Tuesday, November 23, 2010

Pembinaan Rumahku Sudah Bermula!


Saya cuma inginkan rumah, tempat untuk kami berteduh. Sebagai tempat untuk perlindungan, membina erti kasih, melepas lelah, oh, untuk segala-galalah - Rumah yang berjiwa!

Pada Rejab yang lepas, projek pembinaan rumah kami telah bermula. Bulan mulia, semoga semuanya selamat dan membahagiakan. Pelannya bukan sehari dua saya reka. Tapi, apabila dikemukakan kepada tukang pelan, lain pula pandangannya. Yalah, taman dalam rumah (baca: bukan sikit bajetnya). Mujur ada plan B. Sumbernya ialah daripada rujukan internet. Saya mengambil kira keselesaan kami, para penghuni, juga nyaman untuk para tamu.

Yang biasa; ruang tamu, ruang makan, ruang keluarga, kamar beradu, dapur (2 dalam satu), dan stor. Yang menarik bagi saya ialah ada ruang dobi; membasuh dan menjemur di dalam rumah, bila-bila masa!

Laman? Impian memang indah. Laman yang segar dihiasi water feature, kemboja pelbagai warna, cempaka, melur, toking, dan mawar. Perbot taman, wakaf, bahkan banyak lagi..oh citarasa! Tidak tertulis di sini nalurinya... Tapi bab landskap ini sudah terkira dalam fasa ke..entah ke 2 atau ke 3. Nak siapkan rumah induk dulu..fuluss.. Buat permulaan saya akan cuba menanam pokok-pokok buahan, sayuran atau tanaman herba. Itu penting, untuk kesejahteraan diri.

Rumah kami pembinaannya tergendala sekejap. Ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah rintangan dan halangan datang melanda. Namun, hidup mesti diteruskan. Minggu ini kontraktor kami memberitahu pembinaan akan berjalan semula.. wah tak sabarnya, mendiami rumah sendiri.. Sistem air rumah kami ialah disedut dari dalam bumi (boring, eja tak pasti). Itu yang best sangat. Di taman perumahan sekarang, airnya sering keruh, walaupun sekarang sudah berkurang tapi air masih tidak jernih. Oh sedapnya meneguk air jernih mengalir daripada perut bumi...

Rancangan asal mengikut kontraktor rumah ini boleh siap Februari nanti. Tetapi, keadaan sudah berubah (sedikit). Apa-apapun, saya ingin menyambut ramadhan dengan penuh kesyahduan di sini insyaAllah dan menerima tetamu di hari lebaran di rumah baru..marhaban..