Friday, January 8, 2010

Menjiwai Alam

`

Menjiwai alam

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my




Elemen kayu, warna hijau yang mencetuskan suasana damai

ELEMEN kayu dan warna hijau alam menunjangi gaya penataan konsep suai padan kediaman teres berkembar milik Noraini Omar dan suami, Zainal Abidin Mohd Noor, di Bukit Rahman Putra, Selangor ini.

Unsur kayu yang diperlihatkan menerusi pilihan perabot dan kemasan mewakili cita rasa Noraini dan suami manakala hijau redup melatari sebahagian besar perhiasan serta fabrik mengungkap selera peribadi

"Sejak remaja, saya terpaut dengan hijau. Justeru, tidak hairan, kebanyakan perhiasan dan kemasan yang saya pilih menyerlahkan warna itu. Secara peribadi, saya menganggap hijau adalah cermin alam dan berpendapat sekiranya kelompok warna itu disisipkan di kediaman, secara automatik suasana ruang menjadi sejuk, damai dan menenangkan,” katanya yang menitipkan hampir 80 peratus tona itu di kamar tidur utama meliputi dinding, langsir, cadar, permaidani dan peti menyimpan barang.

Meskipun penggemar kayu sejati, tidak bermakna pilihan unsur itu dibuat sambil lewa. Sebaliknya, pasangan pesara ini menggariskan syarat spesis kayu dipilih perlu berciri ampuh, tahan lama, berkualiti selain ekslusif dipandang.

Kabinet dapur kayu oak diimport khas dari United Kingdom bukti nyata pasangan ini mendahului cita rasa dibandingkan harga. Kabinet berusia hampir 13 tahun itu rupa-rupanya menjadi kesayangan Noraini berikutan reka bentuk klasik Inggerisnya di samping kualiti serta corak kayunya semakin menawan seiring peredaran usia.



“Dalam sekian banyak kelengkapan, kabinet berkenaan sentiasa dekat di hati. Selain menyelitkan hijau warna kegemaran, ilham serta reka bentuknya, bagi saya berpadanan benar seni bina ala Sepanyol rumah ini.

“Alangkah pilunya rasa kerana terpaksa berpisah dengan kabinet kesayangan itu apabila berpindah ke banglo di Shah Alam, tidak lama lagi,” katanya yang turut meminati perabot oak, kayu jati dan rosewood.

Penghargaan terhadap dua spesis kayu berkenaan dikemukakan melalui binaan bingkai tingkap dan pintunya yang diperbuat daripada kayu jati manakala rosewood diabadikan menerusi pilihan kerusi, meja dan kabinet hias dan sebagainya yang sebahagian besar ditempatkan di ruang tamu.

Noraini mengaku tidak gemar mengusik susun atur perabot sedia ada. Kedudukan perabot hanya diubah sekiranya dia berhasrat membawa masuk perabot baru.

Konsep suai padan mempengaruhi penataan menerusi gandingan perabot semasa, Bali, klasik dan Timur Tengah.

“Lagipun, sebelum membeli perabot, saya ambil ukuran ruang terlebih dulu supaya yang bakal dibeli sedang elok ditempatkan di mana-mana ruang difikirkan sesuai,” katanya.

INFO: Kediaman Noraini Omar

  • Jenis kediaman: Rumah teres berkembar

  • Seni binanya ala Sepanyol

  • Elemen kayu dan warna hijau menguasai penataan konsep suai padan

  • Serikan dinding cermin bagi kesan luas secara ilusi

  • Selain perabot kayu dan dipengaruhi unsur klasik, Noraini turut membawa masuk perabot bergaya timur tengah, Afrika dan Bali

  • Sesuai tema suai padan klasik dengan semasa, Noraini memilih pencahayaan samar romantik menerangi ruang`
  • 0 comments: