Sunday, May 20, 2012

Sesudah setahun...

Pejam celik pejam celik dah hampir setahun kami sudah berpindah ke rumah baharu...Ya la, masa tu cuti pertengahan tahun, minggu depan cuti sekolah akan menjelma...

Dari segi perabot atau hiasan, cita rasa saya sederhana. Idea rumah ialah nusantara, namun pada ruang tamu saya sangat-sangat kepingin mempunyai langsir berbunga/ English... maafkan saya encik interior designer ya..

Ada tak sesiapa yang berkenan pada langsir tu? Hehe kalau cantik tu, jahit sendiri la.. tapi biarpun dah hampir setahun langsir siang belum berjahit...

Nak tunjuk kawasan lain, lain kali pula ya sebab belum sempurna, beli sikit-sikit hehe...


Haa ini ialah rumah burung serindit kami. Burung ni comel tapi agak sensitif. Warnanya ialah campuran hijau, biru putih, biru. Memang comel.





Hydrange/ Bunga 3 bulan... sedang berbunga cantik.. Saya memang peminat bunga dan sudah banyak menanam bunga di halaman rumah kami.





Lili putih, saya suka bunga ni sebab lasak, mudah dijaga, suka berbunga. Baka pokok ini saya bawa dari rumah lama saya di Negeri Sembilan lagi.

Ini pokok weeping willow, memang terlalu suka pada spesies ini. Mungkin dia pun suka pada kami, cepat membesar sekarang sudah berketinggian 5 kaki (9 bulan ditanam)





Saya terlalu suka pada ros. Ros ini selapis/ dua lapis saja tapi bunga berjambak-jambak. Baru2 ni saya ingat dah mati (sensitif sangat) tapi syukur sekarang dia dah berpucuk balik dan dah banyak ranting. Hampir setiap ranting ada gugusan bunga...




Ini pokok iris. Ada yang suka iris? Bunganya kuning kecil macam orkid. tapi awas kena rajin taruk racun serangga pada pangkal pokok.


Sekian dulu saya upload bunga-bungaan dari taman saya, insyaAllah saya sambung lain kali...ada banyak juga lagi..


Monday, June 6, 2011

Kami sudah berpindah!

Oh My Home! saya sudah siap! Saya sudah berpindah!

Pada 1hb Jun yang lepas, kami telah selamat berpindah ke rumah baharu kami. Tidak dapat saya tuliskan di sini betapa bersyukurnya saya atas nikmat memiliki rumah idaman ini.

Nanti jika ada kesempatan saya cuba mengupload gambar-gambarnya di sini, insyaAllah.

Friday, January 14, 2011

Tips Membeli

Corak lembut begini sesuai untuk anak gadis atau kamar tidur supaya dapat memberi ketenangan dan mudah beradu.

Sejak cuti sekolah akhir tahun 2010 saya sudah mula membeli belah untuk keperluan rumah baru kami. Barang-barang yang dibelikan setakat ini ialah peralatan elektrik seperti kipas siling, lampu. Juga kain langsir. Oleh sebab bimbang terlepas bajet, saya bercadang menjahit sendiri langsir untuk rumah kami. Maklumlah untuk membina rumah kita kena pastikan wang yang diperuntukkan melebihi sasaran. Contoh kalau rumah berharga RM250 000, kita kena pastikan ada wang lain lagi yang boleh kita cekup nanti. Perkara biasalah jika kos rumah sebenar akan melangkaui jumlah asal. Rumusnya membina rumah memang memerlukan belanja yang sangat tinggi.

Ok, tips membeli belah. Jangan terus membeli. Survey terlebih dahulu kedai-kedai yang menyediakan peralatan tersebut. Pergi sewaktu jualan murah. Bandingkan barang-barang dan harga yang ditawarkan. Contoh kedai A jual barang elektrik yang murah, promosi begitu hebat. Jangan cepat terpengaruh. Mungkin kedai A menyediakan barangan kurang bermutu. Seperti kes saya, barangan elektrik dari China memang murah, tetapi kualitinya tidak terjamin. Ada barangan yang cepat rosak, tidak berfungsi dengan baik. Jadi, untuk rumah sendiri, jangan takut untuk membeli barangan berkualiti dengan jenama yang sudah diakui ramai. Kalau hendak beli juga dari kedai A disebabkan harga yang murah, belilah barang yang berkualiti atau bukan barangan elektrik.

Jangan beli dari satu kedai. Contoh kain langsir cotton corak English yang berkualiti memang cantik di Saleem Aziz. Tetapi di Kamdar kain cottonnya murah pula. Ada banyak jenis kain cotton. Semuanya bergantung pada kemampuan dan jenis tekstil/corak yang dikehendaki.

Jangan sesekali beli jika terasa was-was. banyak lagi kedai lain yang ada barang seperti yang kita kehendaki. Contohnya kain langsir di Nagoya banyak juga pilihannya (tapi English cotton yang elok tidak jumpa pula). Beli hanya yang kita yakin ari segi kemampuan, corak yang kita suka.

Rancang dahulu pembelian. Contoh kita ingin membeli langsir, petakan dulu tema yang kita hendak. Contoh kita suka tema hijau. Surf ruang yang 'hijau' dari segi penggunaan langsir, warna cat dinding, set sofa, katil/ perabot dan sebagainya. Jangan sesekali beli sebab ia cantik dan murah. Nanti jika kita pasang di rumah, warna tema kita telah lari dan nampak janggal. Langsir hijau tidak akan masuk dengan cat dinding hijau. Jadi tukar kepada krim, berjalur atau berbunga.
Padanan warna yang sesuai akan menyejukkan mata memandang.

Tuesday, November 23, 2010

Pembinaan Rumahku Sudah Bermula!


Saya cuma inginkan rumah, tempat untuk kami berteduh. Sebagai tempat untuk perlindungan, membina erti kasih, melepas lelah, oh, untuk segala-galalah - Rumah yang berjiwa!

Pada Rejab yang lepas, projek pembinaan rumah kami telah bermula. Bulan mulia, semoga semuanya selamat dan membahagiakan. Pelannya bukan sehari dua saya reka. Tapi, apabila dikemukakan kepada tukang pelan, lain pula pandangannya. Yalah, taman dalam rumah (baca: bukan sikit bajetnya). Mujur ada plan B. Sumbernya ialah daripada rujukan internet. Saya mengambil kira keselesaan kami, para penghuni, juga nyaman untuk para tamu.

Yang biasa; ruang tamu, ruang makan, ruang keluarga, kamar beradu, dapur (2 dalam satu), dan stor. Yang menarik bagi saya ialah ada ruang dobi; membasuh dan menjemur di dalam rumah, bila-bila masa!

Laman? Impian memang indah. Laman yang segar dihiasi water feature, kemboja pelbagai warna, cempaka, melur, toking, dan mawar. Perbot taman, wakaf, bahkan banyak lagi..oh citarasa! Tidak tertulis di sini nalurinya... Tapi bab landskap ini sudah terkira dalam fasa ke..entah ke 2 atau ke 3. Nak siapkan rumah induk dulu..fuluss.. Buat permulaan saya akan cuba menanam pokok-pokok buahan, sayuran atau tanaman herba. Itu penting, untuk kesejahteraan diri.

Rumah kami pembinaannya tergendala sekejap. Ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah rintangan dan halangan datang melanda. Namun, hidup mesti diteruskan. Minggu ini kontraktor kami memberitahu pembinaan akan berjalan semula.. wah tak sabarnya, mendiami rumah sendiri.. Sistem air rumah kami ialah disedut dari dalam bumi (boring, eja tak pasti). Itu yang best sangat. Di taman perumahan sekarang, airnya sering keruh, walaupun sekarang sudah berkurang tapi air masih tidak jernih. Oh sedapnya meneguk air jernih mengalir daripada perut bumi...

Rancangan asal mengikut kontraktor rumah ini boleh siap Februari nanti. Tetapi, keadaan sudah berubah (sedikit). Apa-apapun, saya ingin menyambut ramadhan dengan penuh kesyahduan di sini insyaAllah dan menerima tetamu di hari lebaran di rumah baru..marhaban..

Saturday, May 15, 2010

Selamat dan Selamat dan Selamat..

Ketika ini saya sedang menjalani fasa transisi atau tranformasi dalam hidup saya.. Suatu masa dahulu saya tinggal di Rembau dan memiliki sebuah banglo satu setengah tingkat. Ramai yang mengatakan rumah saya cantik, maksudnya reka bentuk dan landskap yang menarik. Namun semua itu sudah menjadi sejarah. Pada awal tahun ini, kami telah berpindah pulang ke negeri kelahiran saya setelah sekian lama merantau. Rumah di Rembau sedang dalam proses memindah milik dengan pembeli, memakan masa yang begitu lama (sudah lebih setahun).

Sekarang saya menetap di rumah sewa (kos rendah). Ruang sempit satu hal, kawasan untuk menanam pun tiada. Kesihan anak-anak saya jika berkumpul. Rasa berbeza benar dengan rumah lama mereka...

Maka, saya sekarang sedang bertungkus lumus untuk membina kediaman baru kami. Pada awalnya saya bercadang untuk membina sebuah rumah ala-ala tropika kontemporari. Wah sangat cantik. Design sudah siap, kontraktor pun dah ada. tetapi setelah menimbangkan pelbagai aspek, saya terpaksa bertukar tema. Mungkin jika muda 20 tahun, saya akan meneruskan hasrat untuk membina rumah gaya tersebut. Jadi, saya telah memberitahu kontraktor saya supaya membina rumah dengan tema yang lain..(apa ya?), tetapi masih ada ciri-ciri nature. Yang penting rumah saya praktikal, ekonomik, selesa didiami atau dikunjungi.

Ruang-ruang yang saya pilih ialah 4 bilik tidur, 1 ruang keluarga menghadap beranda. Pada beranda ini nanti insyaAllah saya lengkapkan dengan taman air (itu fasa berapa ya) dan taman mini. Itu sudut kegemaran seisi keluarga. Satu beranda lain yang lebih kecil menghadap laman rumah. Di sini saya akan letak satu meja dan kerusi kecil untuk memudahkan saya melakukan kerja-kerja saya sambil memantau pergerakan anak-anak saya di halaman rumah. Ada sebuah ruang tamudapur, stor

Sunday, January 31, 2010

Daun gula

Oleh Rohaniza Idris




Tumbuhan stevia 200 kali lebih manis berbanding gula tebu

KENAIKAN harga gula mulai 1 Januari lalu, disambut rungutan orang ramai yang sudah menganggapnya sebahagian bahan keperluan utama kehidupan. Seperti dijangkakan, berlakulah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran selain pembelian panik oleh pengguna yang selama ini sudah sebati dengan bahan pemanis itu.

Berikutan itu, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengatasinya dan pada masa sama menyarankan orang ramai mengurangkan jumlah pengambilan gula berikutan peningkatan jumlah pesakit diabetes dan darah tinggi setiap tahun.

Namun, di celah kesibukan kempen mengurangkan manis (gula) dalam makanan dan menambahkan manis dalam senyuman, timbul pula keghairahan beberapa pihak mengetengahkan bahan pengganti seperti madu, gula tiruan dan stevia. Madu dan gula tiruan sememangnya biasa didengari, tetapi stevia?

Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.

Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat penyakit berkaitan kencing manis, obesiti, menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar. Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis yang sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara ini.

Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.

“Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya.

“Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.

“Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula,” katanya

Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis. Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.

“Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan.

“Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula,” katanya.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu. Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Potensi stevia di Malaysia

APAKAH potensi stevia sebagai tanaman komersial di negara ini? Bolehkan ia dijadikan industri bahan pengganti gulai?

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Mardi, Mansor Puteh, berkata Mardi banyak menerima permintaan dan pertanyaan mengenai stevia, khususnya selepas pengumuman kenaikan harga gula.

Namun, baginya herba itu tidak sesuai dijadikan tanaman komersial pengganti gula kerana kurang nilai ekonomi akibat harganya yang rendah, selain kualitinya yang tidak sebaik tumbuhan sama yang dikeluarkan di negara empat musim.

“Untuk mendapatkan sekilogram stevia kering, sekurang-kurangnya lima kilogram daun basah diperlukan iaitu kira-kira RM1.40 sekilogram, manakala kos pengeluarannya mungkin melebihi harga RM7 sekilogram tanaman.

“Mengikut kajian, stevia yang ditanam di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal. Di Malaysia juga, ia biasanya boleh membesar dengan ketinggian satu meter berbanding di negara empat musim yang ketinggiannya mencecah tiga meter. “Justeru, jika ada mana-mana syarikat yang ada niat mahu mengusahakannya secara komersial untuk menjadi bahan penggantian gula, saya suka nasihatkan supaya melupakan saja hasrat itu,” katanya.

Mansor berkata, lebih baik jika tanaman berkenaan diusahakan untuk tujuan pemasaran bahan herba atau makanan tambahan dalam makanan dan minuman kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

“Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat membangunkan tanaman ini dalam industri herba dan makanan tambahan. Malah, bersedia memberi khidmat nasihat, bantuan serta tunjuk ajar di samping terus menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti serta hasil penuaian stevia di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian pula berkata, ada beberapa bahan lain yang dikaji untuk menggantikan gula, namun semuanya didapati tidak sesuai untuk dikomersialkan kerana kos pengeluarannya besar selain masalah mendapatkan bahan mentah.

Antara tumbuhan itu ialah ‘Thamaucoccus’, pokok hutan seperti Kacip Fatimah tetapi ia sukar diusahakan kerana pokok ini amat sedikit mengeluarkan buahnya yang mengandungi bahan pemanis.

Selain itu, madu juga sukar diusahakan secara besar-besaran kerana Malaysia tidak mempunyai kawasan penanaman buah-buahan yang besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat untuk membolehkan lebah menyedut nektar daripada bunga pokok buahan berkenaan.

Bagaimanapun, tegas Dr Tan, hanya empat daripada 100 jenis stevia saja yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran di negara ini.

Beliau berkata, stevia boleh ditanam dan diusahakan di negara ini tetapi ada beberapa masalah yang perlu diambil risiko pengusahanya kerana tanaman berkenaan boleh mengeluarkan hasil yang baik jika lama terdedah kepada matahari.

“Di negara ini, waktu siang hanya 12 jam, bermakna daun yang dihasilkan kurang terdedah kepada matahari. Namun, Malaysia boleh menuai sebanyak sembilan kali hasil kerana kita panas sepanjang tahun.

“Berbanding negara empat musim, waktu panasnya kira-kira 16 jam dan tuai boleh dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh musim panas kira-kira tiga bulan setengah. Oleh kerana kadar kepanasan dan pendedahan terhadap matahari tinggi, maka hasil stevia lebih berkualiti kerana kandungan steviosid dan rebaudiosid A tumbuhan itu lebih tinggi.

“Di negara ini, kita boleh melakukan sistem pemanasan menggunakan lampu seperti dilakukan untuk tumbuhan seperti kekwa atau Chrysanthemum, namun ini tidak dapat dilakukan untuk stevia kerana harganya terlalu rendah, sedangkan penggunaan lampu memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.

Wednesday, January 13, 2010

Amalan Lestari Di Rumah

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)

Kaedah jimat tenaga, mesra alam yang boleh diamalkan keluarga

PEPATAH melentur buluh biar dari rebungnya juga sebenarnya dapat digunakan bagi mengajar penghuni rumah tabiat baik yang harus dilakukan untuk kebersihan, konsep berjimat cermat dan penjagaan alam sekitar.

Amalan lestari ini harus ada pada setiap isi rumah tidak kira rumah kediaman itu besar atau kecil. Apa yang penting setiap ahli rumah mengambil bahagian dalam melaksana amalan ini. Tanggungjawab menjaga kebersihan dan alam sekitar harus bermula dari rumah kerana bermula dari sini sifat tanggungjawab ini dapat dipupuk dan dilaksanakan ibu bapa kepada setiap ahli keluarga.

Setiap kediaman memerlukan beberapa keperluan asas bagi membantu penghuni kediaman melaksanakan aktiviti harian mereka. Antara keperluan asas yang sangat diperlukan adalah keperluan air bersih dan tenaga elektrik. Dua asas keperluan ini disifatkan nadi kehidupan dan jika salah satu tidak dapat diperoleh, maka pasti berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan seharian. Selain daripada itu amalan kebersihan dan menjaga kesihatan juga perlu dititik beratkan kerana amalan memang dituntut oleh agama selain mengelak daripada ahli keluarga dari dijangkiti sebarang penyakit.

Berikut amalan lain yang boleh dilaksanakan:

Amalan kitar semula

  • Memberi sokongan program kitar semula selain memastikan ahli keluarga memberi kerjasama untuk mengitar semula barang buangan sebanyak mungkin.
  • Menggunakan semula bekas kaca dan plastik sebagai tempat menyimpan barang atau sebagai hiasan yang mengelakkan pembaziran dengan membeli bekas baru.
  • Mengurangkan penggunaan beg plastik atau bawa beg sendiri untuk membeli belah. Ini disebabkan beg plastik sukar untuk dilupuskan.
  • Kitar semula air bilasan cucian. Air cucian boleh dikumpulkan semula dan digunakan untuk mencuci tandas serta longkang sekitar kawasan rumah.
  • Gerakkan ahli keluarga untuk memberi idea kreatif bagi mengguna semula peralatan yang terbuang atau mengguna semula peralatan atau perabot dengan gaya baru.

    Amalan jimat sumber air

  • Penggunaan mandi pancuran atau shower harus digalakkan berbanding penggunaan takungan mandi atau bath tub. Namun tidak semua orang selesa mandi secara pancuran dan sekiranya menggunakan kolam mandi adalah digalakkan menggunakan gayung kecil. Mandi menggunakan pancuran dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak empat kali ganda.
  • Elakkan kerap cuci kenderaan. Jika perlu, gunakan siraman bilasan menggunakan air dari baldi yang jauh lebih menjimatkan berbanding air disalurkan terus daripada paip. Lebih bijak, gunakan sumber tadahan air hujan.
  • Siraman pokok dan tanaman secara berkala bagi mengelak pembaziran. Gunakan tadahan hujan adalah digalakkan.
  • Jika elemen air tidak begitu penting kepada sesebuah reka bentuk rumah kediaman, maka eloklah jika ia ditiadakan. Ini kerana kolam ikan, kolam renang atau pun reflecting pool memerlukan penjagaan serta air yang sentiasa diganti.
  • Gunakan mesin basuh pakaian yang jimat tenaga dan hanya membasuh selepas muatannya penuh. Sebelum membeli mesin basuh pakaian, baca label kecekapan penjimatan tenaga mesin tersebut. Dengan memilih mesin basuh yang tinggi penjimatan tenaganya, penggunaan air dan elektrik dapat dikurangkan sehingga 50%.
  • Kawal kadar aliran air paip kerana aliran yang rendah boleh mengurangkan antara 25 peratus - 50 peratus penggunaan air.
  • Pasangkan sistem dua curahan pada tandas yang dapat mengurangkan sehingga 50 peratus bagi satu-satu keluarga· Semasa memberus gigi gunakan air yang diisi di dalam bekas dan jangan biarkan air mengalir berterusan.
  • Isikan air ke dalam sinki untuk mencuci sayuran atau membasuh pinggan mangkuk. Ia menjimatkan 15 kali penggunaan air berbanding membasuh di bawah paip air yang mengalir berterusan.

    Amalan jimat sumber tenaga

  • Gunakan peralatan elektrik jimat tenaga. Elak peralatan elektrik seperti televisyen yang dibiarkan dalam keadaan ’standby mode’ yang menggunakan tenaga elektrik.
  • Penggunaan kuali memasak yang sesuai saiznya dan tutup periuk semasa memasak bagi jimat tenaga. Periuk tekanan dan pengukus adalah lebih baik dan menjimatkan tenaga selain makanan dimasak juga lebih sihat.
  • Gunakan menggunakan mentol dan lampu jimat tenaga, ini kerana penggunaan mentol dan lampu seperti ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 80%.
  • Pilih kapasiti peti sejuk yang sesuai dengan penggunaannya. Jangan terpengaruh membeli peti sejuk berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan kewajaran penggunaannya. Semakin besar kapasiti semakin tinggi penggunaan tenaga.
  • Jemur pakaian di bawah cahaya matahari berbanding mesin pengering.
  • Gunakan langsir atau bidai berwarna putih untuk memantulkan haba dan mengurangkan pemanasan.
  • Pilih penghawa dingin dengan kapasiti yang sesuai dengan keperluan dan keluasan ruang. Sebagai contoh ruang bilik tidur seluas 3 meter x 4 meter adalah mencukupi menggunakan penghawa dingin berkadar 1hp. Kadar suhu yang sesuai sekitar 22 - 24'darjah Celsius. Elak daripada menggunakan kadar suhu yang sangat rendah kerana mengakibatkan alat penghawa dingin bekerja lebih berat.

    Amalan kesihatan baik

  • Galakkan ahli kelurga berbasikal atau berjalan kaki ke kedai atau kawasan berdekatan. Amalan ini 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
  • Jadikan bahan buangan organik sebagai baja kompos yang tinggi nutriennya Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tanaman seperti pudina yang berfungsi menghindar serangan serangga perosak.
  • Gunakan kain untuk mengelap meja dapur dan tempat bekerja. Elakkan dari menggunakan tisu kerana ia tidak boleh digunakan semula serta menyumbang kepada penambahan sisa buangan domestik.
  • Menjaga kebersihan dari haiwan perosak seperti lalat, lipas, tikus dan semut. Pastikan kebersihan dijaga pada setiap peralatan dan memastikan tiada tempat haiwan ini boleh membiak.
  • Senantiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga dari segi persekitaran dan haiwan peliharaan bagi mengelak penyakit berjangkit.
  • (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dekor/20091004105807/Article/index_html)