Wednesday, January 13, 2010

Pengaruh manusia, reka bentuk

Bersama Hamidon Abdullah, Pensyarah Kanan, Jabatan Rekabentuk & Senibina Dalaman


BILIK tidur anak tampak menarik, selesa jika kena susun atur perabotnya.

Elemen reka bentuk dalaman yang baik perlu seimbang keaslian, praktikal, ciri pintar

SETIAP keluarga mempunyai cara dan gaya hidup, keperluan diri yang tersendiri dan belanjawan berbeza. Setiap rumah seharusnya mempunyai unit tersendiri yang dirancang, direka bentuk dan dihias untuk memenuhi cita rasa individu atau keluarga. Oleh itu, trend dan gaya haruslah dipilih secara berhati-hati dengan mengambil kira beberapa perkara yang disenaraikan di bawah.

Sebaik pemilik memasuki rumah baru, dia akan cuba merancang untuk membuat kediamannya agar berbeza daripada rumah jirannya sama ada bahagian dalam atau luar. Pemilik akan merancang dari segi pemilihan warna, perabot dan hiasan.

Hari ini, kita tiada masalah menghias rumah kerana boleh merujuk majalah hiasan, program televisyen atau buku. Adakah ini cara terbaik sedangkan kita tertekan untuk mereka bentuk satu-satu persekitaran rumah kediaman yang selesa yang menggambarkan cita rasa keluarga dan personaliti kita?

Nilai reka bentuk yang baik

Reka bentuk dalaman adalah proses penyelesaian masalah. Setiap penyelesaian masalah itu akan memberi kesan positif dan kegembiraan kepada pemilik dan kawasan sekelilingnya.

PENGGUNAAN warna, penataan cahaya, pemilihan serta reka bentuk perabot dan bahan binaan sesuai meningkatan kesan psikologi positif.

Skop reka bentuk pula amat luas dan kehidupan seharian manusia dibantu pelbagai hasil reka bentuk berbeza. Menerusi reka bentuk fesyen, kita dapat bergaya mengikut trend, pakaian manakala reka bentuk produk industri membolehkan kita menikmati kemudahan kelengkapan domestik serta luaran seperti pengangkutan automotif. Reka bentuk grafik pula membolehkan kita berkomunikasi dan dapat mendapat pemahaman yang jelas dan menarik. Paling penting, reka bentuk alam sekitar dan seni bina pula membolehkan kita menikmati keselesaan tempat tinggal, kerja dan alam sekeliling yang kondusif serta selamat.

Untuk melaksanakan tugasan reka bentuk, haruslah melalui proses kerja yang membabitkan aktiviti perancangan, penyelidikan, lakaran, perdebatan dan pengubahsuaian sebelum boleh diterima dan diiktiraf penyelesaian terbaik. Ia memerlukan daya kreativiti tinggi, pengalaman pemerhatian yang luas, pengetahuan mendalam bidang reka bentuk khusus dan kemahiran komunikasi visual yang tinggi.

Reka bentuk bukanlah hanya seni dan sains yang digabungkan tetapi gabungan teknologi dan kemanusiaan. Sesuatu produk reka bentuk dinilai menerusi keberkesanan penyelesaian masalahnya. Sesuatu reka bentuk yang unik dan luar biasa, belum tentu menjadi penyelesaian terbaik. Maka, sesuatu reka bentuk yang berjaya mempunyai keseimbangan tiga aspek nilai iaitu keaslian, praktikal dan pintar iaitu berfungsi. Reka bentuk yang tidak menitikberatkan keseimbangan itu akan mengundang kesilapan dan seterusnya ketidakselesaan pengguna.

Makna reka bentuk dalaman

LUAS rumah sederhana tampil selesa andai dirancang dengan baik dan berfungsi.

Bidang bentuk dalaman atau sering disebut hiasan dalaman tidak hanya merangkumi aspek dekorasi saja yang biasanya membabitkan hiasan kosmetik terhadap penggunaan bahan atau kemasan tanpa memberi makna tertentu dari segi perancangan ruang dan seni bina. Reka bentuk dalaman adalah bidang yang memperseimbang ciri ekonomi, fungsi dan kesenian yang sesuai dengan keupayaan dan kemampuan pemilik dan penggunanya. Objektifnya termasuk:

  • Memperbaiki keberkesanan penggunaan ruang mengikut kepentingan dan fungsi tertentu menerusi cadangan perancangan ruang.

  • Mengimbangi gabungan kepentingan aspek fungsi dengan nilai estetika bermakna melalui cadangan konsep reka bentuk.

  • Menentukan penggunaan optimum terhadap bahan binaan dan kemasan serta mengurangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan.

  • Meningkatkan kesan psikologi yang positif bagi memanfaatkan ruang menerusi cadangan penggunaan warna, penataan cahaya, pemilihan dan reka bentuk perabot, bahan binaan dan kemasan yang sesuai.

  • Menghasilkan visual reka bentuk bagi tujuan persembahan cadangan, kritikan dan perubahan sama ada dalam bentuk model tiga dimensi, media elektronik atau cetak dan seterusnya menghasilkan lukisan kerja dan terperinci untuk tujuan penempahan, pembinaan dan pemasangan.

  • Memastikan kualiti pembinaan dan pemasangan setiap komponen ruang dalaman mengikut jangkamasa dan kos ditetapkan kontrak.

    Kerja reka bentuk dalaman yang dilakukan secara teliti dan terperinci dengan menitikberatkan aspek berkenaan akan mewujudkan ruang dalaman yang bukan saja indah dan berfungsi dengan baik, malah mampu meningkatkan lagi rangsangan emosi dan motivasi manusia dalam kehidupan sehariannya.

    Reka bentuk dalaman mempunyai maksud yang besar iaitu membuat kediaman selesa dan berfungsi. Masyarakat akan berhadapan dengan masalah sekiranya ruang dalaman tidak direka bentuk dengan baik selain menimbulkan tekanan emosi dan kekecewaan. Perlu diingatkan, kesempurnaan reka bentuk dan rumah yang menarik tidak menjanjikan kegembiraan tetapi reka bentuk dalaman yang sempurna semestinya membantu menyelesai kepayahan hidup. Saiz dan kemewahan sesuatu kediaman dan keupayaan fungsinya turut menjadi persoalan berbanding rumah yang sederhana tetapi dirancang dengan elok dan berfungsi dengan sempurna.

    Kesimpulannya, ruang dalaman sempurna akan membentuk kesempurnaan penghuninya dari segi nilai, kesempurnaan dan integriti kerana kehidupan seseorang itu bermula dari rumahnya. Jika sempurna didikannya di rumah maka sempurnalah individu itu apabila berada di luar sana.

  • Berita Harian Januari 2010

    0 comments: