Oh My Home! saya sudah siap! Saya sudah berpindah!
Pada 1hb Jun yang lepas, kami telah selamat berpindah ke rumah baharu kami. Tidak dapat saya tuliskan di sini betapa bersyukurnya saya atas nikmat memiliki rumah idaman ini.
Nanti jika ada kesempatan saya cuba mengupload gambar-gambarnya di sini, insyaAllah.
Monday, June 6, 2011
Kami sudah berpindah!
Posted by wan salmah at 11:10 AM 0 comments
Labels: Kami dah pindah
Friday, January 14, 2011
Tips Membeli
Corak lembut begini sesuai untuk anak gadis atau kamar tidur supaya dapat memberi ketenangan dan mudah beradu.Sejak cuti sekolah akhir tahun 2010 saya sudah mula membeli belah untuk keperluan rumah baru kami. Barang-barang yang dibelikan setakat ini ialah peralatan elektrik seperti kipas siling, lampu. Juga kain langsir. Oleh sebab bimbang terlepas bajet, saya bercadang menjahit sendiri langsir untuk rumah kami. Maklumlah untuk membina rumah kita kena pastikan wang yang diperuntukkan melebihi sasaran. Contoh kalau rumah berharga RM250 000, kita kena pastikan ada wang lain lagi yang boleh kita cekup nanti. Perkara biasalah jika kos rumah sebenar akan melangkaui jumlah asal. Rumusnya membina rumah memang memerlukan belanja yang sangat tinggi.
Ok, tips membeli belah. Jangan terus membeli. Survey terlebih dahulu kedai-kedai yang menyediakan peralatan tersebut. Pergi sewaktu jualan murah. Bandingkan barang-barang dan harga yang ditawarkan. Contoh kedai A jual barang elektrik yang murah, promosi begitu hebat. Jangan cepat terpengaruh. Mungkin kedai A menyediakan barangan kurang bermutu. Seperti kes saya, barangan elektrik dari China memang murah, tetapi kualitinya tidak terjamin. Ada barangan yang cepat rosak, tidak berfungsi dengan baik. Jadi, untuk rumah sendiri, jangan takut untuk membeli barangan berkualiti dengan jenama yang sudah diakui ramai. Kalau hendak beli juga dari kedai A disebabkan harga yang murah, belilah barang yang berkualiti atau bukan barangan elektrik.
Jangan beli dari satu kedai. Contoh kain langsir cotton corak English yang berkualiti memang cantik di Saleem Aziz. Tetapi di Kamdar kain cottonnya murah pula. Ada banyak jenis kain cotton. Semuanya bergantung pada kemampuan dan jenis tekstil/corak yang dikehendaki.
Jangan sesekali beli jika terasa was-was. banyak lagi kedai lain yang ada barang seperti yang kita kehendaki. Contohnya kain langsir di Nagoya banyak juga pilihannya (tapi English cotton yang elok tidak jumpa pula). Beli hanya yang kita yakin ari segi kemampuan, corak yang kita suka.
Rancang dahulu pembelian. Contoh kita ingin membeli langsir, petakan dulu tema yang kita hendak. Contoh kita suka tema hijau. Surf ruang yang 'hijau' dari segi penggunaan langsir, warna cat dinding, set sofa, katil/ perabot dan sebagainya. Jangan sesekali beli sebab ia cantik dan murah. Nanti jika kita pasang di rumah, warna tema kita telah lari dan nampak janggal. Langsir hijau tidak akan masuk dengan cat dinding hijau. Jadi tukar kepada krim, berjalur atau berbunga.
Posted by wan salmah at 9:09 AM 0 comments
Tuesday, November 23, 2010
Pembinaan Rumahku Sudah Bermula!
Pada Rejab yang lepas, projek pembinaan rumah kami telah bermula. Bulan mulia, semoga semuanya selamat dan membahagiakan. Pelannya bukan sehari dua saya reka. Tapi, apabila dikemukakan kepada tukang pelan, lain pula pandangannya. Yalah, taman dalam rumah (baca: bukan sikit bajetnya). Mujur ada plan B. Sumbernya ialah daripada rujukan internet. Saya mengambil kira keselesaan kami, para penghuni, juga nyaman untuk para tamu.
Yang biasa; ruang tamu, ruang makan, ruang keluarga, kamar beradu, dapur (2 dalam satu), dan stor. Yang menarik bagi saya ialah ada ruang dobi; membasuh dan menjemur di dalam rumah, bila-bila masa!
Laman? Impian memang indah. Laman yang segar dihiasi water feature, kemboja pelbagai warna, cempaka, melur, toking, dan mawar. Perbot taman, wakaf, bahkan banyak lagi..oh citarasa! Tidak tertulis di sini nalurinya... Tapi bab landskap ini sudah terkira dalam fasa ke..entah ke 2 atau ke 3. Nak siapkan rumah induk dulu..fuluss.. Buat permulaan saya akan cuba menanam pokok-pokok buahan, sayuran atau tanaman herba. Itu penting, untuk kesejahteraan diri.
Rumah kami pembinaannya tergendala sekejap. Ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah rintangan dan halangan datang melanda. Namun, hidup mesti diteruskan. Minggu ini kontraktor kami memberitahu pembinaan akan berjalan semula.. wah tak sabarnya, mendiami rumah sendiri.. Sistem air rumah kami ialah disedut dari dalam bumi (boring, eja tak pasti). Itu yang best sangat. Di taman perumahan sekarang, airnya sering keruh, walaupun sekarang sudah berkurang tapi air masih tidak jernih. Oh sedapnya meneguk air jernih mengalir daripada perut bumi...
Rancangan asal mengikut kontraktor rumah ini boleh siap Februari nanti. Tetapi, keadaan sudah berubah (sedikit). Apa-apapun, saya ingin menyambut ramadhan dengan penuh kesyahduan di sini insyaAllah dan menerima tetamu di hari lebaran di rumah baru..marhaban..
Posted by wan salmah at 5:05 AM 0 comments
Labels: Mari Bermula
Saturday, May 15, 2010
Selamat dan Selamat dan Selamat..
Ketika ini saya sedang menjalani fasa transisi atau tranformasi dalam hidup saya.. Suatu masa dahulu saya tinggal di Rembau dan memiliki sebuah banglo satu setengah tingkat. Ramai yang mengatakan rumah saya cantik, maksudnya reka bentuk dan landskap yang menarik. Namun semua itu sudah menjadi sejarah. Pada awal tahun ini, kami telah berpindah pulang ke negeri kelahiran saya setelah sekian lama merantau. Rumah di Rembau sedang dalam proses memindah milik dengan pembeli, memakan masa yang begitu lama (sudah lebih setahun).
Sekarang saya menetap di rumah sewa (kos rendah). Ruang sempit satu hal, kawasan untuk menanam pun tiada. Kesihan anak-anak saya jika berkumpul. Rasa berbeza benar dengan rumah lama mereka...
Maka, saya sekarang sedang bertungkus lumus untuk membina kediaman baru kami. Pada awalnya saya bercadang untuk membina sebuah rumah ala-ala tropika kontemporari. Wah sangat cantik. Design sudah siap, kontraktor pun dah ada. tetapi setelah menimbangkan pelbagai aspek, saya terpaksa bertukar tema. Mungkin jika muda 20 tahun, saya akan meneruskan hasrat untuk membina rumah gaya tersebut. Jadi, saya telah memberitahu kontraktor saya supaya membina rumah dengan tema yang lain..(apa ya?), tetapi masih ada ciri-ciri nature. Yang penting rumah saya praktikal, ekonomik, selesa didiami atau dikunjungi.
Ruang-ruang yang saya pilih ialah 4 bilik tidur, 1 ruang keluarga menghadap beranda. Pada beranda ini nanti insyaAllah saya lengkapkan dengan taman air (itu fasa berapa ya) dan taman mini. Itu sudut kegemaran seisi keluarga. Satu beranda lain yang lebih kecil menghadap laman rumah. Di sini saya akan letak satu meja dan kerusi kecil untuk memudahkan saya melakukan kerja-kerja saya sambil memantau pergerakan anak-anak saya di halaman rumah. Ada sebuah ruang tamudapur, stor
Posted by wan salmah at 9:54 AM 0 comments
Sunday, January 31, 2010
Daun gula
Oleh Rohaniza Idris
![]() |
Tumbuhan stevia 200 kali lebih manis berbanding gula tebu
KENAIKAN harga gula mulai 1 Januari lalu, disambut rungutan orang ramai yang sudah menganggapnya sebahagian bahan keperluan utama kehidupan. Seperti dijangkakan, berlakulah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran selain pembelian panik oleh pengguna yang selama ini sudah sebati dengan bahan pemanis itu.
Berikutan itu, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengatasinya dan pada masa sama menyarankan orang ramai mengurangkan jumlah pengambilan gula berikutan peningkatan jumlah pesakit diabetes dan darah tinggi setiap tahun.
Namun, di celah kesibukan kempen mengurangkan manis (gula) dalam makanan dan menambahkan manis dalam senyuman, timbul pula keghairahan beberapa pihak mengetengahkan bahan pengganti seperti madu, gula tiruan dan stevia. Madu dan gula tiruan sememangnya biasa didengari, tetapi stevia?
Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.
Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat penyakit berkaitan kencing manis, obesiti, menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar. Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis yang sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara
ini.

Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.
“Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya.
“Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.
“Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula,” katanya
Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.
Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis. Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.
Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.
“Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan.
“Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula,” katanya.
Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu. Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.
Potensi stevia di Malaysia
APAKAH potensi stevia sebagai tanaman komersial di negara ini? Bolehkan ia dijadikan industri bahan pengganti gulai?
Pengarah Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Mardi, Mansor Puteh, berkata Mardi banyak menerima permintaan dan pertanyaan mengenai stevia, khususnya selepas pengumuman kenaikan harga gula.
Namun, baginya herba itu tidak sesuai dijadikan tanaman komersial pengganti gula kerana kurang nilai ekonomi akibat harganya yang rendah, selain kualitinya yang tidak sebaik tumbuhan sama yang dikeluarkan di negara empat musim.
“Untuk mendapatkan sekilogram stevia kering, sekurang-kurangnya lima kilogram daun basah diperlukan iaitu kira-kira RM1.40 sekilogram, manakala kos pengeluarannya mungkin melebihi harga RM7 sekilogram tanaman.
“Mengikut kajian, stevia yang ditanam di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal. Di Malaysia juga, ia biasanya boleh membesar dengan ketinggian satu meter berbanding di negara empat musim yang ketinggiannya mencecah tiga meter. “Justeru, jika ada mana-mana syarikat yang ada niat mahu mengusahakannya secara komersial untuk menjadi bahan penggantian gula, saya suka nasihatkan supaya melupakan saja hasrat itu,” katanya.
Mansor berkata, lebih baik jika tanaman berkenaan diusahakan untuk tujuan pemasaran bahan herba atau makanan tambahan dalam makanan dan minuman kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
“Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat membangunkan tanaman ini dalam industri herba dan makanan tambahan. Malah, bersedia memberi khidmat nasihat, bantuan serta tunjuk ajar di samping terus menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti serta hasil penuaian stevia di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian pula berkata, ada beberapa bahan lain yang dikaji untuk menggantikan gula, namun semuanya didapati tidak sesuai untuk dikomersialkan kerana kos pengeluarannya besar selain masalah mendapatkan bahan mentah.
Antara tumbuhan itu ialah ‘Thamaucoccus’, pokok hutan seperti Kacip Fatimah tetapi ia sukar diusahakan kerana pokok ini amat sedikit mengeluarkan buahnya yang mengandungi bahan pemanis.
Selain itu, madu juga sukar diusahakan secara besar-besaran kerana Malaysia tidak mempunyai kawasan penanaman buah-buahan yang besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat untuk membolehkan lebah menyedut nektar daripada bunga pokok buahan berkenaan.
Bagaimanapun, tegas Dr Tan, hanya empat daripada 100 jenis stevia saja yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran di negara ini.
Beliau berkata, stevia boleh ditanam dan diusahakan di negara ini tetapi ada beberapa masalah yang perlu diambil risiko pengusahanya kerana tanaman berkenaan boleh mengeluarkan hasil yang baik jika lama terdedah kepada matahari.
“Di negara ini, waktu siang hanya 12 jam, bermakna daun yang dihasilkan kurang terdedah kepada matahari. Namun, Malaysia boleh menuai sebanyak sembilan kali hasil kerana kita panas sepanjang tahun.
“Berbanding negara empat musim, waktu panasnya kira-kira 16 jam dan tuai boleh dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh musim panas kira-kira tiga bulan setengah. Oleh kerana kadar kepanasan dan pendedahan terhadap matahari tinggi, maka hasil stevia lebih berkualiti kerana kandungan steviosid dan rebaudiosid A tumbuhan itu lebih tinggi.
“Di negara ini, kita boleh melakukan sistem pemanasan menggunakan lampu seperti dilakukan untuk tumbuhan seperti kekwa atau Chrysanthemum, namun ini tidak dapat dilakukan untuk stevia kerana harganya terlalu rendah, sedangkan penggunaan lampu memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Posted by wan salmah at 2:39 AM 0 comments
Labels: daun gula
Wednesday, January 13, 2010
Amalan Lestari Di Rumah
Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)
Kaedah jimat tenaga, mesra alam yang boleh diamalkan keluarga
PEPATAH melentur buluh biar dari rebungnya juga sebenarnya dapat digunakan bagi mengajar penghuni rumah tabiat baik yang harus dilakukan untuk kebersihan, konsep berjimat cermat dan penjagaan alam sekitar.
Amalan lestari ini harus ada pada setiap isi rumah tidak kira rumah kediaman itu besar atau kecil. Apa yang penting setiap ahli rumah mengambil bahagian dalam melaksana amalan ini. Tanggungjawab menjaga kebersihan dan alam sekitar harus bermula dari rumah kerana bermula dari sini sifat tanggungjawab ini dapat dipupuk dan dilaksanakan ibu bapa kepada setiap ahli keluarga.
Setiap kediaman memerlukan beberapa keperluan asas bagi membantu penghuni kediaman melaksanakan aktiviti harian mereka. Antara keperluan asas yang sangat diperlukan adalah keperluan air bersih dan tenaga elektrik. Dua asas keperluan ini disifatkan nadi kehidupan dan jika salah satu tidak dapat diperoleh, maka pasti berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan seharian. Selain daripada itu amalan kebersihan dan menjaga kesihatan juga perlu dititik beratkan kerana amalan memang dituntut oleh agama selain mengelak daripada ahli keluarga dari dijangkiti sebarang penyakit.
Berikut amalan lain yang boleh dilaksanakan:
Amalan kitar semula
Amalan jimat sumber air
Amalan jimat sumber tenaga
Amalan kesihatan baik
(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dekor/20091004105807/Article/index_html)
Posted by wan salmah at 7:33 PM 1 comments
Labels: lestar
Ladang tanaman terbuka
aqmar.alladad@kosmo.com.my
Di Ladang Organik Bandar Harapan, anda disediakan pelbagai pengetahuan mengenai proses bercucuk tanam sambil dibantu oleh mereka yang berpengalaman.

SETELAH melalui perjalanan kira-kira 40 minit dari pusat bandar raya Kuala Lumpur menuju ke sebuah ladang yang terletak di Petaling Jaya, penulis agak kehairanan. Bagaikan tidak percaya melihat lokasi di PJU 1A/31, Ara Damansara yang dikelilingi dengan kawasan perumahan mewah tetapi di hujung deretan rumah, anda boleh melihat sebuah kawasan menghijau yang luas terbentang.
Di situlah terletaknya Ladang Organik Bandar Harapan. Lokasi tepatnya adalah di atas sebuah kawasan tanah berbukit.
Melihat keadaan ladang yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau, apa yang boleh penulis simpulkan adalah konsep tanaman berselerak telah dipraktikkan di situ. Mungkin itu adalah identiti ladang tersebut yang kelihatan seperti sebuah kawasan perkampungan tradisional Melayu yang kaya dengan tanaman sayur dan ulam di belakang rumah.
Kawasan seluas 6.07 hektar itu mempunyai keistimewaan tersendiri. Mungkin sebelum ini, anda tidak pernah tahu tentang kewujudannya. Dibuka pada tahun 1999, kemudahan yang dapat anda nikmati amat berlainan.
Kalau hendak tahu, ladang tersebut dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai termasuk golongan kurang upaya bercucuk tanam di situ.
"Maaf ya...hari ini kita tidak ada pengunjung. Biasanya, mereka datang tidak menentu waktu tetapi pada hujung minggu memang ramai yang datang," beritahu pengusahanya, Ivan Ho Weng Cheong ketika ditemui Kosmo! di Ladang Organik Bandar Harapan, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurut Ivan, dia menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Rata-rata pengunjung hadir tanpa sebarang pengetahuan mengenai bercucuk tanam. Jadi, Ivan akan mengajar mereka satu persatu.
"Ada juga yang datang tanpa membawa sebarang peralatan yang diperlukan tetapi tidak mengapa. Ini kerana saya akan menyediakan keperluan tersebut," ujarnya .

Siraman tangan
Kemahiran yang dikongsi itu bermula daripada teknik menggembur tanah untuk memulakan proses penanaman sayur atau buah-buahan.
Untuk proses menyegarkan tanaman, ia boleh dilakukan dalam dua cara iaitu memastikan tanaman menerima bekalan air berterusan sama ada melalui siraman tangan atau penyebar air. Namun istimewanya, Ivan lebih berminat untuk menggunakan sistem siraman tangan.
"Alasan saya menggunakan siraman tangan adalah kerana ia lebih mudah dan hasil tanaman juga akan lebih segar. Lagipun saya suka mengekalkan corak tanaman seperti zaman dahulu.
"Tidak perlu guna penyebar air kerana ia banyak menggunakan tenaga elektrik. Kalau boleh, saya mahu kurangkan kos elektrik dan hanya menggunakan teknologi hijau sahaja," jelasnya lagi.

Sementara itu, dari segi perlindungan sesuatu tanaman, Ivan akan memberi tunjuk ajar dengan menggunakan sungkupan daun kelapa. Ini kerana, bahan tersebut tidak memerlukan perbelanjaan, bersesuaian dengan matlamat utama ladang itu yang hanya menyarankan untuk menggunakan bahan kitar semula.
Tujuan perlindungan dibuat pada setiap tanaman adalah supaya ia tidak rosak sekiranya hujan lebat atau panas terik. Pemilihan kaedah sungkupan merupakan kaedah tradisi yang masih digunakan untuk menutup permukaan tanah yang telah disemai benih.
Sambil rancak berbual dan mengelilingi setiap pelosok ladang, Ivan mempelawa penulis untuk melihat bagaimana dia memproses sendiri baja-baja yang akan digunakan.
Lokasi memproses baja terletak di bahagian berasingan dengan tanaman hijau. Di situ, Ivan akan menjelaskan kepada pengunjung cara mudah pemprosesan baja.
Dia akan menggunakan baja yang dihasilkan daripada najis ayam, lembu, kambing dan tanah bakar. Kelebihan menyediakan sendiri bahan baja tanaman memberikan kepuasan kepadanya.

"Saya tekankan perkara sebegini supaya golongan orang kurang upaya (OKU) dapat mempraktikkannya di rumah. Sekurang-kurangnya, mereka bukan hanya dapat ilmu tetapi boleh menggunakannya untuk keperluan sendiri," jelas Ivan sambil membersihkan kawasan memproses baja.
Ivan menegaskan, bagi mereka yang tinggal di kediaman yang tidak mempunyai ruang bercucuk tanam, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengusahakan secara kecil-kecilan.
Berikan tempoh tidak kurang enam bulan, anda akan mengetahui jenis tanaman yang sesuai ditanam di persekitaran sempit. Lama-kelamaan aktiviti sebegitu boleh dibuat dengan lebih serius lagi.
Diiringi keluarga
Dengan mengamalkan konsep terbuka, Ivan dan rakan kongsinya, Sakti Velu a/l Panil Selvam bagaimanapun telah meletakkan beberapa syarat tertentu.
Syarat tersebut bukannya terlalu berat tetapi ia sebagai langkah keselamatan memandangkan sebelum ini, tercetus kejadian ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka di situ.

Jelas Ivan, memang ada keluarga yang tidak berperikemanusiaan sanggup berpura-pura datang untuk belajar bercucuk tanam. Tetapi akhirnya mereka meninggalkan anak begitu sahaja tanpa sebarang dokumen.
Masalah itu telah menyukarkan Ivan untuk menjejak semula keluarga kanak-kanak terbiar terbabit. Justeru, pihaknya telah mengenakan syarat iaitu kemasukan golongan OKU mesti ditemani keluarga atau sanak-saudara.
"Keluarga mereka sendiri yang kena pegang atau pimpin anak masing-masing sepanjang sesi pembelajaran. Kami tidak akan jaga mereka tetapi sekadar berkongsi pengetahuan sahaja," katanya.
![]() |
| |
Berdiri sendiri
Tanpa mengharapkan sebarang pembalasan, kira-kira 500 pengunjung yang pernah bertandang ke sana berpeluang menjalani aktiviti berkaitan pertanian tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Lebih menarik lagi, hasil tanaman yang sudah matang akan dijual manakala keuntungan yang diperoleh akan diagihkan kepada mereka yang bersusah payah menjaga tanaman tersebut.
Ivan mengakui, Ladang Organik Bandar Harapan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM5,000 sebulan hasil daripada jualan tanaman. Baki daripada pendapatan itu akan disimpan atau digunakan untuk membelanjakan keperluan semasa ladang.
Tinjauan Kosmo! mendapati, meskipun ladang itu luas, namun ia sebenarnya tidak menelan belanja bulanan yang besar untuk menguruskannya. Ini kerana dari segi baja yang diperlukan, Ivan tidak pernah membelinya dari luar, sebaliknya dia memproses sendiri bahan untuk dijadikan baja.
"Ladang ini tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada kerajaan. Lagipun, saya tidak suka sikap yang perlu bergantung kepada orang lain sedangkan kita sendiri boleh mendapatkannya.
"Itulah yang saya ingin tekankan kepada pengunjung terutama golongan OKU supaya mereka tidak perlu menagih simpati untuk menjana pendapatan. Sebaliknya, mereka perlu berdikari untuk menampung kehidupan seharian dengan cara yang betul," jelasnya bersungguh-sungguh.
Dalam pada itu, Ivan yang merupakan graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan, dia menggunakan sepenuhnya ilmu yang diperoleh untuk dikongsi bersama mereka yang berminat.
Ivan yang hanya bekerja separuh masa di ladang itu turut menubuhkan laman web www.hatiharapan.org bersama rakan-rakannya.
Tujuan utama ia ditubuhkan untuk memberi gambaran sepnuhnya kepada orang ramai mengenai matlamat kewujudan ladang itu.
Isi kandungan yang boleh anda lihat apabila melayari laman itu antaranya ialah jenis tanaman herba.
"Laman itu memuatkan aktiviti yang telah dijalankan, objektif penubuhan serta borang bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan Ladang Organik Bandar Harapan," terangnya.

Herba tradisional
Selain itu, kunjungan anda ke sana turut didedahkan mengenai tumbuhan hijau yang boleh dijadikan herba.
Ivan yang juga merupakan seorang pakar dalam pembuatan ubatan tradisional memilih untuk menanam misai kucing dan pegaga.
Katanya, generasi masa kini begitu terdedah untuk mendapatkan ubat yang sudah dicampur dengan pelbagai bahan yang tidak sepatutnya.
"Produk kesihatan...kalau kita tengok sekarang ini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Tetapi hakikatnya pengguna juga boleh mendapatkan kesihatan yang baik dengan mengamalkan urutan tradisional.," ujarnya.
Kosmo! 14.1.2010
Posted by wan salmah at 4:46 PM 0 comments
Labels: ladang organik




