Thursday, January 1, 2009

Rahsia kediaman jimat elektrik

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)

Hadkan penggunaan lampu ikut kesesuaian ruang.

Pemilik rumah digalak guna tenaga solar sebagai sumber alternatif

HAMPIR setiap kediaman di negara ini menggunakan tenaga elektrik untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seharian dan menggerakkan peralatan elektrik yang memudahkan kebanyakan tugas berbanding menggunakan kekuatan fizikal.

Tenaga elektrik bukan setakat digunakan untuk memasak, membasuh dan membersihkan kediaman, malah kerja pejabat yang mungkin dilakukan di rumah.

Setiap isi rumah akan menyumbang kepada penambahan bebanan penggunaan tenaga elektrik ketika menggunakan tenaga elektrik untuk mencapai keselesaan seperti pemanas air untuk mandi, penyaman udara untuk menyejukkan ruang kediaman seperti bilik tidur dan ruang tamu.

Oleh itu, pemahaman dan keperluan kediaman jimat tenaga adalah aspek penting yang perlu diketahui setiap pemilik kediaman.

Selain air, elektrik adalah asas keperluan yang menjadi nadi kehidupan. Jika satu daripada dua asas keperluan ini tidak dapat diperoleh, ia akan menyebabkan berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan seharian.
Tukar kepada tenaga solar untuk mengurangkan pergantungan tenaga elektrik.

Kedua-dua keperluan ini bukan percuma dan perlu dibayar kepada pihak utiliti yang membekalkan kepada pengguna walaupun kerajaan mungkin memberi sedikit subsidi. Ini bermakna sejumlah wang perlu diperuntukkan setiap bulan untuk membiayai keperluan itu.

Bagaimanapun, tahap penggunaan tenaga elektrik boleh dikurangkan jika pengguna di rumah kediaman mengetahui cara penggunaan secara berhemah dan cekap.

Pertama, kita perlu memastikan pemasangan dan peralatan elektrik di kediaman adalah betul dan sesuai mengikut standard yang diperakui agensi standard seperti Sirim dan Suruhanjaya Tenaga.

Ini bertujuan mengelakkan berlaku ‘kebocoran’ elektrik yang mungkin akan menyebabkan berlaku litar pintas yang menyebabkan kebakaran.
Mentol jimat elektrik.

Kontraktor pendawaian elektrik perlu mempunyai lesen dari pihak berkuasa kerana mereka akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kecelakaan. Elakkan membuat sebarang tambahan dan penyambungan elektrik tanpa kebenaran kerana ini akan membahayakan keselamatan dan terdedah kepada litar pintas.

Cara pemasangan berpusat yang berfungsi untuk mengawal dan mengatur penggunaan elektrik jika tidak digunakan adalah antara sistem yang dicadangkan.

Ini membolehkan penggunaan elektrik dimatikan dengan serentak apabila tidak digunakan. Model seperti ini kini banyak digunakan di bilik hotel. Caranya adalah apabila tiada penghuni di ruang berkenaan, tiada peralatan elektrik akan menyala kerana seluruh punca elektrik dimatikan secara automatik.

Anda juga perlu bijak menggunakan peralatan elektrik. Kini banyak peralatan di pasaran yang dilabelkan sebagai menjimatkan tenaga, tetapi kecekapan peralatan itu berfungsi bergantung kepada cara kita melakukannya.

Pada masa sama, sumber tenaga alternatif untuk menjimatkan elektrik perlu diterokai, termasuk menggunakan tenaga suria atau sinar matahari.

Tenaga ini yang lebih dikenali sebagai tenaga solar adalah antara sumber tenaga yang sangat baik untuk membekalkan tenaga elektrik di rumah dan penggunaan tenaga ini perlu digalakkan secara menyeluruh.

Penggunaan tenaga solar yang dipanggil photovoltaic (PV) perlu digalakkan kerana dapat mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga elektrik konvensional.

Beberapa usaha dilakukan bagi menggalakkan penggunaan photovoltaic, tetapi tertumpu kepada beberapa projek mewah bagi memperkenal konsep perumahan tenaga solar di Malaysia.

Usaha berkenaan perlu dilakukan secara kolektif, sama ada dari kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta kerana kelebihan menggunakan tenaga solar ini memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara usaha yang boleh dilakukan adalah kerajaan memperkenalkan dasar yang jelas dan PBT memberi insentif dalam bentuk pengurangan dari segi cukai pintu kepada kediaman 'green homes'.

Tip

Jimat Elektrik

Antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh pemilik kediaman untuk menjimat penggunaan tenaga elektrik secara menyeluruh adalah dengan memastikan perkara berikut dilaksanakan:

1. Penggunaan Elektrik Secara Am

# Menutup semua lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan (terutama pada plug).

# Membenarkan pengaliran udara semula jadi dalam rumah bagi menyejukkan ruang (mengurangkan penggunaan peralatan hawa dingin dan kipas).

# Mempraktikkan penggunaan tenaga yang cekap ketika menggunakan peralatan rumah.

# Memeriksa kadar penggunaan tenaga pada peralatan. Kadar bintang yang tinggi bermakna penggunaan tenaga yang lebih cekap.

2. Penggunaan cahaya dalam rumah

# Gunakan mentol dan lampu jimat tenaga yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga hingga 80 peratus.

# Menggunakan kadar cahaya lampu yang betul seperti ketika membaca menggunakan cahaya yang terang dan apabila menonton televisyen atau video, menggunakan lampu yang malap (dimmer)

# Menggunakan kadar watt yang rendah pada koridor, laluan tangga atau bilik stor kerana ruang ini tidak memerlukan cahaya sekadar untuk menerangi.

# Lampu kalimantang (fluorescent) biasa lebih menjimatkan, berbanding lampu pijar (incandescent).

3. Jenis Penggunaan Peralatan Dalam Rumah

Peti Sejuk

# Pilih kapasiti peti sejuk yang sesuai dengan penggunaannya. Jangan sesekali terpengaruh dengan membeli peti sejuk berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan penggunaannya. Penggunaan tenaga lebih tinggi apabila kapasiti semakin besar.

# Elakkan terlalu kerap membuka dan menutup peti sejuk untuk menghindari udara dingin keluar.

# Jangan masukkan masakan panas terus ke dalam peti sejuk. Dinginkan terlebih dulu hingga mencapai kadar suhu ruang sebelum memasukkannya.

# Guna peti sejuk yang mempunyai tenaga cekap kerana ini boleh menjimatkan kos elektrik hingga 25 peratus.

Mesin Basuh Baju

# Pilih dan gunakan mesin basuh yang sesuai dengan kapasitinya. Mesin basuh yang digunakan melebihi kapasitinya akan mengakibatkan mesin terpaksa bekerja keras dan lebih cepat rosak.

# Pastikan jumlah kapasiti adalah penuh kerana jika dimasukkan separuh kapasiti, jumlah tenaga yang digunakan tetap sama.

# Gunakan fungsi pengering mesin basuh apabila perlu. Lebih baik mengguna sinar matahari untuk mengeringkan pakaian.

Alat Penghawa Dingin

# Pilih penghawa dingin dengan kapasiti yang sesuai mengikut keperluan dan keluasan ruang. Sebagai contoh, ruang bilik tidur seluas 3 X 4 meter adalah mencukupi menggunakan penghawa dingin berkadar 11/2 HP (kuasa kuda).

# Kadar suhu yang sesuai digunakan adalah antarar 22 hingga 24 celsius. Elakkan menggunakan paras suhu yang sangat rendah kerana memaksa alat penghawa dingin bekerja lebih berat.

# Pastikan ruang tertutup rapat agar suhu tetap terjaga dan elakkan elemen yang menghalang udara dingin keluar dari alat penghawa dingin.

# Alat penghawa dingin hendaklah diselenggara secara berkala setiap tiga bulan bagi mengekal kesejukan dan jangka hayat peralatan, terutama kompresor.

1 comments:

Admin said...

Tip yang baik ... terima kasih kerana berkongsi.

hasrulhassan.blogspot.com