Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)
Pastikan buatannya tahan lama serta sesuai susun atur dapur
PERANCANGAN keperluan serta penggunaan dapur kunci kejayaan ruang berkenaan. Secara asas, perancangan berkesan mampu menjawab persoalan apa perlu dilakukan bagi menilai keperluan dari aspek kelengkapan serta ruang penyimpanan barang.
Meskipun, memasak kini menjadi mudah dan cepat dengan bantuan peralatan dapur canggih namun pastikan yang dimiliki berupaya mengimbangi keperluan dengan reka bentuk ruang yang disediakan.
Begitupun, tidak dinafikan tiada penyelesaian tepat untuk keperluan dapur praktikal berdasarkan kehendak dan penilaian berbeza individu.
Proses susun atur dapur ditentukan tiga faktor utama iaitu kedudukan sinki, perkakasan memasak dan peti sejuk. Sebaik saja kedudukan kelengkapan dikenal pasti, kerja penyusunan ruang menjadi praktikal serta mudah dilaksanakan.
Selain itu, konsep tiga segi atau work triangle yang diketengahkan dipercayai lebih menyenangkan kerja. Secara terperinci, konsep ini membawa maksud hubungan kerja berlegar dalam tiga kedudukan iaitu meja kerja, dapur masak dan sinki. Begitupun, tidak bererti pembentukan ruang harus dalam susunan tiga segi.
Bagi aliran trafik selesa, jarak di antara pusat kerja tidak harus dekat. Anda mungkin tidak bermasalah bergerak dari satu penjuru ke penjuru lain untuk mengambil sesuatu dari peti sejuk. Namun, pergerakan ini jika asyik diulang-ulang, lama-kelamaan mungkin mampu melemah dan meletihkan badan.
Lazimnya, sinki ditempatkan di antara dua penjuru dapur. Sinki yang ditempatkan pada penjuru dikatakan mengubah pemandangan ruang dapur yang dibentuk secara bersegi. Sebab itu, tempat paling sesuai adalah di antara peti sejuk dengan dapur masak iaitu sama ada di tengah atau berhampirannya. Ini kerana, sinki sering menjadi laluan atau tempat persinggahan sewaktu menuju dua tempat ini. Manakala, kedudukan sinki berhampiran tingkap lebih baik kerana membawa masuk udara segar sekali gus mempercepatkan proses pengeringan pinggan-mangkuk.
Sekalipun ruang dapur anda kecil, tidak bermakna kepentingan sinki diketepikan. Sebaliknya, jadi pengguna bijak dengan memilih bentuk dan ukuran sinki bersesuaian ruang.
Pilihan bahan dan ukuran sinki tepat memudahkan penyelenggaraan dapur. Sewaktu memilih bahan, pastikan yang dibeli berciri tahan lama, tahan hentakan dan kalis calar. Pastikan juga, komponen yang melengkapkan sinki seperti kepala paip serta penyambungan saluran air dilakukan dengan betul bagi mengelak kebocoran.
Sekiranya, memilih sinki keluli tahan karat, pastikan ia jenis tebal supaya tahan lama. Sinki daripada bahan granit membuatkannya sentiasa dilihat baru. Marmar menarik namun lama-kelamaan warnanya akan pudar. Manakala, yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan loyang, senang karat dan calar sekiranya tidak kerap digilap.
Di pasaran, ada pelbagai saiz sinki namun pastikan ukurannya sepadan meja kerja dengan keluasan ruang dapur. Saiz sesuatu sinki dilihat melalui kedalaman mangkuk tadahan selain bilangan mangkuknya. Bagi mereka jarang memasak, sinki mempunyai mangkuk tadahan cetek berukuran 13 sentimeter (5 inci) hingga 18 sentimeter (7 inci) pilihan tepat. Manakala, yang kerap memasak, sinki sedalam 20 sentimeter (8 inci) hingga 25 sentimeter (10 inci) diperlukan bagi mencuci periuk dan kuali besar.
Jenis sinki dan kegunaannya:
Bentuk ringkas sesuai fungsi. Tidak perlu kawasan luas sebaliknya saiz bergantung kepada ruang dapur serta tugas mencuci. Layak ditempatkan di ruang terhad selain kedudukan biasa selari dengan dapur masak.
Sinki berkembar popular kerana berciri dwi fungsi iaitu membasuh dan mengering. Ia amat praktikal bagi tugasan membasuh yang besar di samping menjimat ruang.
Mangkuk tengah berfungsi sebagai bekas meletak sudu dan pinggan kering selain tempat menampung sisa kotoran dan makanan ketika memasak serta membasuh. Sering kali juga digunakan sebagai tempat sementara sayuran dan buah-buahan selepas dibasuh.
Sinki ini biasa digunakan bagi membasuh buah-buahan dan melakukan tugas ringan. Disebabkan saiznya kecil, maka ia tidak memerlukan ruang permukaan besar jika hendak memasangnya.
Penjuru dapur boleh dimanfaatkan bagi memasang sinki bentuk sudut. Sesuai mengisi ruang dapur terhad yang tidak dibebani fungsi membasuh.
Kepelbagaian bentuk dan ukuran sinki memberi pilihan kepada juru reka menyesuaikan reka bentuk dapur dengan kegunaan sinki. Secara amnya, ruang dapur luas dan sering dibebani tugasan memasak, disyorkan dipasang sinki berkembar. Mangkuk pertama digunakan membasuh bahan masakan manakala mangkuk yang lain ditugaskan membersih tangan dan perkakasan memasak.
Bagi kediaman yang sinkinya disediakan pemaju namun masih belum memadai, pasang sebuah lagi sinki sama ada dengan menambah kabinet dilengkapi sinki ataupun membina sinki baru berserta meja kerja.
Satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan adalah aspek kebersihan sinki. Justeru sinki perlu kerap dibersihkan dan disyorkan anda memilih bahan pencuci yang berkesan menanggalkan kotoran supaya sinki dimiliki sentiasa dilihat bersih dan berkilat.
0 comments:
Post a Comment