkan lapisan batang rumpai dan ditumbuk hingga sebati.

  • Gentian dalam tumbuhan menjadikannya sesuai dibuat kertas kerana sifatnya kukuh dan kenyal.

  • Selain papyrus, tumbuhan seperti jagung, iris, kulit bawang dan jerami padi sesuai dijadikan bahan membuat kertas. (Sumber: http://www.ehow.com).
  • Membuat bunga dip

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my


    Bunga dip cantik hiasan penyeri dulang hantaran.

    Sesiapa saja boleh cuba membuat kerana ia tidak memerlukan kemahiran tinggi

    SELAIN pelamin dan busana pengantin, gubahan hantaran, bunga pahar serta bunga telur berfungsi menyemarakkan majlis perkahwinan.

    Bagi bunga pahar dan bunga telur, bunga dip kian digemari kerana selain cantik, ia mudah disediakan.


    Pakar produk Creative Fingers (CF), Nurul Ain Abdul Rahim, berkata sesiapa saja boleh mencuba membuat bunga dip kerana tidak memerlukan kos dan kemahiran tinggi. Bunga ini diminati kerana menawarkan pelbagai warna dan rupa yang diadun daripada kreativiti, di samping sesuai bagi sebarang tema majlis perkahwinan.

    Nurul Ain berkata, menyiapkan bunga dip tidak sesusah mana kerana jika dibuat bersungguh-sungguh, dianggarkan 15 kuntum sehari dapat disiapkan.

    “Keistimewaan bunga ini diserlahkan menerusi rangka kelopak bunganya. Bagi yang kreatif dan gemar berimaginasi, selain ros, pelbagai bunga lain boleh dihasilkan termasuk anggerik, lili dan dahlia,” katanya yang turut menganjurkan kelas membuat bunga dip di ruang pameran kedainya di Setapak, Kuala Lumpur.



    Bahan-bahan:

    Larutan q-dip (untuk bunga dan daun), dawai, serbuk kilau, acuan silinder, manik, pita pelekat, ragum, gunting dawai dan polisterin.

    Cara Membuat

    1 & 2) Bentuk rangka kelopak bunga menggunakan dawai. Bagi membentuk kelopak, rangka berkenaan kemudian dicelup di dalam larutan q-dip

    3) Serbuk kilau ditabur di atas kelopak bagi mendapatkan kesan gemerlap.

    4) Kelopak nampak lebih lentur dan hidup dengan cara melilitnya pada sebatang pen.

    5 & 6) Cantum satu demi satu kelopak hingga membentuk bunga ros. Bunga lebih meriah setelah ditambah hiasan manik dan riben.

    7) Bunga dip cantik hiasan penyeri dulang hantaran.

    Info

    Creative Fingers


  • Selain pakej perkahwinan, perniagaan berasaskan kraf ini juga mengambil tempahan cenderamata majlis serta korporat, hamper, mereka bentuk laman web, spa, kelas kraf dan spa hidroterapi.

  • Sebarang keterangan lanjut, CF boleh dihubungi menerusi talian 03-41481851 atau laman web www.creative-fingers.com.
  • Garapan tropika, praktikal

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my


    PINTU lipat yang menghubungkan dalam rumah dengan landskap berkolam.

    Kediaman dibina berciri mudah diselenggara, ruang dapat dimanfaat sepenuhnya dan tema dihasilkan penuhi selera

    MENGGARAP gaya penataan seperti menyiapkan sebuah karya lukisan. Selain mematuhi beberapa peraturan asas seperti seni bina, aliran gaya dan warna, unsur lain yang perlu diutamakan ialah cita rasa, keselesaan di samping tidak meminggirkan ciri praktikal.

    Memandangkan keselesaan menjadi tonggak dan penetapan tema dipengaruhi selera, pasangan pramugara dan pramugari, Samsuddin Sulaiman dan isteri, Faizah Mohd Taib bersepakat memanfaatkan kepakaran menghias yang dimiliki Mohd Nurulhusni Mahmud.


    “Husni arif cita rasa dan keperluan kami menyebabkan semua usul perabot serta kemasannya diterima tanpa banyak bicara,” kata Samsuddin yang baru empat tahun menetap di rumah teres dua tingkat di Sepang itu.

    Husni yang hadir sama dalam pertemuan petang itu, berkata, konsep tropika dijadikan tunjang penataan kerana meminjam imej ranggi, selamba dan berudara.

    Gaya penataan berkenaan disifatkan Husni serasi dengan tuntutan kerja pasangan itu yang sentiasa sibuk, selain menepati personaliti mereka yang begitu meminati dan menghargai karya seni.

    SAMSUDIN (kanan) dan Nurulhusni berbincang sesuatu di ruang tamu.

    “Memahami kesibukan pasangan ini, saya menggantikan kemasan dinding jubin di bilik air dengan konkrit tanpa cat. Penjagaan konkrit tidak serumit jubin yang perlu dibersih dan digilap selalu,” katanya yang turut merobohkan dinding kanan ruang mandi berpancur bagi membina panel konkrit.

    Selain unik dipandang, lohong di antara panel konkrit itu menggamit masuk udara luar yang menjanjikan kesegaran ketika mandi. Namun, bagi mengelakkan pandangan umum, bahagian bawah lohong berkenaan dilindungi dengan kain batik yang digantung pada pengikat.

    Ditanya mengenai tanda pengenalan di kediaman itu yang menggambarkan gaya tropika, Husni berkata, ia bergantung kepada keupayaan penghuni rumah menyesuaikan diri dengan kawasan persekitarannya.

    “Pengertian konsep tropika amat luas. Kayu sebagai kemasan bukan pengukur tetapi kediaman dibina sepatutnya berciri mudah diselenggarakan, ruang dimanfaat sepenuhnya dan seeloknya, diselitkan sedikit unsur kewanitaan seperti menyeri sudut tertentu dengan jambangan bunga,” katanya.

    HALAMAN belakang rumah tampil berbeza dengan tembok cermin, laluan konkrit berselang batu refleksologi dan pokok hiasan dalam pasu besar.

    Selain hiasan bunga, candeliar bercawang di tengah ruang makan turut memaparkan imej berlawanan dengan meja panjang diperbuat daripada konkrit.

    Kata Husni, candeliar itu, selain meredakan gaya maskulin juga menyuntik aura mewah, serasi konsep tropika di samping menjadi kebanggaan tuan rumah.

    Unsur praktikal juga ditunjukkan menerusi binaan memanjang kabinet pasang siap berpintu cermin di ruang tamu.

    “Kabinet ini dwifungsi iaitu menyediakan ruang penyimpanan bertutup, manakala cerminnya membuatkan kediaman nampak sekali ganda luas. Bahkan, bagi memastikan suasana kekal lapang dan kemas, saya menyembunyikan litar elektrik di belakang kabinet serta bawah permaidani di meja kopi,” katanya yang turut bertanggung jawab mengilhamkan landskap dengan kolam berhadapan pintu lipat hadapan rumah.

    Melengkapi gaya tropika, Samsuddin dan isteri disyorkan mengabadikan koleksi lukisan, potret lama dan aksesori etnik di dinding tumpu ruang tamu. Suasana menjelma bagai galeri lukisan apabila ruang berkenaan dilengkapi meja kopi diperbuat daripada kayu tidak berketam, lampu berdiri terendak kertas dan kerusi tab era retro.

    Hakikatnya, Samsuddin dan Husni berkongsi prinsip yang menganggap proses menata kediaman sama seperti kanvas lukisan menunggu masa untuk dicorakkan.

    Samsuddin berkata, menghias rumah tidak boleh selesai setahun dua tetapi ia adalah proses berterusan serta memerlukan komitmen penuh.

    “Macam saya, meskipun sudah empat tahun menetap di sini, masih banyak yang ingin dilakukan termasuk membesarkan bilik di tingkat atas, membina tangga melingkar menghubungkan bilik tidur dengan laman mini belakang rumah,” katanya yang mengaku berpuas hati dengan hasil kerja Husni kerana mewakili cita rasa serta personalitinya.

    Info kediaman Shamsuddin

  • Cermin di kabinet rendah di ruang tamu dan tembok laman belakang rumah berjaya mewujudkan kesan luas ruang. Ini sebahagian gaya penataan tropika yang cuba ditonjolkan.

  • Meja makan daripada konkrit diilhamkan daripada filem dan siri televisyen yang menggambarkan kehidupan zaman pertengahan Inggeris. Hujung meja dibina sinki bagi memudah kerja membersih pinggan mangkuk.

  • Kawasan pintu lipat asalnya menempatkan binaan tingkap mengunjur.

  • Bagi yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai gaya penataan, boleh menghubungi Husni di laman web nurulhusni@yahoo.com.
  • Cat mesra alam

    Oleh Bennie Zie Fauzi
    bennie@bharian.com.my

    Produk terbaru ICI Paints lindungi pengguna, persekitaran

    PEMANASAN global dan tahap kesedaran yang tinggi dari segi penjagaan kesihatan menjadikan masyarakat kini begitu pemilih. Sikap ini terbawa-bawa sewaktu memilih kemasan rumah terutama cat dinding.

    Memahami keperluan pelanggan yang menginginkan persekitaran kediaman indah, sihat dan selamat, ICI Paints (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan cat mesra alam yang mengandungi sebatian organik mudah berwap, Volatile Organic Compounds (VOC) yang rendah.


    VOC ialah bahan kimia yang biasa ditemui dalam kebanyakan produk cat mengeluarkan gas apabila digunakan. Adakalanya, ia memberi kesan tidak baik kepada kesihatan dalam jangka panjang. Bahan berkenaan juga apabila dibebaskan ke udara boleh merosakkan alam sekitar kerana ia mencemarkan udara, menjejaskan kualiti air bawah tanah selain mengurangkan kesuburan tanah.

    Cat mesra alam kurang VOC dikenali sebagai Dulux Trade Eco-Guard Series dilancarkan bersempena pameran Seni Bina, Bangunan dan Hiasan Dalaman (Archidex09). Empat siri cat di bawah label ini ialah Dulux Trade Eco-Guard Interior Plus Matt, Dulux Trade Eco-Guard Interior Plus Sheen, Dulux Trade Eco-Guard Exterior Plus dan Dulux Trade Eco-Guard Interior Plus Anti-Bacteria.

    Cat emulsi premium berasaskan akrilik ini direka dengan perlindungan bermutu tinggi sesuai untuk dinding luar dan dalam kediaman. Ia turut dilengkapi ciri tambahan mudah dicuci, tahan cuaca dan antibakteria bagi memenuhi keperluan spesifik.

    Rumusan formula antibakteria Dulux Trade Eco-Guard Interior Plus Anti Bacteria mampu melindungi persekitaran dalam rumah kerana berkeupayaan menghapus kuman. Kelebihan ini menjadikannya pilihan utama bangunan awam dan komersial seperti sekolah, pusat kesihatan, pejabat, hotel dan tempat yang memerlukan tahap kebersihan tinggi.

    Dulux Trade Eco-Guard Water-Based Sealer pula menawarkan kesan mengujakan dan tahan lama ke atas pelbagai permukaan dinding selain berkebolehan menutup rongga dinding, berciri menentang alkali, mudah melekat selanjutnya membentuk lapisan seragam kemasan dinding.

    Tuesday, June 16, 2009

    Collage Pictures View Photos Funny Pics

    Tuesday, March 17, 2009

    Dusun dalam taman Fizol

    Oleh Md Fuzi Abd Lateh
    mdfuzi@hmetro.com.my



    MELANGKAH ke banglo setingkat milik pasangan Pizol Abdullah dan Zubaidah Abd Majid di Jalan Melor, Bukit Beruntung mampu memberikan kedamaian minda kepada tetamu.

    Pelbagai sentuhan elemen landskap mampu digubah Pizol secara berseni dan kreatif.


    Mereka melakukan kerja menceriakan laman rumah itu sejak 2004 dengan pelbagai jenis tanaman di segenap penjuru.

    “Saya membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk kerja membina dua pergola, taman mini, kolam ikan, wakaf tradisi, trek refleksiologi dan bangku seminfero.

    “Saya juga menanam pokok hiasan, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan sekeliling rumah ini. Kami menggunakan pendekatan dan konsep dekorasi ‘dusun dalam taman’,” katanya.

    Katanya, selepas bersara, masa yang ada digunakan membaja tanaman, memangkas pokok, menyemai pokok, menggubah taman mini dan menanam sayur-sayuran berdaun.

    Lebih 10 jenis tanaman dalam pasu seperti halia, pandan, cili, sawi, terung pipit dan daun kari ditanam.

    “Setiap dua hari, saya membersihkan tanaman pasu ini.

    “Kolam ikan juga perlu ditukar air bersih setiap minggu. Kilauan dasar kolam mampu membangkitkan aura kedamaian minda,” katanya.

    Dia juga ada menanam pokok anggur atas pergola di sudut kanan rumahnya.

    Pokok buah-buahan yang ditanam ialah pulasan, rambutan, betik, duku dan kedondong juga ditanam di belakang rumah.

    Sebuah wakaf tradisi dibina sudut kiri rumah menambah seri kediamannya dan digunakan ahli keluarga untuk berehat. Ada sebuah lampu tidur digantung di wakaf ini.

    Kolam pancuran air direka khas di tepi wakaf menambah seri dekorasi rumahnya kerana memberikan panorama indah tidak menjemukan. Beberapa pokok keladi air mengambil ruang di sini.

    Taman Ramuan Jeanne

    Oleh Rohaniza Idris dan Bennie Zie Fauzi
    bminggu@bharian.com.my


    Perdana Menteri dan isteri.

    Jeanne banyak luang masa di Taman Ramuan: Perdana Menteri akan bersama isteri berkebun pada waktu lapang

    "TAMAN Ramuan atau Edible Garden, mahu saya kongsikan dengan orang ramai, kerana aktiviti berkebun dan bercucuk tanam yang menjadi minat saya sejak kecil ini boleh memberikan manfaat besar," kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mengenai taman boleh makan yang diusahakan di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

    Kesempatan menghabiskan masa melawat kebun ramuannya kira-kira empat jam, membuktikan Jeanne tidak kekok, malah aktiviti berkebun seakan sebati dengan jiwanya.


    Beliau mampu mengingati hampir semua tanaman dalam Taman Ramuan atau Edible Garden yang menjadi kebanggaannya itu.

    Taman Ramuan berkenaan dibangunkan sejak setahun lalu selepas beliau melihat banyak pokok kelapa sawit dan buah-buahan yang di tanam di kawasan berkenaan mati akibat dimakan anai-anai.

    “Saya sudah berkebun sejak kecil kerana mengikut ibu bapa yang juga suka berkebun. Saya bukan datang daripada keluarga berada walaupun ibu bapa saya ketika itu bekerja. Bagi menjimatkan perbelanjaan, kami sekeluarga menanam tanaman seperti cili, serai, pandan dan pelbagai tanam makanan lain untuk keperluan harian.



    “Bapa saya jika menanam pokok buah-buahan akan menanam empat pokok sekali kerana saya ada empat adik beradik. Kalau menanam pokok ciku semuanya empat pokok begitu juga belimbing dan rambutan,” katanya menceritakan bagaimana beliau mendapat ilham membina Taman Ramuan berkenaan.

    Sebanyak 130 pokok yang boleh dimakan di tanam dalam kebun yang terletak di kanan sebelah pintu masuk ke kediaman Perdana Menteri.

    Selain pokok ulam, herba dan rempah ratus, Taman Ramuan berkenaan juga ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan rumput termasuk lalang yang boleh digunakan untuk merawat penyakit.

    Antara tumbuhan yang menarik di taman itu ialah lalang berwarna ungu dan merah yang dipercayai boleh digunakan untuk mengubati gastrik dan kaki bengkak, pokok stevia yang daunnya manis apabila dimakan dikatakan sesuai menggantikan gula untuk pesakit kencing manis dan pokok butang nenek (chataranthu) sebagai penahan sakit gigi.

    Jeanne bersama antara pokok yang ditanam beliau di Taman Ramuan.

    Pelbagai spesies cili termasuk yang bulat berwarna warni seperti bola, bujur, besar dan kecil juga ada di tanam di Taman Ramuan berkenaan.

    “Ada orang yang terkejut melihat cili yang buahnya tumbuh mendongak langit begitu juga bendi yang mempunyai bunga yang cantik. Sebenarnya, banyak faedah jika kita minat berkebun. Selain baik untuk kesihatan kerana peluh yang keluar, ia juga menjimatkan.

    “Kebiasaannya, kebanyakan rumah akan menanam serai, pokok kari, pandan, kunyit dan limau kasturi. Ada banyak pokok lain sesuai dan boleh ditanam di perkarangan atau laman rumah. Contohnya, pokok turi, terung, ulam raja, misai kucing, cili, betik, labu dan petola yang sesuai sebagai pokok hiasan pagar,” katanya.

    Selain landskap lembut, Taman Ramuan juga dihiasi landskap kejur seperti kolam ikan, tangga batu pasir, dinding granit, pelantar kayu dan wakaf. Kolam ikan bertingkat itu dihiasi ikan talapia, lampam, keli dan jelawat.

    Taman berkenaan juga dihiasi ruang khas untuk keluarganya berkarya dengan dinding yang dicat dan dijadikan lukisan. Ruang berkenaan dihiasi pokok kemboja putih dan landskap keras seperti batu sungai, kayu hanyut dan pemijak batu pasir.

    Ketika kunjungan berkenaan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyertai Jeanne menunjukkan Taman Ramuan yang menjadi tempat pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama apabila ada waktu kelapangan.

    “Tanya saja apa yang ada dalam kebun ini, Jeanne akan tahu semuanya,” kata Perdana Menteri yang turut mengetahui beberapa nama pokok herba yang ada dalam taman berkenaan.

    Jeanne berkata, Pak Lah sering menyertainya di waktu lapang untuk berkebun bersama namun kesibukan sering membataskan waktu untuk menghabiskan masa lebih lama di taman berkenaan.

    “Biasanya, apabila ada masa saja, kebun ini menjadi tempat saya beristirahat bersama keluarga dan saya berasa puas setiap kali melihat apa yang ditanam membuahkan hasil. Saya sangat minat bidang ini dan kesempatan mengiringi suami ke luar negara akan saya gunakan untuk mencari buku atau mengunjungi taman herba.

    “Saya juga suka mengumpul pokok atau herba baru. Jika ada yang memperkenalkan pokok baru kepada saya, saya akan menanamnya di taman ini,” katanya yang sedang mengusahakan sebuah buku untuk bacaan ringan mengenai tanaman boleh makan dan kesihatan bersama anaknya Nadene Kimie.

    Mengenai Edible Garden atau Taman Ramuan, katanya ramai yang tidak tahu apa itu Edible Garden berbanding kebun dapur atau taman herba.

    “Sebenarnya Edible Garden adalah taman yang mengandungi pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan atau yang dimanfaatkan untuk kesihatan. Saya suka memanggil Edible Garden sebagai Taman Ramuan dan terpulang kepada orang lain untuk menamakannya,” katanya.

    Beliau berkata, Taman Ramuan boleh dibangunkan di kawasan lapang tidak kira ruangnya terhad atau luas, sama ada rumah anda teres, apartmen, banglo atau rumah kampung.

    “Terkini, hiasan Edible Garden direka dan disusun dengan hiasan yang cantik dan menarik dengan campuran landskap keras seperti kolam ikan. Jika anda mempunyai ruang laman yang luas maka lebih mudah meletakkan landskap kejur seperti kolam, pemijak kaki atau kolam hiasan dan pancuran air.

    “Reka bentuk dan suai letak taman anda adalah kreativiti dan inilah masa untuk anda berkarya sambil mereka cipta sendiri taman ramuan masing-masing,” katanya .

    Jeanne turut berkongsi beberapa khasiat, ramuan dan resipi yang boleh diperoleh daripada pokok yang ditanam di taman miliknya seperti bunga kemboja yang boleh digoreng tepung (tempura) dan jus daun betik muda untuk mengurangkan demam denggi.

    Beliau berkata, kesedaran umum mengenai Taman Ramuan masih rendah walaupun kini sudah ada kecenderungan membina taman atau landskap di kediaman masing-masing.

    “Saya lihat laman rumah dihiasi pakaian yang dijemur atau tumbuhan hiasan yang tidak boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Saya harap lebih ramai beralih menanam pokok yang boleh dimakan atau berfaedah untuk kesihatan,” katanya.

    Selain menjimatkan, Taman Ramuan dapat menjadi tempat teduhan, pagaran dan hiasan menarik kerana pokok herba mempunyai bunga dan daun yang berwarna-warni.

    Mengakhiri perbualan petang itu, Jeanne berkata, beliau mengharapkan kegemarannya bercucuk tanam terutama kepada tumbuhan boleh makan akan menjadi inspirasi kepada rakyat untuk berkebun dan menghijaukan Malaysia.

    Edible garden tanaman kesihatan, makanan

    EDIBLE Garden atau Taman Ramuan, nama jolokan yang diberikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah adalah satu pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan tanaman untuk makanan dan kesihatan berkongsi satu landskap. Di Barat, ia dikenali sebagai laman dapur manakala sesetengah tempat menggelarnya taman tumbuhan makanan dan taman komuniti.

    Landskap ini lebih menonjolkan landskap lembut berbanding kejur (keras). Landskap keras diwakili tembok, pagar dan pergola yang dibina untuk tumbuhan berpaut dan melilit padanya.

    Selain menyumbang nilai estetika dan mewujudkan persekitaran selesa serta menarik, landskap Edible berfungsi membekalkan makanan segar, rempah-ratus masakan, kosmetik, perubatan selain dijadikan pewangi kediaman dan haruman tubuh.

    Spesies tumbuhan dipilih mengisi taman terdiri daripada herba, ulam-ulaman, buah-buahan, bunga dan sayuran tempatan misalnya pokok kari, dukung anak, kunyit, pala, kacang turi, cengkih, misai kucing, pegaga, buah jambu, belimbing buluh, bunga kemboja, sayur kubis, petola, bendi dan beribu spesies lagi.

    Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerbitkan buku khusus mengenainya bertajuk Edible Landskap. Dalam buku berkenaan, disenaraikan lima faedah utama pembentukan landskap berkenaan iaitu membantu mewujudkan kediaman memenuhi estetika serta kegunaan, menyediakan keperluan makanan bagi penghuni kawasan perumahan, menjimatkan perbelanjaan harian, menyediakan tempat rekreasi dan beriadah keluarga juga mengeratkan perpaduan masyarakat menerusi usaha menukar laman biasa sebagai tempat rekreasi bersama.

    Proses mereka bentuk landskap Edible sama seperti laman biasa iaitu mengambil kira masalah penyelesaian tapak serta keperluan reka bentuk bagi cadangan dan keputusan membina landskap.

    Manakala, faktor yang patut diberi perhatian adalah matlamat serta tujuan, kemampuan kewangan, analisis tapak, luas kawasan, lokasi, lot jiran serta persekitaran, kesesuaian tanah, cahaya matahari, maklumat tapak dan kawasan persekitaran (inventori), kepelbagaian alternatif konsep, penilaian terhadap konsep berkenaan bersama penyelesaian, cadangan reka bentuk dan kos penyelenggaraan.

    Komponen landskap Edible dibahagikan kepada kediaman individu dan taman kejiranan serta komuniti. Setiap komponen mengandungi dua jenis landskap membabitkan kejur dan lembut.

    Bagi kediaman individu, landskap kejur dibentuk melalui binaan seperti siar kaki, bangku, wakaf, pergola, tong sampah, kotak dan bekas tanaman, stor menyimpan bahan, perkakasan dan penyediaan baja serta elemen air.

    Sementara, landskap lembut dibentuk melalui tanaman pelbagai saiz dan warna, daripada berukuran besar sehingga pokok renek dan penutup bumi.

    Kepelbagaian pokok turut membentuk landskap lembut di taman kejiranan dan komuniti. Manakala, landskap kejur diperlihatkan melalui pintu dan laluan keluar-masuk, siar kaki, tempat meletak kenderaan, zon pemunggahan, lampu jalan, bangku, wakaf, pergola, papan tanda, tong sampah, sumber air, tapak penanaman dan kawasan diguna bersama seperti tempat berkumpul, stor menyimpan perkakasan dan baja dan tempat mengumpul serta memproses hasil tanaman.

    Sebagaimana spesies tumbuhan lain, Edible Garden juga memerlukan sumber pencahayaan, penyediaan medium tanaman, penyelenggaraan, siraman, penggemburan tanah, pembajaan, pembersihan kawasan, sungkupan, pengawalan penyakit serta perosak, pemangkasan serta penjarangan , penggantian tanaman dan pemancangan.