Wednesday, January 13, 2010

Amalan Lestari Di Rumah

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)

Kaedah jimat tenaga, mesra alam yang boleh diamalkan keluarga

PEPATAH melentur buluh biar dari rebungnya juga sebenarnya dapat digunakan bagi mengajar penghuni rumah tabiat baik yang harus dilakukan untuk kebersihan, konsep berjimat cermat dan penjagaan alam sekitar.

Amalan lestari ini harus ada pada setiap isi rumah tidak kira rumah kediaman itu besar atau kecil. Apa yang penting setiap ahli rumah mengambil bahagian dalam melaksana amalan ini. Tanggungjawab menjaga kebersihan dan alam sekitar harus bermula dari rumah kerana bermula dari sini sifat tanggungjawab ini dapat dipupuk dan dilaksanakan ibu bapa kepada setiap ahli keluarga.

Setiap kediaman memerlukan beberapa keperluan asas bagi membantu penghuni kediaman melaksanakan aktiviti harian mereka. Antara keperluan asas yang sangat diperlukan adalah keperluan air bersih dan tenaga elektrik. Dua asas keperluan ini disifatkan nadi kehidupan dan jika salah satu tidak dapat diperoleh, maka pasti berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan seharian. Selain daripada itu amalan kebersihan dan menjaga kesihatan juga perlu dititik beratkan kerana amalan memang dituntut oleh agama selain mengelak daripada ahli keluarga dari dijangkiti sebarang penyakit.

Berikut amalan lain yang boleh dilaksanakan:

Amalan kitar semula

  • Memberi sokongan program kitar semula selain memastikan ahli keluarga memberi kerjasama untuk mengitar semula barang buangan sebanyak mungkin.
  • Menggunakan semula bekas kaca dan plastik sebagai tempat menyimpan barang atau sebagai hiasan yang mengelakkan pembaziran dengan membeli bekas baru.
  • Mengurangkan penggunaan beg plastik atau bawa beg sendiri untuk membeli belah. Ini disebabkan beg plastik sukar untuk dilupuskan.
  • Kitar semula air bilasan cucian. Air cucian boleh dikumpulkan semula dan digunakan untuk mencuci tandas serta longkang sekitar kawasan rumah.
  • Gerakkan ahli keluarga untuk memberi idea kreatif bagi mengguna semula peralatan yang terbuang atau mengguna semula peralatan atau perabot dengan gaya baru.

    Amalan jimat sumber air

  • Penggunaan mandi pancuran atau shower harus digalakkan berbanding penggunaan takungan mandi atau bath tub. Namun tidak semua orang selesa mandi secara pancuran dan sekiranya menggunakan kolam mandi adalah digalakkan menggunakan gayung kecil. Mandi menggunakan pancuran dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak empat kali ganda.
  • Elakkan kerap cuci kenderaan. Jika perlu, gunakan siraman bilasan menggunakan air dari baldi yang jauh lebih menjimatkan berbanding air disalurkan terus daripada paip. Lebih bijak, gunakan sumber tadahan air hujan.
  • Siraman pokok dan tanaman secara berkala bagi mengelak pembaziran. Gunakan tadahan hujan adalah digalakkan.
  • Jika elemen air tidak begitu penting kepada sesebuah reka bentuk rumah kediaman, maka eloklah jika ia ditiadakan. Ini kerana kolam ikan, kolam renang atau pun reflecting pool memerlukan penjagaan serta air yang sentiasa diganti.
  • Gunakan mesin basuh pakaian yang jimat tenaga dan hanya membasuh selepas muatannya penuh. Sebelum membeli mesin basuh pakaian, baca label kecekapan penjimatan tenaga mesin tersebut. Dengan memilih mesin basuh yang tinggi penjimatan tenaganya, penggunaan air dan elektrik dapat dikurangkan sehingga 50%.
  • Kawal kadar aliran air paip kerana aliran yang rendah boleh mengurangkan antara 25 peratus - 50 peratus penggunaan air.
  • Pasangkan sistem dua curahan pada tandas yang dapat mengurangkan sehingga 50 peratus bagi satu-satu keluarga· Semasa memberus gigi gunakan air yang diisi di dalam bekas dan jangan biarkan air mengalir berterusan.
  • Isikan air ke dalam sinki untuk mencuci sayuran atau membasuh pinggan mangkuk. Ia menjimatkan 15 kali penggunaan air berbanding membasuh di bawah paip air yang mengalir berterusan.

    Amalan jimat sumber tenaga

  • Gunakan peralatan elektrik jimat tenaga. Elak peralatan elektrik seperti televisyen yang dibiarkan dalam keadaan ’standby mode’ yang menggunakan tenaga elektrik.
  • Penggunaan kuali memasak yang sesuai saiznya dan tutup periuk semasa memasak bagi jimat tenaga. Periuk tekanan dan pengukus adalah lebih baik dan menjimatkan tenaga selain makanan dimasak juga lebih sihat.
  • Gunakan menggunakan mentol dan lampu jimat tenaga, ini kerana penggunaan mentol dan lampu seperti ini dapat menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 80%.
  • Pilih kapasiti peti sejuk yang sesuai dengan penggunaannya. Jangan terpengaruh membeli peti sejuk berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan kewajaran penggunaannya. Semakin besar kapasiti semakin tinggi penggunaan tenaga.
  • Jemur pakaian di bawah cahaya matahari berbanding mesin pengering.
  • Gunakan langsir atau bidai berwarna putih untuk memantulkan haba dan mengurangkan pemanasan.
  • Pilih penghawa dingin dengan kapasiti yang sesuai dengan keperluan dan keluasan ruang. Sebagai contoh ruang bilik tidur seluas 3 meter x 4 meter adalah mencukupi menggunakan penghawa dingin berkadar 1hp. Kadar suhu yang sesuai sekitar 22 - 24'darjah Celsius. Elak daripada menggunakan kadar suhu yang sangat rendah kerana mengakibatkan alat penghawa dingin bekerja lebih berat.

    Amalan kesihatan baik

  • Galakkan ahli kelurga berbasikal atau berjalan kaki ke kedai atau kawasan berdekatan. Amalan ini 100% mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.
  • Jadikan bahan buangan organik sebagai baja kompos yang tinggi nutriennya Hentikan penggunaan racun makhluk perosak. Tanam tanaman seperti pudina yang berfungsi menghindar serangan serangga perosak.
  • Gunakan kain untuk mengelap meja dapur dan tempat bekerja. Elakkan dari menggunakan tisu kerana ia tidak boleh digunakan semula serta menyumbang kepada penambahan sisa buangan domestik.
  • Menjaga kebersihan dari haiwan perosak seperti lalat, lipas, tikus dan semut. Pastikan kebersihan dijaga pada setiap peralatan dan memastikan tiada tempat haiwan ini boleh membiak.
  • Senantiasa menjaga kebersihan diri dan keluarga dari segi persekitaran dan haiwan peliharaan bagi mengelak penyakit berjangkit.
  • (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dekor/20091004105807/Article/index_html)

    1 comments:

    Aida Ab Jalil said...

    bagusnya entri ni... byk boleh jimat jika betul2 diusahakan.