Friday, January 8, 2010

Impak Warna

Impak warna

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my




Perancang perkahwinan, Zaifie Zainal, bijak serasikan tema hitam, putih dan merah

SELAIN perabot, warna juga mampu menterjemahkan gaya penataan. Pengaruh dan kuasa warna bukan sekadar menyeri suasana malah dijadikan simbol luahan rasa, minat selain membina persepsi.

Perancang majlis perkahwinan, Zaifie Zainal, termasuk dalam kalangan mereka yang mempercayai aliran gaya mampu ditentukan pilihan warna. Dia membuktikannya melalui pilihan hitam dan putih selaku warna tunjang dan disokong merah dramatik untuk seri ruang menghiasi kediamannya di Cheras Utama, Selangor.

"Hitam dan putih sesuai mewakili gaya moden kontemporari. Kebetulan, saya penggemar utama warna hitam langsung memilih warna itu menghiasi sebahagian perabot dan kemasan. Warna putih dipilih khusus meredakan penguasaan hitam, digandingkan dengan merah pekat supaya ruang tidak hambar,” katanya yang menitipkan merah melalui permaidani dan jambangan bunga tiruan.

Zaifie berkata, pengalaman dan kemahiran membina pelamin banyak membantunya mengindah rumah. Gaya penataan ruang tamu misalnya disempurnakan merujuk reka bentuk pelamin. Sepasang kerusi bersayap, sebuah meja bulat berkaki melengkung di tengahnya, hiasan jambangan bunga mawar di kiri dan kanak kerusi dan panel kayu berbalut fabrik bercorak berfungsi sebagai dinding jelas mengutarakan rekaan sebuah pelamin.

Tata hias berkenaan ibarat tanda pengenalannya. Selagi belum jelak dan suami, Tunku Ariff Tunku Ulin, 37 tidak merungut, dia tidak bersedia menukar aliran gaya.

Ruang dapur moden yang kemas dengan aksesori terhad.

“Mungkin saya akan suntik dua tiga elemen baru tetapi sentuhan diberikan tetap tidak lari dari unsur dan reka bentuk pelamin. Ini cara saya mempersembahkan kelainan hiasan dalaman. Saya bertuah kerana mendapat sokongan suami malah dia turut sama memberikan pendapat mengenai tatahias,” katanya yang membeli kediaman dua setengah tingkat itu sejurus jatuh cinta pandang pertama dengan seni binanya.

Kata Zaifie, tidak terlintas di fikirannya memiliki kediaman sendiri dalam masa terdekat ini sehingga dipertemukan dengan ejen yang bertindak mempromosi rumah berkenaan di salah sebuah gedung membeli-belah. Hanya sekali pandang, Zaifie tahu model rumah ala pantai yang dilihatnya, bakal menjadi miliknya.

“Saya sukakan pelan lantainya yang luas, dilengkapi tingkap besar dan mempunyai aras selisih. Nama saja kediaman ini dua setengah tingkat, namun apabila berada di dalam dan membilang tangga, saya dapati besar serta tingginya seolah-olah kediaman empat tingkat. Saya juga tertarik dengan konsep taman tengah rumah yang membawa masuk udara serta pencahayaan luar,” katanya mengenai pelan kediamannya itu.

Justeru, dia menetapkan tidak membuat sebarang pengubahsuaian sebaliknya segenap ruang dan sudut dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebagai permulaan, Zaifie dan suami berpakat membahagikan ruang mengikut fungsi serta keperluan seperti ruang tamu, ruang bekerja, ruang menonton, ruang penyimpanan, ruang makan dan sebagainya.


Pengasingan ruang yang diusahakan juga menandakan dia sekeluarga tidak gemar mencampur adukkan kegunaan ruang selain memastikan seluruh penghuni rumah selesa berada di dalamnya.

“Saya bukan penggemar ruang dwifungsi kerana ia mengongkong pergerakan. Sebab itu, saya pisahkan kedudukan ruang tamu dengan sudut menonton. Bagi saya, ruang tamu sepatutnya menjalankan fungsinya sebagai tempat merai tetamu sementara olahan tatarias ruang menonton perlu lebih selamba dan santai sesuai sesuai fungsi untuk berehat dan berhibur,”katanya yang dikurniakan sepasang cahaya mata Tunku Harris Karmahani, 5 dan Tunku Lisa Nur Zahraa, 3 tahun.

Dalam pada itu, bilik tidur tampil istimewa dengan sentuhan minimalis. Konsep serba ringkas dan perabot yang minimum kerana dia ingin menyajikan sebuah ruang beradu yang lapang, luas dan menepati keinginan beristirahat. Himpunan warna krim berselang putih diberi kepercayaan menterjemahkan gaya berkenaan.

“Saya bertuah mendapat bilik luas dilengkapi jendela mencecah siling. Demi tidak mengganggu suasana lapang semula jadi itu, maka ditetapkan hanya putih dan krim mewarnai dinding, langsir, cadar termasuk kabinet pakaian.

“Status ruang ini sebagai tempat paling peribadi bermakna gaya penataan terlalu ringkas, perlu dielakkan. Sebab itu, perhiasannya pun cuba dikurangkan. Sepasang jambangan bunga tiruan dalam pasu kaca tinggi yang diletak di kiri-kanan katil rasanya sudah cukup menghangatkan suasana,” katanya.

Selain bilik tidur, jambangan bunga turut diselitkan di beberapa sudut dan penjuru difikirkan strategik. Menyeri dan menghidupkan ruang menjadi matlamat utama meskipun akhirnya tersingkap juga rahsia, Zaifie tidak betah hidup tanpa hiasan berbunga.

“Faham sajalah kerja saya membabitkan urusan bunga dan hiasan. Kerana sudah terlebih dengannya, saya rasa kehilangan sekiranya tidak dikelilingi pelbagai hiasan berbunga. Mujur saya mudah mendapatkan bekalan. Maka, tterlanjur mencantikkan pelamin, apa salahnya bawa pulang dua tiga jambangan sebagai penyeri kediaman sendiri,” katanya selain mengusahakan pelamin turut menerima tempahan andaman, potret perkahwinan, kraf tangan dan sebagainya.

INFO: Kediaman Zaifie

  • Terletak di Cheras Utama, Selangor

  • Kediaman dua setengah tingkat ala rumah pantai ini menarik kerana menampilkan laman di tengah rumah.

  • Pelan reka bentuk unik kerana memuatkan bilik air mirip spa sementara anak tangganya besar dan selamat dipijak.

  • Hitam, putih dan merah pilihan tuan rumah menepati gaya kontemporari yang cuba ditonjolkan

  • Berita Harian

    0 comments: