Saturday, January 3, 2009

Seni bina pasif




Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Potongan melintang pada dinding batu yang diisi dengan pemandangan batang pokok yang tumbuh menegak memberikan kesan yang dramatik.

PINTU kaca lipat atau lungsur yang mendapat kemasan lime wash ini bertujuan untuk menonjolkan karakter yang ada pada kayu.

Meraikan setiap tetamu yang datang menjadi teras kepada pemilihan pensyarah di Fakulti Rekaan dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Azizi Mohd. Ali, 40, apabila berbicara tentang rumah dan lamannya.

"Saya bina dan hias rumah ini seadilnya. Adil dengan meletakkan apa yang patut di tempatnya. Jika di situ perlu diletakkan perhiasan, saya letak," katanya yang adakalanya berbunyi seperti berpihak kepada konsep minimalis.


Yang penting, tambahnya, biarlah tetamu selesa dan tidak merasakan diri mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya.

Mendirikan banglo di atas tanah seluas kira-kira 557 meter persegi, Noor Azizi tidak pernah mengimpikan sebuah rumah yang mewah. Sebaliknya, yang tergambar dalam fikiran ialah sebuah rumah yang dapat dipanggil rumah.

WARNA ceria ini menonjolkan peribadi pemiliknya.

Tidak hairanlah kedatangan kami disambut dengan penuh keterbukaan apabila banglo yang tersergam di hadapan kami tidak dipasang sebarang gril pada pintu mahupun tingkapnya.

Sebaliknya ia hanya disempadani pintu kaca lipat berbingkai kayu. Malah, dinding utama di ruang makan dibiarkan berlohong di tengahnya.

"Ia boleh dikatakan epidemik kehidupan moden. Orang ramai pada hari ini ramai yang hidup dalam ketakutan, dan penuh wasangka. Sebenarnya kejiranan kita yang menentukan sama ada kita dapat hidup dalam suasana selamat atau tidak," ujarnya.

SETIAP perbot dan perhiasan yang ada dalam rumah ini sama ada ditempah khas atau dihasilkan sendiri Noor Azizi.

Sekali gus, pendekatan itu dapat menyimpulkan kehidupan jujur keluarga Noor Azizi sama ada kepada alam atau masyarakat.

"Lagipun rumah ini tidak ada apa-apa pun untuk diambil. Ini bukan rumah mewah. Ini rumah yang praktikal. Ia dibina melalui prinsip rekaan asas (rumah Melayu). Konsep permulaannya merujuk kepada rumah kampung," jelasnya yang berkata rekaan rumahnya melibatkan kos yang jauh lebih rendah berbanding sebuah rumah teres lot hujung.

Memilih bumbung monopitch atau pisang sesikat yang tiga kali ganda lebih murah berbanding bumbung limas yang popular sejak lama dulu, dinding rumah juga dibiar putih.

BILIK PERPUSTAKAAN yang menjadi destinasi utama isi rumah.

"Ada seorang makcik bertanya, 'Rumah kamu ini tak siapkah? Bumbung itu kenapa sebelah saja?' Saya cuma boleh jawab 'Nanti kalau ada duit, saya tambahlah bumbung yang sebelah lagi itu. Nanti ada duit, saya catlah dinding rumah ini,'" kongsinya sambil tertawa.

Memulakan rumah ini dengan anjung, ia diikuti dengan ibu rumah, tempat hadirin bertamu. Ini dituruti pula dengan rumah tengah yang dijadikan ruang makan, dan seterusnya rumah dapur.


Bagaimanapun, jika anda berada di ruang tamu, anda tidak dapat melihat apa yang ada di ruang makan kerana setiap satunya dipisahkan dengan laman dalam dan kedudukannya yang tidak selari.

"Ada hijab antara ruang, tetapi kesemuanya masih berhubung antara satu sama lain dan setiap ruang terbuka kepada laman berlandskap," kata bapa kepada dua orang anak perempuan berumur sembilan dan 11 tahun ini.

Noor Azizi berkata warna putih pada keseluruhan dinding rumah bertujuan untuk menonjolkan warna kegemarannya pada perabot yang mengisi ruang. Ruang tamu dihangatkan dengan perabot berwarna warna merah, jingga dan hijau pucuk pisang.

Manakala ruang makan ditenangkan sedikit dengan warna coklat daripada susunan batu pada dinding dan beberapa keping lukisan bunga berwarna terang. Set meja makan, almari pinggan mangkuk dan lampu gantung turut dipilih yang berwarna putih.

Memperkenalkan konsep landskap pinjaman (borrowed landscape) dengan merujuk kepada tebukan melintang pada dinding berbatu itu tadi, Noor Azizi menjelaskan, potongan melintang yang diisi dengan pemandangan batang pokok yang tumbuh menegak memberikan kesan yang dramatik.

"Tak perlu lagi menggantung lukisan atau gambar pada dinding itu," katanya yang berkongsi aplikasi itu dinamakan sebagai 'niche.'

Bilik perpustakaan yang dikatakan menjadi destinasi utama isi rumah ini juga masih berdinding putih. Selain diceriakan dengan warna perabot, buku yang bersusun pada rak buatan simen memenuhi salah satu dindingnya dilihat menambah karakter pada bilik itu dengan berkesan.

Menjenguk sehingga ke aras atas dan bilik tidur, satu perkara disedari. Tidak ada satupun penghawa dingin dipasang pada mana-mana ruang.

"Rumah ini adalah tentang seni bina pasif. Ia menggunakan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Malaysia kaya dengan cahaya matahari dan kehijauan alam semulajadi. Itu banyak membantu," katanya.

Tidak memerlukan siling yang tinggi, rumah empat bilik itu cukup terbuka untuk membenarkan pengudaraan yang cemerlang.

ai tak gembira betul sebab sejak laptop ni keluar bengkel (dibaiki), saya tak dapat copy, paste gambar macam biasa, kena copy paste cara manual, lambat dan berterabur begini..sabar je la..

0 comments: