Saturday, January 3, 2009

Bunga tanah liat makin diminati






Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


'Air dry clay' mempunyai warna cantik dan hanya perlukan suhu bilik untuk mengeras

BUNGA tidak kira segar, hidup atau bunga tiruan tetap cantik untuk dijadikan hiasan di kediaman tidak kira di dalam atau di luar rumah.

Bagi yang sukakan kesegaran, mereka memilih bunga hidup melengkapi seni hiasan dalaman dan laman rumah manakala bunga tiruan menjadi pilihan mereka yang sibuk serta tiada masa menjaga tumbuhan. Bunga tiruan juga tahan lebih lama.

Bunga tiruan ada pelbagai seperti bunga plastik, bunga fabrik (kain), bunga kertas atau bunga daripada tanah liat.

Terbaru, bunga tanah liat menjadi kegilaan penggemar kraftangan. Di Thailand, Taiwan dan Jepun seni kraftangan ini semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi.

Tanah liat yang dimaksudkan bukan lagi tanah liat jenis lama yang digunakan untuk perhiasan tembikar yang memerlukan ia dibakar di dalam ketuhar atau pembakar.


Sebaliknya, tanah liat jenis baru ini dikeringkan menggunakan pelbagai cara lain seperti jemuran matahari atau terdedah kepada suhu biasa bilik atau dikeringkan dengan bantuan air.

Pengurus K C Landscape Services, Jolene membuka kelas untuk mengajar mereka yang berminat membuat kraftangan dan bunga hiasan daripada tanah liat.

Katanya, kraftangan menggunakan tanah liat lebih mudah, cepat dan murah serta boleh dikuasai sesiapa saja termasuk kanak-kanak.

Menggunakan tanah liat 'air dry clay', Jolene berkata, kelembutan dan kreativiti akan membantu menjadikan kraftangan menjadi cantik.

"Tanah liat jenis "Air Dry Clay' mudah dan warnanya cantik, selepas kraftangan dibentuk, kita hanya jemur pada suhu bilik biasa selama tiga hingga empat jam sebelum ia menjadi keras.

INFO: Bahan-bahan

* Tanah liat 'air dry clay'
* Pewarna - mengikut pilihan pengguna

Seni bina pasif




Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Potongan melintang pada dinding batu yang diisi dengan pemandangan batang pokok yang tumbuh menegak memberikan kesan yang dramatik.

PINTU kaca lipat atau lungsur yang mendapat kemasan lime wash ini bertujuan untuk menonjolkan karakter yang ada pada kayu.

Meraikan setiap tetamu yang datang menjadi teras kepada pemilihan pensyarah di Fakulti Rekaan dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Azizi Mohd. Ali, 40, apabila berbicara tentang rumah dan lamannya.

"Saya bina dan hias rumah ini seadilnya. Adil dengan meletakkan apa yang patut di tempatnya. Jika di situ perlu diletakkan perhiasan, saya letak," katanya yang adakalanya berbunyi seperti berpihak kepada konsep minimalis.


Yang penting, tambahnya, biarlah tetamu selesa dan tidak merasakan diri mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya.

Mendirikan banglo di atas tanah seluas kira-kira 557 meter persegi, Noor Azizi tidak pernah mengimpikan sebuah rumah yang mewah. Sebaliknya, yang tergambar dalam fikiran ialah sebuah rumah yang dapat dipanggil rumah.

WARNA ceria ini menonjolkan peribadi pemiliknya.

Tidak hairanlah kedatangan kami disambut dengan penuh keterbukaan apabila banglo yang tersergam di hadapan kami tidak dipasang sebarang gril pada pintu mahupun tingkapnya.

Sebaliknya ia hanya disempadani pintu kaca lipat berbingkai kayu. Malah, dinding utama di ruang makan dibiarkan berlohong di tengahnya.

"Ia boleh dikatakan epidemik kehidupan moden. Orang ramai pada hari ini ramai yang hidup dalam ketakutan, dan penuh wasangka. Sebenarnya kejiranan kita yang menentukan sama ada kita dapat hidup dalam suasana selamat atau tidak," ujarnya.

SETIAP perbot dan perhiasan yang ada dalam rumah ini sama ada ditempah khas atau dihasilkan sendiri Noor Azizi.

Sekali gus, pendekatan itu dapat menyimpulkan kehidupan jujur keluarga Noor Azizi sama ada kepada alam atau masyarakat.

"Lagipun rumah ini tidak ada apa-apa pun untuk diambil. Ini bukan rumah mewah. Ini rumah yang praktikal. Ia dibina melalui prinsip rekaan asas (rumah Melayu). Konsep permulaannya merujuk kepada rumah kampung," jelasnya yang berkata rekaan rumahnya melibatkan kos yang jauh lebih rendah berbanding sebuah rumah teres lot hujung.

Memilih bumbung monopitch atau pisang sesikat yang tiga kali ganda lebih murah berbanding bumbung limas yang popular sejak lama dulu, dinding rumah juga dibiar putih.

BILIK PERPUSTAKAAN yang menjadi destinasi utama isi rumah.

"Ada seorang makcik bertanya, 'Rumah kamu ini tak siapkah? Bumbung itu kenapa sebelah saja?' Saya cuma boleh jawab 'Nanti kalau ada duit, saya tambahlah bumbung yang sebelah lagi itu. Nanti ada duit, saya catlah dinding rumah ini,'" kongsinya sambil tertawa.

Memulakan rumah ini dengan anjung, ia diikuti dengan ibu rumah, tempat hadirin bertamu. Ini dituruti pula dengan rumah tengah yang dijadikan ruang makan, dan seterusnya rumah dapur.


Bagaimanapun, jika anda berada di ruang tamu, anda tidak dapat melihat apa yang ada di ruang makan kerana setiap satunya dipisahkan dengan laman dalam dan kedudukannya yang tidak selari.

"Ada hijab antara ruang, tetapi kesemuanya masih berhubung antara satu sama lain dan setiap ruang terbuka kepada laman berlandskap," kata bapa kepada dua orang anak perempuan berumur sembilan dan 11 tahun ini.

Noor Azizi berkata warna putih pada keseluruhan dinding rumah bertujuan untuk menonjolkan warna kegemarannya pada perabot yang mengisi ruang. Ruang tamu dihangatkan dengan perabot berwarna warna merah, jingga dan hijau pucuk pisang.

Manakala ruang makan ditenangkan sedikit dengan warna coklat daripada susunan batu pada dinding dan beberapa keping lukisan bunga berwarna terang. Set meja makan, almari pinggan mangkuk dan lampu gantung turut dipilih yang berwarna putih.

Memperkenalkan konsep landskap pinjaman (borrowed landscape) dengan merujuk kepada tebukan melintang pada dinding berbatu itu tadi, Noor Azizi menjelaskan, potongan melintang yang diisi dengan pemandangan batang pokok yang tumbuh menegak memberikan kesan yang dramatik.

"Tak perlu lagi menggantung lukisan atau gambar pada dinding itu," katanya yang berkongsi aplikasi itu dinamakan sebagai 'niche.'

Bilik perpustakaan yang dikatakan menjadi destinasi utama isi rumah ini juga masih berdinding putih. Selain diceriakan dengan warna perabot, buku yang bersusun pada rak buatan simen memenuhi salah satu dindingnya dilihat menambah karakter pada bilik itu dengan berkesan.

Menjenguk sehingga ke aras atas dan bilik tidur, satu perkara disedari. Tidak ada satupun penghawa dingin dipasang pada mana-mana ruang.

"Rumah ini adalah tentang seni bina pasif. Ia menggunakan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Malaysia kaya dengan cahaya matahari dan kehijauan alam semulajadi. Itu banyak membantu," katanya.

Tidak memerlukan siling yang tinggi, rumah empat bilik itu cukup terbuka untuk membenarkan pengudaraan yang cemerlang.

ai tak gembira betul sebab sejak laptop ni keluar bengkel (dibaiki), saya tak dapat copy, paste gambar macam biasa, kena copy paste cara manual, lambat dan berterabur begini..sabar je la..

Thursday, January 1, 2009

Rahsia kediaman jimat elektrik

Bersama Hamidon Abdullah (Ketua Jabatan Reka Bentuk dan Seni Bina Dalaman UiTM Shah Alam)

Hadkan penggunaan lampu ikut kesesuaian ruang.

Pemilik rumah digalak guna tenaga solar sebagai sumber alternatif

HAMPIR setiap kediaman di negara ini menggunakan tenaga elektrik untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seharian dan menggerakkan peralatan elektrik yang memudahkan kebanyakan tugas berbanding menggunakan kekuatan fizikal.

Tenaga elektrik bukan setakat digunakan untuk memasak, membasuh dan membersihkan kediaman, malah kerja pejabat yang mungkin dilakukan di rumah.

Setiap isi rumah akan menyumbang kepada penambahan bebanan penggunaan tenaga elektrik ketika menggunakan tenaga elektrik untuk mencapai keselesaan seperti pemanas air untuk mandi, penyaman udara untuk menyejukkan ruang kediaman seperti bilik tidur dan ruang tamu.

Oleh itu, pemahaman dan keperluan kediaman jimat tenaga adalah aspek penting yang perlu diketahui setiap pemilik kediaman.

Selain air, elektrik adalah asas keperluan yang menjadi nadi kehidupan. Jika satu daripada dua asas keperluan ini tidak dapat diperoleh, ia akan menyebabkan berlaku kepincangan dalam sistem kehidupan seharian.
Tukar kepada tenaga solar untuk mengurangkan pergantungan tenaga elektrik.

Kedua-dua keperluan ini bukan percuma dan perlu dibayar kepada pihak utiliti yang membekalkan kepada pengguna walaupun kerajaan mungkin memberi sedikit subsidi. Ini bermakna sejumlah wang perlu diperuntukkan setiap bulan untuk membiayai keperluan itu.

Bagaimanapun, tahap penggunaan tenaga elektrik boleh dikurangkan jika pengguna di rumah kediaman mengetahui cara penggunaan secara berhemah dan cekap.

Pertama, kita perlu memastikan pemasangan dan peralatan elektrik di kediaman adalah betul dan sesuai mengikut standard yang diperakui agensi standard seperti Sirim dan Suruhanjaya Tenaga.

Ini bertujuan mengelakkan berlaku ‘kebocoran’ elektrik yang mungkin akan menyebabkan berlaku litar pintas yang menyebabkan kebakaran.
Mentol jimat elektrik.

Kontraktor pendawaian elektrik perlu mempunyai lesen dari pihak berkuasa kerana mereka akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kecelakaan. Elakkan membuat sebarang tambahan dan penyambungan elektrik tanpa kebenaran kerana ini akan membahayakan keselamatan dan terdedah kepada litar pintas.

Cara pemasangan berpusat yang berfungsi untuk mengawal dan mengatur penggunaan elektrik jika tidak digunakan adalah antara sistem yang dicadangkan.

Ini membolehkan penggunaan elektrik dimatikan dengan serentak apabila tidak digunakan. Model seperti ini kini banyak digunakan di bilik hotel. Caranya adalah apabila tiada penghuni di ruang berkenaan, tiada peralatan elektrik akan menyala kerana seluruh punca elektrik dimatikan secara automatik.

Anda juga perlu bijak menggunakan peralatan elektrik. Kini banyak peralatan di pasaran yang dilabelkan sebagai menjimatkan tenaga, tetapi kecekapan peralatan itu berfungsi bergantung kepada cara kita melakukannya.

Pada masa sama, sumber tenaga alternatif untuk menjimatkan elektrik perlu diterokai, termasuk menggunakan tenaga suria atau sinar matahari.

Tenaga ini yang lebih dikenali sebagai tenaga solar adalah antara sumber tenaga yang sangat baik untuk membekalkan tenaga elektrik di rumah dan penggunaan tenaga ini perlu digalakkan secara menyeluruh.

Penggunaan tenaga solar yang dipanggil photovoltaic (PV) perlu digalakkan kerana dapat mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga elektrik konvensional.

Beberapa usaha dilakukan bagi menggalakkan penggunaan photovoltaic, tetapi tertumpu kepada beberapa projek mewah bagi memperkenal konsep perumahan tenaga solar di Malaysia.

Usaha berkenaan perlu dilakukan secara kolektif, sama ada dari kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta kerana kelebihan menggunakan tenaga solar ini memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara usaha yang boleh dilakukan adalah kerajaan memperkenalkan dasar yang jelas dan PBT memberi insentif dalam bentuk pengurangan dari segi cukai pintu kepada kediaman 'green homes'.

Tip

Jimat Elektrik

Antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh pemilik kediaman untuk menjimat penggunaan tenaga elektrik secara menyeluruh adalah dengan memastikan perkara berikut dilaksanakan:

1. Penggunaan Elektrik Secara Am

# Menutup semua lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan (terutama pada plug).

# Membenarkan pengaliran udara semula jadi dalam rumah bagi menyejukkan ruang (mengurangkan penggunaan peralatan hawa dingin dan kipas).

# Mempraktikkan penggunaan tenaga yang cekap ketika menggunakan peralatan rumah.

# Memeriksa kadar penggunaan tenaga pada peralatan. Kadar bintang yang tinggi bermakna penggunaan tenaga yang lebih cekap.

2. Penggunaan cahaya dalam rumah

# Gunakan mentol dan lampu jimat tenaga yang dapat menjimatkan penggunaan tenaga hingga 80 peratus.

# Menggunakan kadar cahaya lampu yang betul seperti ketika membaca menggunakan cahaya yang terang dan apabila menonton televisyen atau video, menggunakan lampu yang malap (dimmer)

# Menggunakan kadar watt yang rendah pada koridor, laluan tangga atau bilik stor kerana ruang ini tidak memerlukan cahaya sekadar untuk menerangi.

# Lampu kalimantang (fluorescent) biasa lebih menjimatkan, berbanding lampu pijar (incandescent).

3. Jenis Penggunaan Peralatan Dalam Rumah

Peti Sejuk

# Pilih kapasiti peti sejuk yang sesuai dengan penggunaannya. Jangan sesekali terpengaruh dengan membeli peti sejuk berkapasiti besar tanpa mempertimbangkan penggunaannya. Penggunaan tenaga lebih tinggi apabila kapasiti semakin besar.

# Elakkan terlalu kerap membuka dan menutup peti sejuk untuk menghindari udara dingin keluar.

# Jangan masukkan masakan panas terus ke dalam peti sejuk. Dinginkan terlebih dulu hingga mencapai kadar suhu ruang sebelum memasukkannya.

# Guna peti sejuk yang mempunyai tenaga cekap kerana ini boleh menjimatkan kos elektrik hingga 25 peratus.

Mesin Basuh Baju

# Pilih dan gunakan mesin basuh yang sesuai dengan kapasitinya. Mesin basuh yang digunakan melebihi kapasitinya akan mengakibatkan mesin terpaksa bekerja keras dan lebih cepat rosak.

# Pastikan jumlah kapasiti adalah penuh kerana jika dimasukkan separuh kapasiti, jumlah tenaga yang digunakan tetap sama.

# Gunakan fungsi pengering mesin basuh apabila perlu. Lebih baik mengguna sinar matahari untuk mengeringkan pakaian.

Alat Penghawa Dingin

# Pilih penghawa dingin dengan kapasiti yang sesuai mengikut keperluan dan keluasan ruang. Sebagai contoh, ruang bilik tidur seluas 3 X 4 meter adalah mencukupi menggunakan penghawa dingin berkadar 11/2 HP (kuasa kuda).

# Kadar suhu yang sesuai digunakan adalah antarar 22 hingga 24 celsius. Elakkan menggunakan paras suhu yang sangat rendah kerana memaksa alat penghawa dingin bekerja lebih berat.

# Pastikan ruang tertutup rapat agar suhu tetap terjaga dan elakkan elemen yang menghalang udara dingin keluar dari alat penghawa dingin.

# Alat penghawa dingin hendaklah diselenggara secara berkala setiap tiga bulan bagi mengekal kesejukan dan jangka hayat peralatan, terutama kompresor.