Tuesday, March 17, 2009

Dusun dalam taman Fizol

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my



MELANGKAH ke banglo setingkat milik pasangan Pizol Abdullah dan Zubaidah Abd Majid di Jalan Melor, Bukit Beruntung mampu memberikan kedamaian minda kepada tetamu.

Pelbagai sentuhan elemen landskap mampu digubah Pizol secara berseni dan kreatif.


Mereka melakukan kerja menceriakan laman rumah itu sejak 2004 dengan pelbagai jenis tanaman di segenap penjuru.

“Saya membelanjakan kira-kira RM20,000 untuk kerja membina dua pergola, taman mini, kolam ikan, wakaf tradisi, trek refleksiologi dan bangku seminfero.

“Saya juga menanam pokok hiasan, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan sekeliling rumah ini. Kami menggunakan pendekatan dan konsep dekorasi ‘dusun dalam taman’,” katanya.

Katanya, selepas bersara, masa yang ada digunakan membaja tanaman, memangkas pokok, menyemai pokok, menggubah taman mini dan menanam sayur-sayuran berdaun.

Lebih 10 jenis tanaman dalam pasu seperti halia, pandan, cili, sawi, terung pipit dan daun kari ditanam.

“Setiap dua hari, saya membersihkan tanaman pasu ini.

“Kolam ikan juga perlu ditukar air bersih setiap minggu. Kilauan dasar kolam mampu membangkitkan aura kedamaian minda,” katanya.

Dia juga ada menanam pokok anggur atas pergola di sudut kanan rumahnya.

Pokok buah-buahan yang ditanam ialah pulasan, rambutan, betik, duku dan kedondong juga ditanam di belakang rumah.

Sebuah wakaf tradisi dibina sudut kiri rumah menambah seri kediamannya dan digunakan ahli keluarga untuk berehat. Ada sebuah lampu tidur digantung di wakaf ini.

Kolam pancuran air direka khas di tepi wakaf menambah seri dekorasi rumahnya kerana memberikan panorama indah tidak menjemukan. Beberapa pokok keladi air mengambil ruang di sini.

Taman Ramuan Jeanne

Oleh Rohaniza Idris dan Bennie Zie Fauzi
bminggu@bharian.com.my


Perdana Menteri dan isteri.

Jeanne banyak luang masa di Taman Ramuan: Perdana Menteri akan bersama isteri berkebun pada waktu lapang

"TAMAN Ramuan atau Edible Garden, mahu saya kongsikan dengan orang ramai, kerana aktiviti berkebun dan bercucuk tanam yang menjadi minat saya sejak kecil ini boleh memberikan manfaat besar," kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah mengenai taman boleh makan yang diusahakan di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

Kesempatan menghabiskan masa melawat kebun ramuannya kira-kira empat jam, membuktikan Jeanne tidak kekok, malah aktiviti berkebun seakan sebati dengan jiwanya.


Beliau mampu mengingati hampir semua tanaman dalam Taman Ramuan atau Edible Garden yang menjadi kebanggaannya itu.

Taman Ramuan berkenaan dibangunkan sejak setahun lalu selepas beliau melihat banyak pokok kelapa sawit dan buah-buahan yang di tanam di kawasan berkenaan mati akibat dimakan anai-anai.

“Saya sudah berkebun sejak kecil kerana mengikut ibu bapa yang juga suka berkebun. Saya bukan datang daripada keluarga berada walaupun ibu bapa saya ketika itu bekerja. Bagi menjimatkan perbelanjaan, kami sekeluarga menanam tanaman seperti cili, serai, pandan dan pelbagai tanam makanan lain untuk keperluan harian.



“Bapa saya jika menanam pokok buah-buahan akan menanam empat pokok sekali kerana saya ada empat adik beradik. Kalau menanam pokok ciku semuanya empat pokok begitu juga belimbing dan rambutan,” katanya menceritakan bagaimana beliau mendapat ilham membina Taman Ramuan berkenaan.

Sebanyak 130 pokok yang boleh dimakan di tanam dalam kebun yang terletak di kanan sebelah pintu masuk ke kediaman Perdana Menteri.

Selain pokok ulam, herba dan rempah ratus, Taman Ramuan berkenaan juga ditanam dengan pelbagai jenis bunga dan rumput termasuk lalang yang boleh digunakan untuk merawat penyakit.

Antara tumbuhan yang menarik di taman itu ialah lalang berwarna ungu dan merah yang dipercayai boleh digunakan untuk mengubati gastrik dan kaki bengkak, pokok stevia yang daunnya manis apabila dimakan dikatakan sesuai menggantikan gula untuk pesakit kencing manis dan pokok butang nenek (chataranthu) sebagai penahan sakit gigi.

Jeanne bersama antara pokok yang ditanam beliau di Taman Ramuan.

Pelbagai spesies cili termasuk yang bulat berwarna warni seperti bola, bujur, besar dan kecil juga ada di tanam di Taman Ramuan berkenaan.

“Ada orang yang terkejut melihat cili yang buahnya tumbuh mendongak langit begitu juga bendi yang mempunyai bunga yang cantik. Sebenarnya, banyak faedah jika kita minat berkebun. Selain baik untuk kesihatan kerana peluh yang keluar, ia juga menjimatkan.

“Kebiasaannya, kebanyakan rumah akan menanam serai, pokok kari, pandan, kunyit dan limau kasturi. Ada banyak pokok lain sesuai dan boleh ditanam di perkarangan atau laman rumah. Contohnya, pokok turi, terung, ulam raja, misai kucing, cili, betik, labu dan petola yang sesuai sebagai pokok hiasan pagar,” katanya.

Selain landskap lembut, Taman Ramuan juga dihiasi landskap kejur seperti kolam ikan, tangga batu pasir, dinding granit, pelantar kayu dan wakaf. Kolam ikan bertingkat itu dihiasi ikan talapia, lampam, keli dan jelawat.

Taman berkenaan juga dihiasi ruang khas untuk keluarganya berkarya dengan dinding yang dicat dan dijadikan lukisan. Ruang berkenaan dihiasi pokok kemboja putih dan landskap keras seperti batu sungai, kayu hanyut dan pemijak batu pasir.

Ketika kunjungan berkenaan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyertai Jeanne menunjukkan Taman Ramuan yang menjadi tempat pasangan berkenaan menghabiskan masa bersama apabila ada waktu kelapangan.

“Tanya saja apa yang ada dalam kebun ini, Jeanne akan tahu semuanya,” kata Perdana Menteri yang turut mengetahui beberapa nama pokok herba yang ada dalam taman berkenaan.

Jeanne berkata, Pak Lah sering menyertainya di waktu lapang untuk berkebun bersama namun kesibukan sering membataskan waktu untuk menghabiskan masa lebih lama di taman berkenaan.

“Biasanya, apabila ada masa saja, kebun ini menjadi tempat saya beristirahat bersama keluarga dan saya berasa puas setiap kali melihat apa yang ditanam membuahkan hasil. Saya sangat minat bidang ini dan kesempatan mengiringi suami ke luar negara akan saya gunakan untuk mencari buku atau mengunjungi taman herba.

“Saya juga suka mengumpul pokok atau herba baru. Jika ada yang memperkenalkan pokok baru kepada saya, saya akan menanamnya di taman ini,” katanya yang sedang mengusahakan sebuah buku untuk bacaan ringan mengenai tanaman boleh makan dan kesihatan bersama anaknya Nadene Kimie.

Mengenai Edible Garden atau Taman Ramuan, katanya ramai yang tidak tahu apa itu Edible Garden berbanding kebun dapur atau taman herba.

“Sebenarnya Edible Garden adalah taman yang mengandungi pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan atau yang dimanfaatkan untuk kesihatan. Saya suka memanggil Edible Garden sebagai Taman Ramuan dan terpulang kepada orang lain untuk menamakannya,” katanya.

Beliau berkata, Taman Ramuan boleh dibangunkan di kawasan lapang tidak kira ruangnya terhad atau luas, sama ada rumah anda teres, apartmen, banglo atau rumah kampung.

“Terkini, hiasan Edible Garden direka dan disusun dengan hiasan yang cantik dan menarik dengan campuran landskap keras seperti kolam ikan. Jika anda mempunyai ruang laman yang luas maka lebih mudah meletakkan landskap kejur seperti kolam, pemijak kaki atau kolam hiasan dan pancuran air.

“Reka bentuk dan suai letak taman anda adalah kreativiti dan inilah masa untuk anda berkarya sambil mereka cipta sendiri taman ramuan masing-masing,” katanya .

Jeanne turut berkongsi beberapa khasiat, ramuan dan resipi yang boleh diperoleh daripada pokok yang ditanam di taman miliknya seperti bunga kemboja yang boleh digoreng tepung (tempura) dan jus daun betik muda untuk mengurangkan demam denggi.

Beliau berkata, kesedaran umum mengenai Taman Ramuan masih rendah walaupun kini sudah ada kecenderungan membina taman atau landskap di kediaman masing-masing.

“Saya lihat laman rumah dihiasi pakaian yang dijemur atau tumbuhan hiasan yang tidak boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian. Saya harap lebih ramai beralih menanam pokok yang boleh dimakan atau berfaedah untuk kesihatan,” katanya.

Selain menjimatkan, Taman Ramuan dapat menjadi tempat teduhan, pagaran dan hiasan menarik kerana pokok herba mempunyai bunga dan daun yang berwarna-warni.

Mengakhiri perbualan petang itu, Jeanne berkata, beliau mengharapkan kegemarannya bercucuk tanam terutama kepada tumbuhan boleh makan akan menjadi inspirasi kepada rakyat untuk berkebun dan menghijaukan Malaysia.

Edible garden tanaman kesihatan, makanan

EDIBLE Garden atau Taman Ramuan, nama jolokan yang diberikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah adalah satu pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan tanaman untuk makanan dan kesihatan berkongsi satu landskap. Di Barat, ia dikenali sebagai laman dapur manakala sesetengah tempat menggelarnya taman tumbuhan makanan dan taman komuniti.

Landskap ini lebih menonjolkan landskap lembut berbanding kejur (keras). Landskap keras diwakili tembok, pagar dan pergola yang dibina untuk tumbuhan berpaut dan melilit padanya.

Selain menyumbang nilai estetika dan mewujudkan persekitaran selesa serta menarik, landskap Edible berfungsi membekalkan makanan segar, rempah-ratus masakan, kosmetik, perubatan selain dijadikan pewangi kediaman dan haruman tubuh.

Spesies tumbuhan dipilih mengisi taman terdiri daripada herba, ulam-ulaman, buah-buahan, bunga dan sayuran tempatan misalnya pokok kari, dukung anak, kunyit, pala, kacang turi, cengkih, misai kucing, pegaga, buah jambu, belimbing buluh, bunga kemboja, sayur kubis, petola, bendi dan beribu spesies lagi.

Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerbitkan buku khusus mengenainya bertajuk Edible Landskap. Dalam buku berkenaan, disenaraikan lima faedah utama pembentukan landskap berkenaan iaitu membantu mewujudkan kediaman memenuhi estetika serta kegunaan, menyediakan keperluan makanan bagi penghuni kawasan perumahan, menjimatkan perbelanjaan harian, menyediakan tempat rekreasi dan beriadah keluarga juga mengeratkan perpaduan masyarakat menerusi usaha menukar laman biasa sebagai tempat rekreasi bersama.

Proses mereka bentuk landskap Edible sama seperti laman biasa iaitu mengambil kira masalah penyelesaian tapak serta keperluan reka bentuk bagi cadangan dan keputusan membina landskap.

Manakala, faktor yang patut diberi perhatian adalah matlamat serta tujuan, kemampuan kewangan, analisis tapak, luas kawasan, lokasi, lot jiran serta persekitaran, kesesuaian tanah, cahaya matahari, maklumat tapak dan kawasan persekitaran (inventori), kepelbagaian alternatif konsep, penilaian terhadap konsep berkenaan bersama penyelesaian, cadangan reka bentuk dan kos penyelenggaraan.

Komponen landskap Edible dibahagikan kepada kediaman individu dan taman kejiranan serta komuniti. Setiap komponen mengandungi dua jenis landskap membabitkan kejur dan lembut.

Bagi kediaman individu, landskap kejur dibentuk melalui binaan seperti siar kaki, bangku, wakaf, pergola, tong sampah, kotak dan bekas tanaman, stor menyimpan bahan, perkakasan dan penyediaan baja serta elemen air.

Sementara, landskap lembut dibentuk melalui tanaman pelbagai saiz dan warna, daripada berukuran besar sehingga pokok renek dan penutup bumi.

Kepelbagaian pokok turut membentuk landskap lembut di taman kejiranan dan komuniti. Manakala, landskap kejur diperlihatkan melalui pintu dan laluan keluar-masuk, siar kaki, tempat meletak kenderaan, zon pemunggahan, lampu jalan, bangku, wakaf, pergola, papan tanda, tong sampah, sumber air, tapak penanaman dan kawasan diguna bersama seperti tempat berkumpul, stor menyimpan perkakasan dan baja dan tempat mengumpul serta memproses hasil tanaman.

Sebagaimana spesies tumbuhan lain, Edible Garden juga memerlukan sumber pencahayaan, penyediaan medium tanaman, penyelenggaraan, siraman, penggemburan tanah, pembajaan, pembersihan kawasan, sungkupan, pengawalan penyakit serta perosak, pemangkasan serta penjarangan , penggantian tanaman dan pemancangan.